PENDIDIKAN Islam dalam kalangan orang Melayu, yang wujud seawal abad ke-15, bermula secara tidak formal. Teks Sejarah Melayu ada menyebut tentang pendidikan khas (yutor) bergelar syeikh, maulana atau makhdum dalam istana raja.

Dalam hikayatnya, Munsyi Abdullah dikatakan pergi dengan Stamford Raffles untuk jumpa guru mengaji, Lebai Abdul Razak yang mencadangkan anak-anak belajar kitab al-Quran dan selepas itu, belajar bahasa Melayu. Jelasnya, ditekankan belajar al-Quran terlebih dahulu.

Inisiatif mengajar mengaji Quran ialah guru berketurunan Arab (syeikh, sayyid) yang datang ke Nusantara untuk berdakwah dan berniaga. Mereka singgah di merata tempat atas motivasi mengembangkan Islam, menyebar aspek asas penghayatan dan amalan agama.

Antara mubaligh dan ulama generasi awal, ada yang berkahwin dengan wanita tempatan serta menetap dan berzuriat. Ramai anak mereka yang meneruskan bidang dakwah dan pendidikan Islam.

(Baca Penginstitusian Pendidikan dan Pendidikan Berterusan di Kalangan Orang Melayu Semenanjung Malaysia: Sejarah, Falsafah dan Kepentingan oleh Khadijah Zon dan M. Khalid Taib dalam Tamadun Melayu Jilid 4, DBP, KL 1995)

Wujudnya kampung orang Melayu-Islam yang ada alim ulama dapat dibaca dalam Rihlat Ibn Batutah (Travels in Asia and Africa 1325-54).

Beliau dapati pendidikan Islam maju di Pasai kerana sultannya minat keagamaan, suka berbincang dan merujuk kepada ulama dan fuqaha.

Manakala Marco Polo (1292) berkata ramai ulama melawat Pasai dan menyumbang kepada kemajuan pendidikan di situ.

Ringkasnya, sumbangan ulama secara individu atau kumpulan kepada perkembangan pendidikan Islam di Tanah Melayu dan Nusantara telah bermula sejak abad ke-13. Pada abad ke-17, Aceh pula menjadi pusat dakwah dan pendidikan Islam. Di wilayah itu, wujud pendidikan tidak formal (yakni tiada kurikulum berhierarki, tiada rekod pelajar serta tiada yuran seragam, ujian atau persijilan) di rumah ulama atau masjid dan surau.

Beginilah bermulanya sistem pengajian pondok di Tanah Melayu dan Nusantara. Ia wujud kerana pertambahan bilangan pelajar dan atas permintaan untuk tempat belajar dengan tok guru yang bermastautin di sesuatu kampung. Apabila rumah tok guru tidak muat, maka pondok-pondok kecil dibina untuk kediaman pelajar. Balai besar atau madrasah (atau balaisah di Kelantan) menjadi tempat pelajar menadah atau mendabik kitab, bersolat dan lain-lain kegiatan berjemaah.

Pondok sangat fleksibel dari segi umur pelajar. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas diterima masuk asalkan pandai urus keperluan diri serta boleh menulis atau membaca al-Quran.

Juga tiada had masa, justeru tiada tekanan untuk tamat cepat. Pelajar boleh tangguh pengajian jika mahu, sebab itu ada yang bertahun-tahun di pondok. Lazimnya, pelajar yang bagus, layak dan cekap amali boleh sambung pengajian ke Timur Tengah tanpa sijil.

Pada abad ke-19, kebanyakan ulama yang mengasaskan pondok adalah mereka yang pulang setelah belajar di Makkah, Madinah, Aceh atau Patani. Antara mereka termasuk Sheikh Abdul Malik bin Abdullah, Sheikh Daud Abdullah al-Fatoni, Sayid Abdul Rahman dan Sayid Mustaffa (Terengganu). Manakala di Kelantan termasuklah Tok Kemuning, Hj Abdul Samad bin Muhammad Salleh al-Kelantani (Tuan Tabal), Tok Guru Hj Ahmad (Tok Jelapang) dan Hj Muhamad Yusuf Ahmad (Tok Kenali), yang menjadi guru kepada ramai ulama - hampir kesemua mereka membuka pondok masing-masing di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Perak. Dengan cara ini, institusi pondok berkembang.

Tapi mulai abad ke-20, sistem pondok mendapat kritikan ulama yang balik dari Mesir, kebanyakannya terpengaruh dengan ajaran dan pandangan Sheikh Jalaludin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh.

Ulama Kaum Muda ini membuka sekolah agama atau Arab, yang berbeza dari segi pendekatan, pentadbiran dan kurikulum. Mereka memperkenalkan sistem kelas, guna kerusi meja, ada jadual waktu, memasukkan pelajaran Matematik, Geografi dan Sejarah serta tidak menyediakan pondok atau tempat tinggal.

Bagaimanapun, pada 1970-an, kebanyakan sekolah agama dan Arab diambil alih oleh Majlis-majlis Islam Negeri atau Kementerian Pelajaran.

* Penulis ialah CEO dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ADALAH penting untuk menjamin faktor nilai lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu dijadikan atau ditetapkan sebagai faktor keberhasilan. Ini sangat penting untuk mengelakkan walau proses ijtihad dan istinbat itu bebas dari kerencatan, maqasid syariah itu sendiri adalah menolak mafsadah atau kejahatan.
  • 1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.
  • SAYA ingin mengulas mengenai langkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul termasuk iklan atas talian sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.
  • ISLAM adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Ini adalah persepsi umum di Malaysia, baik oleh orang Melayu mahu pun yang berbangsa Tionghoa atau Cina.
  • HARI ini tamat Menteri menjawab Perbahasan Belanjawan 2018 di Peringkat Dasar. Setelah dibahaskan daripada 30 Oktober 2017 hingga 13 November 2017. Petang ini hari untuk mengundi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.