1. Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir biarpun anak bulannya masih tidak diketahui bilakah ia bakal muncul. Namun tahun 2017 ini adalah tahun keempat bagi bagi penggal PRU13.

(Berdasarkan petunjuk Perlembagaan Malaysia, tempoh penggal parlimen adalah 5 tahun sejak mula bersidang.)

2. Sidang Parlimen Malaysia bagi penggal ke 13 bermula pada 24 June 2013 yang lalu. Ini bermakna ia akan berakhir pada 24 June 2018 (Ahad). Parlimen akan terbubar secara automatik pada 25 June 2018 (Isnin). Namun Yang Di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen lebih awal dari tarikh tamat tempoh berasaskan nasihat dari Perdana Menteri.

3. Kesimpulannya, kita kini berada dalam zon pilihan raya. Semua tumpuan parti politik terarah kepada persiapan menghadapi pilihan raya. Pas tentu sahaja telah mempersiapkan diri menghadapi PRU14 sejak hari pertama menerima keputusan PRU yang lalu.

​Pas sertai Umno?

4. Isu paling popular musim ini ialah apakah Pas akan menyertai Umno? Sementelah Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung turut menggamit perhatian rakyat mengenai isu ini.

5. Suka terlebih dahulu saya menjelaskan penggunaan terma atau perkataan yang digunakan dalam kenyataan atau persoalan yang berkait isu Pas dan Umno.

6. Apakah Pas aan bergabung dengan Umno? Apakah Pas mahu menyertai Umno? Adakah Pas boleh bekerjasama dengan Umno? Perkataan bergabung, menyertai, kerjasama dan sebagainya mesti diperjelaskan kepada umum, menepati sikap politik semasa dan dakwah yang didukung oleh Pas.

7. ​Pertama,​ wajar saya angkat kembali keputusan Majlis Syura Ulamak sebelum ini bahawa ​Pas tidak akan bergabung​ dengan Umno dan tidak juga menyertai BN, sebaliknya ​bersedia untuk bekerjasama​ dengan mana - mana sahaja pihak demi kepentingan Islam dan ummatnya.

8.  ​Kedua, jelas disini ada perbezaan perkataan ​bergabung dan ​menyertai berbanding perkataan ​kerjasama&quot yang digunakan oleh pihak Pas. Tentu sahaja ​bergabung dan ​menyertai adalah dua perkataan yang memberi maksud Pas menjadi salah satu parti komponen BN.

Pastinya keadaan sedemikian tidak boleh berlaku dan ia adalah ​polisi yang telah ditetapkan oleh Pas melalui penegasan Majlis Syura Ulamak bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno dan menyertai BN.

9. ​Ketiga,kerjasama pula membawa maksud keterbukaan Pas untuk berbincang, duduk semeja, berunding dan menganjurkan aktiviti atau tindakan bersama dalam apa jua isu yang melibatkan kepentingan Islam, bangsa dan negara.

Meskipun berbeza fahaman politik, namun atas nama kepentingan Islam, bangsa, rakyat dan negara, maka perbezaan itu boleh diketepikan sementara untuk ​menemukan titik persamaan yang memulangkan keuntungan kepada Islam dan masa depan negara.​

10. ​Beginilah Pas berpolitik.​Politiknya bersulamkan dakwah Islamiyah untuk menjulang keadilan Islam yang menjadi rahmat kepada sekalian alam.

​Beginilah Pas berdakwah.​Dakwahnya tegak untuk memimpin politik dengan syariah dan akhlak Islami serta memacu politik matang dan sejahtera.

​Check and Balance​

11. ​Pas dan Umno tidak perlu bergabung supaya politik Malaysia subur dengan check and balance​ (semak dan imbang). Malah Pas akan terus memberi kritikan dan teguran membina kepada kerajaan yang diterajui oleh Umno agar tidak menyeleweng, rasuah dan menindas rakyat terbanyak.

Pas juga akan terus konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman. Tiada kompromi padanya. ​Inilah politik Pas.

12. Namun tidak bermakna Pas, Umno dan lainnya mesti terus bercakaran dalam semua perkara sehingga merugikan Islam dan ummatnya. Sehingga timbul sifat benci membenci sesama ummat Islam, berkelahi jiran tetangga kerana berlainan parti, bertelagah suami isteri kerana bendera yang berbeza. Situasi begini tidak menyuburkan dakwah Pas.

Selayaknya halangan demikian ditiadakan agar Pas dapat bertemu dengan semua pihak yang bersedia menerima kehadhiran Pas dan tidak menentang perjuangannya. ​Inilah dakwah Pas.

Inilah Penyelesaian Kita​

Sekian.

Nasrudin bin Hassan​

​Ketua Penerangan Pas

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESAR sungguh dosa kita kepada lebih 200,000 pesawah di Malaysia. Beras yang kita makan (secara purata setiap rakyat Malaysia makan 120 gram nasi sehari) datang dari titik peluh mereka.
  • SEJAK meletusnya peristiwa Arab Spring di Timur Tengah pada awal 2011, Syria merupakan salah sebuah negara yang menerima kesan terburuk selain Libya dan Yaman.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.