DI sebalik Barisan Nasional (BN) berhadapan kemelut politik negara yang melihat percubaan serpihan parti Melayu berganding bahu dan mengukuhkan kerjasama antara pembangkang untuk berdepan PRU14 serta kemunculan parti-parti baharu, jangan kita alpa dengan sasaran golongan pengundi yang manakah bakal didepani dalam meraih undi sokongan mereka.

Pola pengundian di setiap pilihan raya umum perlu diketahui, siapakah rata-rata penyokong termasuk peratus etnik-etnik yang terbabit di kawasan berkenaan. Pada masa sama, soal keberadaan pengundi-pengundi atas pagar yang selalu membuat keputusan berdasarkan kredibiliti pemimpin dan isu-isu semasa tidak harus diketepikan. Ini amat penting untuk dinilai berdasarkan faktor demografi di sesuatu kawasan dan pilihan parti yang bakal dipangkah pada detik pengundian nanti.

Apa yang pasti faktor pengundi kali pertama dan pengundi muda tetap memainkan peranan penting di setiap pilihan raya umum seperti PRU12 dan PRU13, malah boleh menjadi salah satu elemen penyumbang peratus atau penentu kemenangan sesuatu parti politik. Walaupun, wujud perdebatan sama ada pengundi muda menjadi faktor penentu keputusan PRU, namun agak sukar dijustifikasi kerana ia berkait rapat dengan demografi di kawasan berkenaan. Justifikasi yang sama juga boleh diletakkan pada kategori pengundi dewasa yang mungkin juga atas pagar.

 Adalah satu kenyataan yang perlu diterima umum bahawa pengundi dewasa atau veteran selalunya mempunyai sentimen “mengenang jasa” atau “membalas budi" sesuatu parti berbanding pengundi muda yang dilihat lebih bersifat terbuka dalam menentukan sokongan pilihan mereka. Kajian membuktikan sokongan pengundi dewasa biasanya berjangka masa panjang, tetapi pengundi muda sokongan mereka lebih bersifat jangka pendek kerana mereka menilai dasar parti, sikap pemimpin dan isu semasa yang didebatkan sebelum menjelang PRU14.

Antara elemen utama yang selalunya dilihat ialah kredibiliti calon. Mereka bersandarkan harapan kepada calon yang boleh beri inspirasi dan menjamin masa depan mereka. Mereka tidak meletakkan sokongan berdasarkan sentimen politik kepartian yang selalunya diamalkan oleh kebanyakan pengundi dewasa. Ini kematangan politik yang perlu dipelajari di mana sentimen kepartian tidak ‘laris’ dalam kalangan pengundi muda atau pengundi kali pertama.

Yang jelas dalam aliran masa, kesemua pengundi di negara ini bermula daripada pengundi muda yang lama kelamaan akan menjadi pengundi dewasa dan diganti dengan pengundi muda lain. Maka adalah penting bagi BN untuk menarik sokongan pengundi muda dari awal kerana mereka akan bawa sokongan itu sehingga menjadi pengundi dewasa. Pengundi mudalah yang menentukan siapa memerintah untuk jangka masa panjang.

Rata-rata pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau lebih 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini, dan persoalan sekarang ialah sejauh mana mereka ini mampu menjadi penentu keputusan PRU14 nanti. Kedudukan pengundi muda ini agak unik kerana agak sukar untuk mengenal pasti sokongan golongan ini, sama ada berpihak kepada parti kerajaan ataupun pembangkang. Mereka lebih berkedudukan di atas pagar. Tiba masanya untuk bertanya apakah strategi yang digunakan oleh BN untuk memancing golongan ini?

Di sebalik, pendekatan awal yang telah pun dibuat iaitu penggunaan media sosial bagi menarik sokongan generasi muda, isu-isu semasa yang memerlukan penjelasan umum oleh para pengundi perlu diselesaikan dengan segera supaya tidak wujud persepsi negatif yang berpanjangan. Bagaimanapun, media sosial hari ini turut menjana  persepsi yang tidak baik apabila medium berkenaan dikongsi banyak kali oleh netizen. Maka BN harus mengguna pakai medium tradisional (cetak dan penyiaran) yang kini ke satu tahap telah pun mampu menggunakan teknologi interaktif dalam menyampaikan berita semasa dan keupayaan calon-calon mengguna pakai aplikasi teknologi semasa dalam mendekati pengundi-pengundi.

Kebanyakan media arus perdana hari ini, menggunakan aplikasi interaktif dalam menyalurkan berita yang mana lebih digemari oleh pengundi muda yang juga memberikan interaksi pelbagai hala. Calon politik perlu memastikan mereka mempunyai hampir keseluruhan platform media sosial sehingga ke satu tahap mungkin mereka akan ketinggalan sekiranya tidak menggunakan aplikasi-aplikasi berkenaan.

Wujud juga perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar bandar. Pengundi muda luar bandar lebih fokus kepada isu-isu tempatan seperti bantuan kepada golongan nelayan dan petani sementara pengundi muda bandar pula fokus kepada isu-isu nasional atau semasa, membuat pemerhatian pentadbiran negara, isu ekonomi, dasar luar negara dan pelbagai lagi.

Maka boleh disimpulkan bahawa agak sukar menentukan adakah pengundi muda menjadi penentu PRU14 kerana pengundi ini mempunyai sokongan yang berbeza antara satu sama lain. Kajian lepas membuktikan 62 peratus pengundi muda ini tidak menyokong sesiapa, mereka akan tentukan ketika mahu mengundi nanti. Ini jelas menunjukkan pengundi muda tidak mempunyai sokongan yang satu, mereka punyai sokongan yang pelbagai.


* Penulis ialah Penganalisis Politik,
Institut Pengajian Kewartawanan (IJS)
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Shah Alam