HARI ini dunia semakin mencabar. Kesemuanya berjalan dengan cepat. Kalau lambat, banyak perkara kita akan tertinggal. Kasihan juga bagi mereka yang lahir sebelum ledakan teknologi maklumat (IT) yang terpaksa hidup dengan dunia semakin pantas dan teknologi semakin berkembang pada hari ini.

Malah masih ada individu yang masih terkial-kial untuk menggunakan perkhidmatan pelbagai jenis mesin berkaitan kewangan di sesebuah bank. Sementelahan pula hendak menggunakan pelbagai gajet dan sistem IT yang ada sekarang.

Akibatnya mereka semakin keliru dan mula menjarakkan diri. Maka perasaan rendah diri dan terasing mula membelenggu mereka. Keadaan ini mendorong mereka, sama ada untuk Fight or Flight (Lawan atau Lari) daripada fenomena tersebut.

Secara prinsipnya istilah lawan atau lari dikemukakan oleh ahli psikologi untuk mendepani isu berkaitan pengurusan emosi. Mengapa kita perlu uruskan emosi kita?. Menurut kajian terhadap psikologi manusia, setiap manusia mempunyai enam jenis emosi bermula semenjak mereka lahir hinggalah ke hari ini.

Emosi tersebut bersifat global dan merentasi budaya. Enam jenis emosi tersebut ialah; marah, takut, menyampah, sedih, terkejut dan gembira. Secara asalnya kesemua enam emosi ini adalah bersifat normal dalam diri setiap manusia.

Maka ia bergantung kepada bagaimana cara kita menguruskan emosi tersebut. Apa yang paling menakutkan ialah, jika kita gagal mengawal emosi marah menyebabkan timbul pula pelbagai lagi jenis emosi yang bersifat mikro seperti; dendam, sakit hati, cemburu dan sebagainya lagi.

Begitu jugalah dengan emosi yang lain. Natijahnya boleh membawa diri kita menjadi semakin agresif dan memudaratkan diri sendiri. Oleh itu, bagi menguruskan emosi dalam diri seseorang, pendekatan yang biasa digunakan iaitu sama ada lawan atau lari.

Bagi mereka yang mempunyai watak berani dan suka berlawan sudah tentu memilih untuk melawan atau fight agar mereka dapat melepaskan perasaan yang terpendam dan terbuku selama ini.

Manakala bagi mereka yang berwatak agak lembut maka memilih untuk mengelak atau lari dari berlawan atau flight walaupun terpaksa berkorban hati dan perasaan bagi mengelak konflik berlaku dengan lebih besar. Walaupun begitu kedua-dua tindakan tersebut adalah tergolong dalam kelompok yang sama iaitu bertindak balas, cuma caranya agak berbeza.

Apabila menyentuh soal ‘bertindak balas’, teringat saya sewaktu mengerjakan umrah kali pertama tahun 2000. Banyak perkara berkaitan ibadah umrah belum dapat dihadam dengan baik. Salah satunya ialah tawaf.

Saya hairan mengapa selepas tawaf saya tidak dapat merasai perasaan yang mendalam dalam beribadat atau dengan istilah lain tiada feel atau perasaan. Saya cukup takut dengan fenomena ini kerana mungkin dikaitkan dengan dosa-dosa saya selama ini.

Akhirnya saya sembahyang sunat dan meminta petunjuk ALLAH SWT agar dapat memberikan jawapan kepada saya mengapa saya berkeadaan sedemikian. Alhamdulillah ALLAH memberikan jawapan kepada saya menerusi pemerhatian saya terhadap jemaah yang sedang bertawaf.

Rupanya selama ini saya banyak memberikan respons atau bertindak balas sewaktu bertawaf. Apa tidaknya, apabila saya tertolak oleh jemaah lain yang menyebabkan saya melanggar jemaah di hadapan saya secara tidak sengaja, maka saya cepat mempertahankan diri setelah dimarahi oleh jemaah tersebut.

Begitu juga kadangkala ada jemaah yang tinggi daripada saya meletakkan tangan di atas bahu saya menyebabkan secara spontan saya menolak tangannya dari bahu saya. Akibatnya saya tidak fokus dalam mengerjakan tawaf, sebaliknya banyak memberikan tindak balas.

Setelah mendapat jawapan tersebut, saya sekali lagi menunaikan ibadat tawaf sunat dengan tujuan untuk tidak bertindak balas lagi sebaliknya mahu fokus seratus peratus. Rupanya saya semakin diuji dengan ujian yang lebih besar semasa tawaf.

Ada yang angkat penumbuk pada saya kerana menuduh saya menolak, ada yang melanggar saya dan pelbagai ujian lagi. Namun saya tetap tidak bertindak balas sebaliknya saya terus beristighfar dan terus beristighfar tanpa putus.

Akhirnya saya tamat tujuh pusingan dengan air mata yang membasahi pipi kerana saya tidak pernah merasai kenikmatan dalam beribadat pada ALLAH SWT. Hari ini, tidak kira siapa kita telah didedahkan dengan pelbagai reaksi tindak balas.

Banyak platform digunakan, terutamanya dalam media sosial hari ini. Apabila ada sahaja isu maka banyaklah netizen yang memberikan respons secara negatif. Kita takut ada pihak yang ketiga menyusup masuk dalam diri kita iaitu, ‘As-Syaitan’.

Ingatlah kita semua tidak maksum dan kesemua kebarangkalian boleh berlaku apabila makhluk tersebut menyusup masuk ke dalam diri. Berhikmahlah.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESAR sungguh dosa kita kepada lebih 200,000 pesawah di Malaysia. Beras yang kita makan (secara purata setiap rakyat Malaysia makan 120 gram nasi sehari) datang dari titik peluh mereka.
  • SEJAK meletusnya peristiwa Arab Spring di Timur Tengah pada awal 2011, Syria merupakan salah sebuah negara yang menerima kesan terburuk selain Libya dan Yaman.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.