PRU Malaysia satu contoh yang baik untuk dunia Islam saksikan. Ia juga satu kajian kes untuk pengajian Islam khususnya bagaimana penukaran kerajaan berlaku tanpa menumpahkan setitis pun darah. Sepantas hanya dalam satu malam.

Ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia itu tinggi tamadun dan sikapnya. Demikian juga membatalkan andaian sesetengah pihak dalam pengajian Islam yang mengharamkan penukaran kerajaan atas alasan akan menumpahkan darah.

Lebih malang lagi kalangan golongan literalis nas yang membicarakan tentang pengharaman penukaran kerajaan tanpa memahami illah ataupun punca hukum pengharaman itu iaitu penumpahan darah.

Para fuqaha (sarjana Fekah) dahulu mengharamkan penukaran kerajaan kerana berdasarkan pengalaman yang mereka nukil dan saksi proses itu akan menyebabkan tumpah darah dan kekacauan yang sukar untuk dihentikan.

Rakyat Malaysia membuktikan bahawa sikap yang baik dan demokratik boleh menjadikan proses tersebut aman dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Kitab-kitab Fekah khususnya dalam masalah siyasah yang ditulis dalam kurun-kurun yang lepas hendaklah dibaca dengan memahami konteksnya yang mungkin berbeza.

Maka, bukan semua pandangan sarjana yang lepas sesuai untuk diamalkan di masa kini.

*Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin