• Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM)
1 /

TANGGAL 11 September 2012 merupakan hari bersejarah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia  yang bertungkus lumus bagi menyediakan Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang merangkumi 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ucapan pelancaran turut berceloteh  bahawa angka 11 merupakan angka yang sangat bermakna kepada beliau.

Apapun, pelaksanaan PPPM ini akan dibahagikan kepada tiga gelombang atau peringkat pelaksanaan bermula 2013-2015, 2016-2020 dan 2021-2025.

Hari ini, tema kependidikan merupakan satu agenda dasar yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak. Buktinya, hasil daripada agenda PPPM ini adalah bertitik tolak kepada usaha generasi awal melalui Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dengan matlamat untuk menjadikan sistem pendidikan alaf baru negara yang lebih relevan dan mapan ke arah merealisasikan aspirasi yang diharapkan dapat melangkaui matlamat Wawasan 2020.

Inisiatif siri jelajah dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan di seluruh negara bagi memungut suara dan pendapat rakyat Malaysia berhubung isu pendidikan dilihat sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, muhasabah dan memikirkan semula kerelevanan sistem pendidikan yang dilaksanakan pada masa ini.

Penglibatan kesemua pemegang taruh (stakeholder) di negara ini menunjukkan referundum rakyat sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian. Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu.

Sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya telah banyak memberikan jasa dan membuahkan pelbagai kejayaan. Namun begitu, kejayaan ini tidak menghalang kerajaan dari melakukan agenda perubahan (taghyiri)  yang lebih bermakna.

Dalam PPPM juga telah mengambil maklum bahawa isu pendidikan yang dibicarakan tidak hanya menyangkut soal cabang dan ranting, tetapi ianya turut menggugat esensi pendidikan sebagai proses ‘memanusiakan manusia’ dan pengutuhan sumber daya insani.

Kita mengharapkan, melalui PPPM ini perubahan sistem pendidikan yang mengambil kecenderungan untuk ‘more testing than educating’ yang mana prestasi pelajar diukur melalui medan peperiksaan sebagai ukuran kualiti dan penentu masa depan dapat diubah.

Ini kerana sistem ini hanya mementingkan markah dan gred yang secara tidak langsung mengabaikan pembentukan diri manusiawi. Orientasi ini membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang.

Persoalannya, adakah selepas 2025 Negara mampu melahirkan ilmuan yang berani bersikap, berakhlak tinggi serta mempunyai kekuatan intelektual dan keaslian fikiran? Apakah sistem pendidikan kita dapat melahirkan manusia yang baik (good man) sepertimana yang diungkapkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas?

Justeru, matlamat pendidikan bukan sahaja sekadar untuk melahirkan warganegara yang baik (good citizen) tetapi lebih kepada persoalan untuk mengukuhkan kerangka kefahaman individu terhadap agama, tahu akan peranan makna diri dan mempunyai rasa ketuhanan yang tinggi.

Justeru, langkah kementerian untuk mendidik generasi muda berasaskan prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai murni sewajarnya disuntik dalam sistem pendidikan sedia ada.

Perkara ini sangat penting kerana manusia yang dididik dengan nilai pendidikan yang benar adalah mereka yang akan mentadbir negara pada masa akan datang. Jika acuan yang diberikan salah, maka berlakulah tragedi kependidikan oleh kerana manusia yang mendiami negara itu merupakan individu-individu yang kosong jiwanya, masyarakat yang keliru pemikirannya dan menjadi beban masalah pula kepada negara.

Hasrat besar kerajaan melalui PPPM ini juga tidak akan tercapai sekiranya kerisauan yang berlegar dalam kalangan massa tidak diambil kira. Isunya adalah berkaitan kemunculan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan sekolah-sekolah swasta, persendirian mahupun sekolah antarabangsa yang tidak berada di bawah satu sistem pendidikan nasional dan tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996.

Justeru, cadangan untuk meletakkan mereka di bawah satu bumbung yang sama dilihat wajar sejajar dengan hasrat untuk memastikan pendidikan tidak kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi. Justeru, nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya di semua dimensi kegiatan persekolahan ini.

Selain itu, kebimbangan terhadap kumpulan-kumpulan tertentu yang dilihat terancang dari segi permintaan dan gesaan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum laporan akhir pelan ini dibentangkan kepada Kabinet, Disember depan untuk mempengaruhi dan mempersoalkan keputusan kerajaan sedia ada dalam isu pendidikan terutamanya berkaitan soal PPSMI, cadangan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris, memperkasakan sekolah Antarabangsa dan pengenalan dasar-dasar lain yang bercanggah dengan semangat, dasar dan falsafah pendidikan negara.

Dalam hal ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) beriltizam bahawa agenda pendidikan merupakan fokus utama gerakan ini.

Lantaran itu, PKPIM akan mengadakan kerjasama bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan beberapa persatuan pelajar dan mahasiswa untuk menganjurkan beberapa perbincangan dan Diskusi Meja Bulat berkenaan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan, 2013-2025 ini.

Kita merasakan bahawa penglibatan secara langsung oleh generasi muda amat diperlukan memandangkan generasi ini nanti akan menjadi pemain utama dalam menggerakan agenda masa depan pendidikan negara.

Akhirnya, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ini dapat disimpulkan bahawa pendidikan adalah merupakan proses untuk menanam sesuatu dalam diri manusia dan pengajaran adab (ta’dib) sebagai sebagai intipatinya.

Dalam erti kata lain, tidak berlaku proses pendidikan tanpa penerapan adab. Di dalam peribadi-peribadi yang lahir itu, nilai-nilai moral yang akan menentukan arah tujuan dan penggunaan semua maklumat yang masuk ke dalam dirinya melalui berbagai-bagai saluran atau proses pembelajaran.

Dalam kaitan ini, untuk mencapai hasrat dan cita-cita PPPM ini,  peranan institusi pendidikan sebagai “hujung tombak” sistem pendidikan negara dalam erti kata sebagai akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.

*Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)