SATU persamaan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia adalah, ketiga-tiga negara ini telah “bebas” daripada pemerintahan panjang dan monopoli rejim. Menyingkap kembali sejarah, para sarjana mengklasifikasikan Filipina sebagai rejim demokratik pasca pilihan raya presiden 1986 selepas tumbangnya rejim “kuku besi” Ferdinand Marcos. Manakala kejatuhan rejim Soeharto pada 1998 membuka lembaran baru kebebasan rakyat untuk bersuara.

Gerakan demokrasi bagi kedua-dua negara serantau dengan Malaysia ini didorong oleh kebangkitan rakyat menentang terhadap salah laku dalam pemerintahan, seperti penyelewengan wang awam, penindasan oleh elitis dan amalan pilih kasih dalam pentadbiran.

Tidak dinafikan juga, kebangkitan ini menjadi cetusan kepada desakan awam untuk melihat penyediaan ruang persaingan pilihan raya yang seimbang, lebih adil dan diyakini, yang mana digerakkan oleh peranan pemantau.

Sejak penubuhannya pada 1983, keupayaan National Citizen’s Movement for Free Elections (NAMFREL) diiktiraf semasa pilihan raya The Batasan pada 1984. Dengan mengimplementasikan Operation Quick Count (OQC), kumpulan pemantau ini melakukan semak dan imbang dan seterusnya menyanggah keputusan yang diumumkan Commission on Election Philippines (COMELEC), membolehkan Corazon Aquino mengambil alih tampuk pemerintahan.

Manakala pada awal penubuhannya, aktivis Komite Independen Pemantau Pemilu (KIPP) pula sering kali ditindas oleh rejim pemerintah dengan pelbagai ancaman, ugutan dan penahanan. Kumpulan pemantau ini berupaya membuktikan bahawa tiadanya kebebasan dan keadilan dalam pilihan raya yang dilaksanakan oleh pemerintah, hingga menjadi faktor pendorong terhadap Kebangkitan Kuasa Rakyat 1998, yang mendesak kepada peralihan kuasa pemerintahan kepada B. J. Habibie.

Berpandukan kepada resolusi daripada pelbagai konvensyen, prinsip-prinsip amalan demokrasi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebilangan garis panduan pengoperasian pemantau oleh organisasi-organisasi utama seperti Organization for Security and Co-operation in Europe (OSCE) dan International Institute for Democracy and Electoral Assistance (International IDEA), pemantau pilihan raya berperanan untuk melihat keseluruhan proses pilihan raya, mengenal pasti kelemahan pelaksanaan prosedur pilihan raya dan mencadangkan penambahbaikan melalui laporan pemantauan.

Kajian lepas menunjukkan keterlibatan pemantau begitu banyak tertumpu di negara-negara pasca konflik, dalam peralihan kepada demokrasi dan masih di dalam peringkat demokrasi rapuh. Negara-negara Eropah Timur, Amerika Selatan, Sub Sahara Afrika dan Asia sering dilibatkan oleh para pengkaji bagi mendalami urusan pemantauan pilihan raya mengikut kategori negara tersebut.

Kehadiran para pemantau didapati terbukti berupaya untuk mengurangkan manipulasi dalam pengendalian pilihan raya, merendahkan risiko penipuan terutamanya dalam pengiraan dan penjumlahan undi, dan pada masa yang sama meningkatkan keyakinan awam terhadap ketelusan pilihan raya.

Saranan pemantau juga sering diambil kira oleh pemerintah bagi usaha meningkatkan lagi mutu pilihan raya yang dilaksanakan. Kontradiksinya, kemunculan pemantau dalam sesebuah pelaksanaan pilihan raya juga dikesan tidak berupaya mendorong kepada perolehan keputusan pengundian yang mencerminkan kehendak rakyat sebenar, dan laporan pemantauan yang dihebahkan juga menggalakkan kekacauan pasca pilihan raya seperti bantahan, demonstrasi dan rusuhan.

Malah, terdapat juga rejim pemerintah seperti Rusia dan Zimbabwe menggunakan pelbagai tipu helah bagi memanfaatkan kehadiran pemantau pilihan raya untuk memperoleh legitimasi dalam pelaksanaan pilihan raya.

Dalam konteks Malaysia, keterlibatan pemantau dilihat amatlah tepat, memandangkan negara ini baharu sahaja menginjak kepada pemerintahan yang lebih berdemokrasi (begitu ramai sarjana menggambarkan pelbagai adjektif autoritarian bagi pemerintahan terdahulu).

Walau bagaimanapun, urusan pemantauan ini haruslah ditangani dengan berhati-hati, untuk memastikan badan pemantauan yang terlibat melaksanakan tugas dalam skopnya, dan tidak melanggar sempadan ruang yang diperuntukkan.

Pengalaman Filipina dan Indonesia jelas menunjukkan, pemantau pilihan raya domestik seperti NAMFREL dan KIPP berupaya merevolusikan kebangkitan rakyat, melalui pembudayaan pemantauan awam terhadap perjalanan pilihan raya, malah ia juga mampu untuk mengubah landskap pemerintahan negara.

Keterlibatan pemantau pilihan raya, sama ada daripada pihak antarabangsa yang berkredibiliti, umpamanya seperti Carter Center, National Democratic Institute (NDI), International Republican Institute (IRI) dan International Foundation for Electoral Systems (IFES), serta badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang dilantik, diberi latihan secukupnya dan akreditasi, merupakan suatu pilihan yang perlu ditetapkan oleh pemerintah.

Hal ini adalah kerana, urusan pemantauan merupakan suatu proses yang panjang, melibatkan begitu banyak fasa dalam pilihan raya dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dalam ruang masa yang terhad.

*Penulis pelajar PhD Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia