PRU14 bakal tiba dan boleh diumumkan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa. Banyak pihak yang mengatakan pilihan raya pada kali ini adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan negara dan rakyat dari kemelut ekonomi yang menekan rakyat kelas pertengahan dan bawah, politik kleptokrat, dan sistem pendidikan yang tidak teratur dilingkari oleh pelbagai isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, ketirisan ekonomi, rasuah dan gejala politik wang yang sukar dibendung.

Kajian-kajian yang dibuat oleh institusi akademik mahupun pemikir dan pemerhati politik tanah air menunjukkan trend dan sikap terkini masyarakat agak dingin terhadap pihak pemerintah oleh kerana kos sara hidup yang tinggi, terutamanya di kawasan bandar.

Kuasa beli rakyat rendah dan wujud jurang ekonomi yang sangat ketara antara yang kaya dan yang miskin serta jurang ekonomi antara kaum.

Kesukaran untuk menghadapi cabaran ekonomi ini bertambah buruk apabila negara terus menerus dipalit dengan isu hutang negara yang semakin meningkat saban tahun sehingga mencecah ratusan bilion ringgit, sekali gus memerangkap rakyat dan negara ke lembah hutang yang menimbun.

Isu hutang negara, kegagalan dalam pelaburan, kejatuhan harga minyak dunia, kejatuhan nilai mata wang ringgit akhirnya membawa kepada penarikan pelaburan asing yang menambah defisit pada pendapatan negara, telah mencalar imej dan integriti kerajaan yang memerintah. Masyarakat sudah mula hilang kepercayaan kepada pihak pemerintah.

Namun begitu di sebalik kemelut ekonomi yang melanda negara, iklim politik negara terus hangat dengan beberapa perkara yang berlaku terutamanya isu parti politik yang saling bertelagah sehingga akhirnya membawa kepada perpecahan dalaman dan luaran, sama ada dipihak pemerintah atau pihak oposisi.

Perpecahan ini menyebabkan berpecahnya sokongan rakyat dan timbul isu untuk memboikot pilihan raya umum pada kali ini.

Pada pandangan penulis, memboikot pilihan raya adalah satu isu yang tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengeluarkan angka sebanyak 1.5 juta anak muda di negara ini yang layak, masih lagi tidak berdaftar sebagai pengundi, ditambah lagi dengan isu memboikot pilihan raya umum dijangka memburukkan lagi keadaan.

Persoalan yang timbul ialah di mana letaknya rasa tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia yang cinta kepada kebenaran dan keadilan dan yang mengaku sebagai rakyat negara pengamal demokrasi?. Penulis ingin menyampaikan mesej kepada sekalian pembaca bahawa perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan sememangnya memakan masa yang panjang.

Mari kita menelusuri sirah perjuangan para nabi sehinggakan ada yang memakan masa hampir 1,000 tahun.

Tidak keterlaluan jika sekalian kita mengambil semangat perjuangan para pendukung awal dan kontemporari demokrasi di Eropah, Asia dan Afrika yang telah melalui pelbagai kesusahan sehingga rakyat beroleh kejayaan yang  gemilang dan dihormati oleh masyarakat dunia seperti rakyat Britain, Amerika, Turki, Tunisia, Mesir, Jepun, Korea malahan Indonesia.

Semangat mereka untuk menghidupkan dan menyubur perjuangan melalui demokrasi tidak pernah pudar kerana mereka sedar akan tugas sebagai rakyat negara demokrasi seperti  kata presiden Franklin “jangan ditanya apakah yang negara boleh beri kepada kamu, tetapi tanyakan apakah yang boleh kamu sumbangkan kepada negara”.

Dunia hari ini tidak lagi berbicara soal keturunan siapa yang mulia, fizikal siapa yang paling gagah, harta siapa yang paling banyak, adat negeri mana yang kuat dan agama mana yang paling benar, tetapi dunia berbicara apakah kamu boleh menyumbang kepada ba-ngunnya demokrasi yang bersih dan terbinanya masyarakat intelek yang berani bersuara menyatakan kebenaran.

Jika tidak lagi mampu melakukan itu semua, lebih baik pulang atau pergi ke hutan dan bergaul dengan haiwan dan penghuni hutan. Jangan lagi pulang-pulang ke masyarakat kerana masyarakat dan negara tidak memerlukan kamu!.

Dasawarsa ini, dunia bergerak begitu pantas dalam segenap aspek termasuk arus perubahan. Negara memerlukan perubahan pada segenap aspek.

Jika sekalian kita tidak memposisikan diri menjadi pendukung perubahan, maka kegagalan akan menimpa dan orang yang gagal tersisih ketepi seperti baju lusuh yang tidak lagi dipedulikan orang.

Perpecahan politik yang berlaku adalah pasang surut demokrasi dan lumrah dalam berjuang kerana setiap perjuangan akan melahirkan segelintir pejuang yang bersifat tempel-tempelan, yang muncul saat kemenangan akan diraih, malah yang mengkhianati perjuangan.

Baiklah kita mencontohi kesabaran dan daya juang yang ditunjukkan oleh Presiden Abraham Lincoln bersama-sama rakyatnya menentang politik kotor dan perhambaan di Amerika.

Walau begitu susah dalam suasana perang, namun rakyat dan beliau tidak pernah meninggalkan tanggungjawab demokrasi kerana mereka yakin bahawa dengan jalan ini mereka mampu menjulang kemenangan.