SEBAIK sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pentadbiran kerajaan Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak terutamanya berkaitan skandal 1MDB, beliau terus mendapat cemuhan bertalu-talu daripada pihak parti pemerintah. Jasanya membangun dan menaikkan nama negara dilupakan begitu saja.

Namun itu tidak mematahkan semangat pemimpin berjiwa besar ini untuk terus berkata benar. Beliau teguh berdiri dengan penuh yakin memulakan langkah menyelamatkan Malaysia di sebalik serangan fitnah dan propaganda memburukkan Tun yang datang bertali arus.

Dalam usia yang lanjut meniti sembilan dekad, beliau masih menggagahkan diri untuk menjelajah ke seluruh negara dalam usaha untuk memperbetulkan landasan negara yang sudah jauh terpesong. Itu bukanlah suatu perkara yang mudah.

Beliau diberikan pelbagai tekanan hebat. Banyak serangan peribadi telah dilancarkan ke atas Tun. Antaranya beliau dituduh bersekongkol dengan pihak asing dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak sah.

Dirinya dan keluarga diserang dengan pelbagai tuduhan liar termasuklah kononnya tujuan sebenar Tun memimpin Pakatan Harapan adalah untuk memastikan anaknya menjadi perdana menteri. Ini termasuk juga tuduhan yang mengaitkan tindakan Tun sebagai membalas dendam terhadap Najib yang telah menggugurkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

Media massa di bawah kerajaan terdahulu dimanipulasi untuk memburukkan imej Tun supaya rakyat benci kepadanya. Kemaraan politik Tun cuba disekat dengan melengah-lengahkan pendaftaran pakatan parti pimpinannya dan semasa di ambang pilihan raya pula, parti politik yang diasaskannya diharamkan.

Semua dirancang dengan pelbagai taktik kotor sehingga ke musim pilihan raya dan diteruskan sehingga ke detik-detik keputusan pilhan raya yang menyaksikan rakyat Malaysia tertunggu-tunggu bersengkang mata pada satu malam yang panjang untuk melihat berakhirnya era pentadbiran korupsi Najib dan permulaan era pentadbiran Tun membina semula negara.

Sehingga ke hari ini rakyat masih tertanya-tanya mengapa begitu lama masa diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia untuk mengumumkan pembentukan kerajaan melalui majoriti mudah.

Pertukaran kerajaan bukan bermakna berakhirnya perjuangan Tun. Perjuangan masih belum selesai dan masih banyak yang perlu dilakukan.

Semua rakyat Malaysia terhutang budi di atas keberanian, kesungguhan dan kebijaksanaan Tun dalam mengemudi satu perjalanan yang sangat panjang menjatuhkan kezaliman yang pastinya penuh berliku. Tidak dapat dinafikan ‘faktor X’ Tun yang menyebabkan semakin ramai rakyat beralih sokongan kepada Pakatan Harapan.

Sejarah akan menilai jasa Tun mentadbir negara selama 22 tahun dan juga pengorbanan Tun untuk menyelamatkan Malaysia untuk sekali lagi menabur jasa sebagai pemimpin tertinggi negara.

Rakyat Malaysia termasuk saya sendiri pastinya berbangga dengan detik bersejarah ini berganding bahu di bawah nakhoda Tun menjatuhkan secara demokratik pentadbiran Najib yang penuh dengan penyalahgunaan kuasa, korupsi dan pelbagai taktik kotor mempertahankan status quo kuasa yang dipegang.

Saya mendoakan agar Tun dilanjutkan usia dan diberikan kekuatan untuk melakukan yang terbaik dalam usaha membina semula negara Malaysia. Terima kasih diucapkan kepada negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak dilupakan kepada para pejuang yang lain yang berhempas pulas berkorban masa dan tenaga untuk membina Malaysia yang baharu. Kita patut bersyukur kerana pertukaran era pentadbiran korupsi kepada pentadbiran berintegriti berjalan dengan lancar tanpa terjadi sebarang perkara yang tidak diingini.

Semoga perjuangan Tun bersama rakan seperjuangan membina semula negara akan dapat diselesaikan dengan teratur dan maruah negara yang telah tercalar dapat dikembalikan segera.

Bersama kita membina semula negara tercinta Malaysia. Kami menyokong penuh Tun untuk menyambung menyudahkan perjuangan yang masih belum selesai ini.

* Penulis ialah Penganalisis Kanan, Institut Darul Ridzuan (badan pemikir kerajaan negeri Perak)