TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penguat kuasa terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa mutakhir ini bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong khususnya oleh agensi terlibat.

Tindakan ini secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM dan agensi terlibat untuk berfungsi lebih cemerlang.

Ketika ini, gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi isu kecil, malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi.

Oleh sebab itu, langkah tegas SPRM tidak boleh terhenti di situ sahaja. SPRM perlu melakukan usaha tersebut secara berterusan hingga masalah jenayah ini dapat diatasi.

Masyarakat pula perlu dimaklumkan bahawa tangkapan terhadap pegawai atau anggota penguat kuasa yang mengambil rasuah dengan jumlah kecil tidak boleh lagi dianggap sebagai kes biasa atau tangkapan ikan bilis.

Rasuah dalam kalangan penguat kuasa ini ialah jenayah luar biasa kerana kesannya amat menakutkan. Impaknya besar hingga boleh mengakibatkan penyakit sosial serta pelbagai rantaian jenayah lain.

Perlu diketahui bahawa rasuah adalah punca jenayah perjudian, pelacuran, penyeludupan senjata api dan pusat hiburan tanpa lesen berleluasa. Bukan itu sahaja, rasuah juga menjadi punca isu jenayah dadah sukar dihapuskan.

Dalam hal ini, agensi-agensi penguat kuasa perlu memberi komitmen penuh membantu SPRM membersihkan organisasi masing-masing dengan mengenal pasti daripada kalangan mereka yang terjebak dengan kegiatan rasuah.

Langkah-langkah pembersihan dari dalam lebih memberi kesan, malah dapat menghalang isu berkenaan daripada terus merebak.

Saya yakin disebabkan keanggotaan yang terhad, SPRM berdepan kekangan untuk menangani 1001 masalah jenayah rasuah secara bersendirian.

Oleh itu, ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan mereka memantau pegawai dan anggota yang hidup mewah di luar kemampuan atau lebih tepat tidak sepadan dengan gaji mereka.

Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada pegawai-pegawai bawahan mereka bertepatan dengan prinsip kepimpinan melalui teladan.

Dalam pada itu, agensi-agensi terlibat jangan sesekali melindungi mana-mana anggota yang didapati terlibat dalam jenayah rasuah.

Jangan sesekali bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan salah laku yang boleh melunturkan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan agensi penguat kuasa masing-masing.

Kolaborasi antara agensi-agensi yang berkaitan juga adalah amat penting supaya tindakan holistik dan bersepadu dapat diambil bagi menangani isu ini secara berkesan.

Saya berpandangan bahawa penangkapan terhadap ‘pelindung sindiket’ atau penerima rasuah dalam kalangan penguat kuasa sahaja tidak akan memberi kesan besar sekiranya ketua-ketua sindiket haram dan pengusaha kegiatan haram yang menawarkan rasuah atau suapan tidak diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan.

SPRM perlu mengambil tindakan terhadap mereka agar dapat mengenal pasti dan memutuskan terus rantaian jenayah mereka.

Walau bagaimanapun, saya percaya ramai lagi anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kelompok penguat kuasa yang jujur ini kadangkala akan disisih dan tidak dapat bertindak kerana tidak mengikut arus dalam kalangan anggota penguat kuasa yang tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.

Semua warga penguat kuasa perlu ingat sumpah jawatan yang diikrarkan untuk berkhidmat dengan jujur demi menjaga kepenti-ngan masyarakat. Ingatlah bahawa ‘jangan hanya kerana beberapa titis racun dalam kalangan mereka, akan habis terkorban sekeluarga. Segala usaha dan kejayaan yang dikecap akan lebur dilupakan begitu sahaja kerana masyarakat di luar sana sukar untuk memuji, tetapi lebih pantas untuk mengeji.’

Janganlah penguat kuasa menjadi pengkhianat kepada organisasi mereka dan mengkhianati rakan-rakan seperjuangannya yang gigih menjalankan tugas dengan ikhlas dan jujur.

Mereka (penguat kuasa) juga harus sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting ini.

Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, kepada siapa lagi hendak diharapkan untuk menjaga keselamatan dan membela nasib masyarakat?

* Tan Sri Musa Hassan, Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Kuala Lumpur

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • "PUNYALAH payah yang tuntut wang nak dituntut. Hari pertama pergi jam 10 pagi, nombor giliran dah habis. Hari kedua pula beratur lama. Kaunter ada satu saja, tak efisien langsung!"
  • ISLAM di Nusantara terbentuk secara berevolusi. Perkembangannya banyak ditandai dengan evolusi secara berperingkat melalui aktiviti dakwah, perdagangan dan peranan Raja yang mempengaruhi rakyat menerima Islam sebagai agama dalam bentuk akidah ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan fiqah mazhab Syafie.
  • MALAM Ahad lalu, saya menyertai majlis pertemuan semula kakitangan Jabatan Keselamatan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) buat kali keempat sejak jabatan itu diwujudkan 47 tahun lalu.
  • WAKAF merupakan lambang ketundukan seorang hamba kepada Pencipta yang menjadi tonggak pembangunan dan kemakmuran tamadun Islam sejak berkurun lamanya. Wakaf mampu mendepani cabaran masa, tempat dan keadaan tanpa mengira bangsa dan bahasa.
  • SABTU minggu lalu saya mengendalikan sebuah bengkel ringkas untuk penulis-penulis daripada Grup Buku Karangkraf. Saya menjadi fasilitator bengkel, bukannya kerana saya dipanggil oleh syarikat itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.