DALAM merangka Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi menangani masalah jenayah seksual terhadap golongan kanak-kanak dalam negara, pihak kerajaan juga disaran untuk mempertimbangkan cadangan bagi menyentuh isu yang berkaitan dengan perkahwinan bawah umur dibawah RUU yang bakal dibentangkan di Parlimen kelak.

Cadangan pihak kerajaan baru-baru ini bagi mewujudkan sebuah akta khusus bagi membendung jenayah seksual terhadap golongan kanak-kanak dalam negara kita perlu disokong oleh semua pihak kerana ia dilihat dapat melindungi golongan terbabit daripada menjadi mangsa jenayah seksual.

Namun, dalam melaksanakan usaha murni terbabit, segala isu yang berkaitan dengan aspek keselamatan golongan kanak-kanak perlu dibincangkan serta disertakan di bawah RUU terbabit.

Tidak dapat dinafikan, isu atau masalah perkahwinan yang melibatkan golongan bawah umur memerlukan perhatian yang serius dari pihak kerajaan kerana ia melibatkan masa depan golongan berkenaan.

Mengikut peruntukkan undang-undang yang ada di Malaysia, bagi orang Islam di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum berkahwin bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Ini jelas diperuntukkan dibawah Seksyen 8 Enakmen berkenaan. Bagi orang bukan Islam pula, mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah seperti yang telah diperuntukkan dibawah seksyen 10 dan seksyen 21(2) Akta 164 terbabit.

Manakala, hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun pula boleh dikenakan tuduhan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mengikut Seksyen 376 terbabit, “Barang siapa melakukan rogol hendaklah dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan hendaklah kenakan hukuman sebat”.

Walaupun terdapat peruntukkan undang - undang mengenai isu berkenaan, kes-kes yang melibatkan perkahwinan bawah umur dilihat masih terus berlaku di negara ini.

Ini berdasarkan pendedahan yang dibuat melalui media massa semenjak beberapa tahun yang lalu dalam negara kita.

Isu perkahwinan bawah umur tidak boleh dipandang ringan oleh mana - mana pihak kerana ia boleh memberi impak negatif sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.

Institusi perkahwinan memerlukan pasangan yang memiliki tahap kematangan yang tinggi bagi menjamin kehidupan keluarga yang baik.

Tahap kematangan yang tinggi jarang dimiliki dikalangan golongan bawah umur.

Mereka yang berkahwin di bawah umur khususnya kaum wanita akan menerima impak yang lebih khusunya dari aspek kesihatan seperti mengandung diusia yang terlalu muda, terdedah kepada risiko keganasan rumahtangga, terdedah kepada risiko penipuan, terdedah kepada risiko paksaan, risiko menjadi mangsa penganiayaan dan pengabaian, dan lain - lain risiko lagi.

Oleh itu, satu usaha sepadu perlu digerakkan bagi menangani isu terbabit.

Pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak badan - badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita yang banyak menjalankan kajian mengenai perkara terbabit serta merangka satu undang-undang yang lebih komprehensif serta berkesan bagi mengatasi isu perkahwinan bawah umur dalam negara kita dan pada masa yang sama dapat melindungi serta menjamin keselamatan dan kebajikan golongan terbabit.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang - Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DALAM situasi negara kita yang masih hangat selepas Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik yang diadakan oleh wanita-wanita yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di samping peduli dengan situasi negara kini, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, negara jiran kita Singapura mengiktiraf keupayaan wanita dalam memimpin. Tahniah Puan Presiden Halimah Yacob! Tahniah Rakyat Singapura.
  • TRAGEDI menyayat hati yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beberapa hari yang lepas telah mencetuskan kemarahan umum terhadap individu-individu yang disyaki melakukan perbuatan khianat menceroboh dan memulakan kebakaran tersebut.
  • BERSEMPENA dengan ketibaan 1 Muharram 1439H ini maka saya dan seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di seluruh negara ini.
  • ISLAMISASI merujuk kepada usaha untuk menjadikan Islam sebagai asas kepada segala pandangan, pemikiran, nilai dan budaya hidup dalam semua aspek kehidupan.
  • SAYA berasa sedih membaca rencana jawapan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ulasan saya berkenaan parti Pas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.