PAPARAN berita yang bertajuk “Saya bosan dengan cara cikgu mengajar” yang disiarkan dalam akhbar ini pada 9 Mac 2014 begitu menyentuh hati nurani para pendidik yang begitu banyak menabur bakti dalam dunia keguruan. Pembaca setia akhbar itu yang semestinya ibu bapa murid terbabit mungkin turut sama berasa terkilan. Yang jelasnya, fokus utama ialah pengajaran guru yang tidak menarik menyebabkan murid tersebut tekad ponteng sekolah.

Kalau itulah yang menjadi penyebabnya maka guru Bahasa Melayu dan guru-guru mata pelajaran lain perlu mencari pendekatan, kaedah, strategi, dan teknik pengajaran baharu agar murid pascamerdeka kini suka akan guru sekali gus pengajaran guru.

Sehubungan itu, baru-baru ini, penulis berkesempatan hadiri Seminar Pendidikan Kelas Abad ke-21 anjuran salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota. Antara peserta termasuklah guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, selain pensyarah daripada pelbagai institusi pendidikan tempatan. Apa yang mengagumkan penulis juga ialah beberapa pensyarah asing yang fasih berbahasa Melayu dari institusi pengajian tinggi awam turut menjayakan seminar ini.

Menurut salah seorang pembentang kertas kerja dalam seminar mantik itu, pendidikan yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah diamalkan di dalam bilik darjah di luar negara seperti Amerika Syarikat dan England sejak tahun 1970-an lagi. Hal ini menggambarkan pendidikan Barat begitu mengambil berat tentang kurikulum ke arah pemikiran global dan kemenjadian murid mereka pada abad ke-21 kelak.

Di Malaysia, pengajaran guru yang bertunjangkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pendidikan kelas abad ke-21 yang diuar-uarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2014, iaitu selaras dengan transformasi pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Sebagai guru Bahasa Melayu yang berwibawa, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pada abad ke-21 ini memerlukan pengorbanan dan keprihatinan guru yang tidak sedikit. Pelajar pada alaf baharu ini tidak gemar dikongkong pergerakan mereka di dalam kelas.

Dalam hal ini, amalan pengajaran konvensional melalui cara 'chalk and talk' tidak relevan lagi. Murid-murid mudah berasa bosan apabila pengajaran sehala oleh guru yang tidak memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan pendapat mereka. Pengajaran yang pasif tanpa berbantukan teknologi maklumat tentulah membosankan murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ada murid yang terlebih celik komputer hingga dapat pula mereka membantu guru dalam dunia pengkomputeran.

Selain itu, penggunaan komputer dan 'smart board' seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh para guru untuk menarik minat murid-murid selain susun atur kerusi meja murid yang bercirikan kelas abad ke-21 yang boleh diubah suai setiap minggu.

Penggunaan pelbagai jenis bahan bantu mengajar yang bersumberkan internet amat disukai oleh murid. Guru yang kreatif dan inovatif pula akan berperanan sebagai pemudah cara ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran guru yang berbantukan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Instagram perlu diperluas selain penggunaan mel elektronik atau Google Chrome secara komprehensif. Murid-murid perlu digalakkan melayari internet untuk mencari maklumat terbaharu tentang sesuatu topik pengajaran semasa.

Seterusnya, aktiviti kumpulan sewajarnya diamalkan setiap masa meskipun guru Bahasa Melayu atau guru Geografi telah diamanahkan mengajar murid yang akan menduduki peperiksaan awam baik UPSR, PT3, SPM atau STPM. Dengan kata lain, pengajaran guru yang memberi muridnya peluang untuk kolaboratif antara satu sama lain sememangnya dinanti-nantikan oleh murid pascamerdeka ini.

Kesimpulannya, pendidikan kelas abad ke-21 memfokuskan tiga komponen utama, iaitu pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan atau kurikulum. Penyampaian guru Bahasa Melayu secara aktif, komunikatif dan kolaboratif sememangnya menjadi impian setiap pelajar pada arus perdana ini kerana rangkuman tiga komponen inilah yang merupakan faktor penentu peningkatan peratusan kehadiran pelajar di sekolah setiap hari. Bahasa Sendi Tamadun Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • 1. Berikut senarai Baik atau Buruknya negara jika Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kaedah ‘strategic foresight method’ digunakan yang melibatkan segi tiga antara rekod masa lalu (weight of the past), tekanan dan desakan masa kini (push of the present), dan tarikan masa hadapan (pull of the future). Rujuk Prof. Sohail Inayatullah 2008 “Six pillars: futures thinking for transforming”.
  • PERKARA ini berlaku beberapa tahun dulu. Saya diberitahu audit fungsi jana kuasa akan dijalankan minggu depan. Satu mesyuarat juga akan diadakan untuk mengenal pasti kelemahan dan membaiki segera sebelum tiba hari audit.
  • PADA 24 Jun 2018 akan berakhirlah tempoh maksimum lima tahun mandat Kerajaan Persekutuan yang memerintah. Ia merupakan hari terakhir Parlimen perlu dibubarkan. Tempoh ini dikira berdasarkan kepada sidang pertama penggal semasa iaitu pada 24 Jun 2013.
  • ISU global yang hangat dibincangkan dewasa ini berkisar tentang perubahan iklim dan keperluan untuk penyelesaian yang berterusan ke arah kelestarian kehidupan sejagat.
  • AKHIR - AKHIR ini, suasana agak mendukacitakan. Luka lama berdarah kembali.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.