PADA 29 Julai lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan yang juga Naib Presiden Amanah, Husam Musa, mengumumkan persetujuan mesyuarat PH Kelantan untuk menubuhkan satu majlis yang akan mengendalikan peruntukan-peruntukan Kerajaan Persekutuan di negeri itu.

Mengikut Husam, majlis yang dinamakan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri Kelantan (MTPNK) ini akan dipengerusikan oleh beliau dan dianggotai oleh 2 wakil Amanah, Bersatu, PKR dan DAP bersama seorang wakil wanita dan seorang wakil pemuda.

Turut diumumkan oleh Husam ialah cadangan melantik jawatan kuasa-jawatan kuasa khas yang akan diketuai oleh seorang pengerusi sebagai penyelaras dan penghubung antara setiap kementerian yang relevan di peringkat Negeri Kelantan dan rakyat di negeri itu.     

Pengumuman ini segera mendapat reaksi keras para pemimpin Pas selaku peneraju Kerajaan Negeri Kelantan, apa lagi bila ia turut dijuarai oleh ahli akademik tertentu yang merasakan bahawa cadangan penubuhan MTPNK ini merupakan pembentukan “Kerajaan Dalam Kerajaan”.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa cadangan penubuhan MTPNK ini merupakan satu perkara yang sensitif bagi rakyat Negeri Kelantan sejak Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) ditubuhkan pada 1 Januari 1991 selepas Pas memenangi Kelantan dalam PRU 8.

Ekoran perbezaan fahaman politik antara Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh Pas dan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Umno, maka JPPK pun ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan persekutuan di Negeri Kelantan.

Dengan diketuai oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh dua orang Timbalan Pengarah, iaitu Timbalan Pengarah Pembangunan dan Timbalan Pengarah Teknikal, JPPK yang berada di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, mempunyai kuasa luas.

Kuasa ini terpancar dalam 223 perjawatan yang dipunyai oleh JPPK, di samping 10 Pejabat Pembangunan Jajahan yang diketuai oleh Pegawai Pembangunan Jajahan di Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Pasir Mas, Kuala Krai, Bachok, Machang, Tumpat, Jeli dan Gua Musang.

JPPK juga mempunyai 7 Bahagian khusus membabitkan Bahagian Pengurusan, Bahagian Kewangan, Bahagian Khas, Bahagian Pelaksanaan dan Pemantauan, Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Institusi, Bahagian Teknologi Maklumat dan Bahagian Teknikal.

Terpenting dalam membentuk persepsi pembentukan “Kerajaan Dalam Kerajaan” ini ialah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Institusi yang berperanan melantik Anggota Penggerak Masyarakat, Guru dan Penyelia Kafa, Tokoh Agama dan Pegawai Dakwah.

Turut diselaras pelantikan mereka oleh Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Institusi, JPPK, ini ialah Penyelaras Parlimen, Penyelaras Dun, Pentadbir Mukim serta Pengerusi dan Setiausaha Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Bila JPPK mewujudkan Pentadbir Mukim dan JKKKP yang bersaing dengan Penggawa Mukim dan Penghulu Kampung yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Kelantan, maka tanggapan pemimpin Pas ialah Kerajaan Persekutuan mahu bersaing dengan kerajaan mereka.

Selepas PH menang PRU 14 baru-baru ini, tular dalam media sosial pada 15 Mei lalu surat penamatan kontrak lebih 3,000 kakitangan lantikan Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Institusi yang ditandatangani oleh Pengarah JPPK, Amir Zakri Mahmad Mahyidin.

Sebab itulah bila timbul cadangan penubuhan MTPNK oleh Husam, maka perkara pertama yang terbayang di mata sesetengah pihak adalah tidak ada bezanya Kerajaan PH sekarang dengan Kerajaan BN dahulu yang melantik dua penghulu, dua penggawa dan dua JKKKP.

Begitu juga dengan persepsi bahawa penubuhan MTPNK ini bercanggah dengan amalan demokratik kerana kononnya apa yang menjadi hak kepada kerajaan negeri hendaklah disalurkan kepada kerajaan negeri selaras dengan pilihan rakyat dalam sistem politik demokrasi.

Cadangan penubuhan MTPNK ini tidak boleh sebagai usaha pembentukan “Kerajaan Dalam Kerajaan” atau bercanggah dengan amalan demokratik kerana penekanan MTPNK adalah untuk mengendali dan menyelaraskan peruntukan-peruntukan Kerajaan Persekutuan sahaja.

Malah, dalam satu segi, penubuhan MTPNK yang dianggotai oleh setiap wakil parti komponen PH di Kelantan ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk perkembangan demokrasi kerana ia memberi ruang untuk golongan minoriti bersuara dan menjalankan proses semak dan imbang.

Saya tidak melihat di dalam kenyataan beliau Husam mahu mengambil mana-mana hak sah kerajaan negeri atau mahu menafikan projek-projek pembangunan kepada Negeri Kelantan seperti yang dilakukan oleh pemimpin UMNO selama ini mengikut dasar membalas dendam mereka.

Sebaliknya, apa yang mahu dilakukan oleh PH Kelantan adalah untuk merancakkan lagi projek-projek pembangunan kepada Negeri Kelantan dengan merancang, mengenal pasti keutamaan dan menyelaraskan projek-projek pembangunan ini dengan setiap kementerian yang relevan.

Diketahui umum bahawa selepas ketiadaan Husam dalam barisan Exco-nya sejak tahun 2013, Kerajaan Negeri Kelantan tidak mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk merancang, melaksanakan dan memantau perlaksanaan projek-projek pembangunan di negeri itu.

Sebab itu kita dapati projek-projek pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan selepas tahun 2013 banyak yang bersifat selektif, bertujuan politik semata-mata, tidak berdaya maju, tidak menguntungkan atau terbengkalai terus.

Di pihak pemimpin BN pula, wujud pempolitikan JPPK sehingga timbul persepsi bahawa penyaluran projek-projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di Kelantan sebelum ini adalah lebih kepada untuk menjaga kepentingan parti politik, khususnya Ketua Bahagian Umno.

Tegasnya, cadangan penubuhan MTPNK ini adalah suatu perkara baik yang sangat perlu disegerakan perlaksanaannya, bagi membolehkan pemimpin PH Kelantan yang rata-ratanya terdiri dari golongan profesional boleh lebih berperanan dalam usaha memajukan Kelantan.

Tiada sebab mengapa rakyat Kelantan akan menolaknya bila ia pasti membawa kebaikan kepada mereka, apa lagi bila PH Kelantan memberikan ruang kepada mereka, malah wakil kerajaan negeri sekalipun, untuk turut mencorakkannya selaras dengan konsep Malaysia Baharu.

***Prof Madya Dr Rusdi Omar merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UUM dan Dekan Pembangunan Pelajar Dan Alumni UUM