SEPERTIMANA yang kita sedia maklum, bila harga minyak dunia turun, kita telah memutuskan untuk mengapungkan harga minyak mengikut sistem apongan terkawal, ini bermakna kita tidak lagi memberikan subsidi untuk RON 95, mahupun Diesel.

Harga purata bulan Oktober akan menjadi harga bulan November. Purata maksudnya harga dari 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari.

Bukan harga minyak dunia dihujung bulan mengikut pemahaman sesetengah pihak.

Ramai yang masih tidak boleh terima bahawa kita perlu berhenti memberikan subsidi secara pukal dan membantu rakyat melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.  

Subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti orang kaya dan orang miskin menerima nilai subsidi yang sama.  

Contohnya pada bulan Julai 2014, setiap liter Ron 95, kita memberikan subsidi sebanyak 63 sen seliter.  Ini bermakna orang kaya dan orang miskin akan menerima nilai subsidi yang sama setiap liter.  

Malangnya si kaya menggunakan kuantiti minyak yang jauh lebih banyak berbanding si miskin.  

Contohnya si miskin yang menggunakan kereta Kancil, bila mereka mengisi tangki mereka penuh dengan RON 95, jumlah subsidi yang mereka terima hanyalah sekitar RM18.  

Manakala mereka dari kelas menengah yang menggunakan Toyota Camry membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka.

Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah sebanyak RM45, ini lebih kurang 3 kali ganda lebih besar dari si miskin tadi.  Adakah ini adil?  

Apa jadi pada petani yang hanya ada sebiji Honda Cup yang cuma menggunakan sekitar 3 liter petrol untuk memenuhkan tangki motor mereka.  Subsidi yang dia dapat hanya RM1.89.  

Banyak mana pula subsidi yang diterima oleh mereka yang menggunakan Mercedese, BMW, Land Crusier dan sebagainya?

Sudah tentulah, lagi besar tangki mereka dan lagi banyak “petrol consumption” mereka, lagi berat beban subsidi yang terpaksa kerajaan tanggung.  

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh kementerian kewangan, kita membelanjakan 70 peratus daripada nilai subsidi kita untuk membantu orang kaya, manakala hanya 30 peratus subsidi yang kita berikan dalam bentuk RON 95 dan Diesel dinikmati oleh rakyat terbanyak.  Itu sebabnya, pemberian subsidi ini perlu kita rasionalkan.  

Dalam masa yang sama juga kita perlu sedar bahawa duit yang kita kutip daripada  pembayar cukai sewajarnya di pulangkan kepada rakyat Malaysia.

Di bawah sistem subsidi pukal, Warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil dari cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.  

Malah, setiap hari terutamanya dihujung minggu, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia bocor kepada kereta Singapura, diseludup ke Thailand dan Filipina dan tidak kurang juga dijual diperairan antarabangsa.

Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian dari kerajaan kepada rakyatnya.

Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang.

Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing.

*Datuk Lokman Adam,  Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa)‎
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HUBUNGAN manusia dan kehidupan adalah pertengahan. Kebendaan semata-mata berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kerohanian semata-mata menolak keduniaan, tidak berkahwin, malas mencari rezeki dan sebagainya.
  • PERTUBUHAN kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap dunia antarabangsa tidak lagi bermain sandiwara dalam menangani isu kekejaman dan kezaliman kerajaaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.
  • TAHUN 1989 menyaksikan keruntuhan Tembok Berlin dan faham komunis yang dilambangkannya. Ini disusuli dengan kemunculan satu orde dunia baharu yang disebut sebagai market-place society atau masyarakat pepasar.
  • DALAM tahun 2013, bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Zaman Khan pernah menyatakan kegusarannya kepada pihak media bahawa rasuah terbesar negara adalah melibatkan kebanjiran pendatang asing yang masuk ke Malaysia secara haram.
  • DALAM satu kenyataan, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad, secara terbuka menyatakan bahawa rasuah perlu diisytiharkan sebagai 'musuh nombor satu negara'.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.