DALAM Bahagian Pertama semalam, penulis telah mengulas tentang senario politik semasa, kedudukan PKR dalam kerajaan PH dan implikasi pemilihan pucuk kepimpinan PKR kepada PKR dan percaturan politik negara. Dalam Bahagian Kedua ini, penulis akan cuba mengulas tentang persaingan diantara Azmin Ali dan Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, pendirian atau kecenderungan Anwar, penentuan oleh ahli-ahli parti  dan halatuju PKR selepas pemilihan nanti)  

[ ARTIKEL BERKAITAN: Obor reformasi berterusan]

Pendirian Anwar

Sekarang yang menjadi tanda tanya dan spekulasinya ialah siapakah pilihan Anwar di antara calon-calon yang bertanding untuk jawatan tertinggi, khususnya untuk jawatan Timbalan Presiden. Azmin atau Rafizi.

Pendirian Anwar dalam hal ini adalah jelas dan nyata. Beliau mengambil sikap untuk berkecuali. Dalam satu program TV baru-baru ini, beliau berkata:

"Azmin sahabat karib & keluarga, pembantu & penyokong yang setia, berpengalaman mentadbir Selangor & bantu menjana kekuatan parti.

Manakala Rafizi tegas mempertahankan idealisme, keras dalam pandangannya, pintar & berbakat dalam mengurus isu penting".

Di antara Rafizi dan Azmin

Rafizi memiliki kekuatan sendiri dan tidak memerlukan dokongan sesiapa. Sanggup meninggalkan jawatan dengan imbuhan yang lumayan untuk bersama pejuang reformasi. Berani menegur sesiapa saja dalam mempertahankan prinsip dan hak walaupun berhadapan dengan hukuman penjara. Dia banyak berjasa kepada parti melalui kelantangannya dan keberaniannya untuk mendedahkan isu-isu yang panas seperti skandal 1MDB, Cowgate, Felda, PFI dan lain-lain lagi, kajian-kajiannya yang sistematik dan penuh rapi, Invoke yang dipimpinnya dengan penuh beresan dan mendapat sokongan padu dari orang ramai dan juga kesetiaannya yang tak berbelah bagi kepada Anwar dan Wan Azizah.

Rafizi adalah replika Mahathir di zaman mudanya. Mahathir memiliki kekuatan sendiri tanpa mengharapkan dokongan orang lain. Berani mempertahankan prinsip dan hak. Mahathir mengkritik Tengku Abdul Rahman ketika rakyat menjulang Perdana Menteri Pertama sebagai bapa kemerdekaan. Tengku memecat Mahathir daripada Umno, namum Mahathir tidak pernah kecewa dan terus bersuara, sehingga dilabel  sebagai Melayu Ultra!

Pun begitu Rafizi tidak lepas dari kritikan dan persepsi negatif terhadap dirinya. Beliau dikatakan mempunyai ego yang besar, membawa sikap seolah-olah dia saja yang betul dan lebih tahu, keras dengan pandangannya dan kadangkala terlalu lantang mengkritik kerajaan PH, khususnya Tun M dalam beberapa isu-isu tertentu seolah-olah beliau berada dipihak pembangkang dan bukannya bersama kerajaan PH.

Azmin juga bukan calang-calang pemimpin. Dia mempunyai ciri-ciri peribadi dan kepimpinan yang baik sehingga berjaya mendapat kepercayaan Anwar,Tun M, Tun Daim dan juga ramai barisan pemimpin-pemimpin PKR yang lain. Dia juga disenangi oleh Sultan Selangor. Sejarah perjuangannya bersama Anwar dalam Gerakan Reformasi bermula pada waktu yang sama. Satu jangka masa yang panjang. Banyak pengorbanan dan sumbangannya kepada parti. Sebagai pembantu kepada Anwar, pada keseluruhannya dia boleh dikira setia kepada bosnya.

Rekodnya sebagai MB Selangor juga dikira cemerlang. Pun begitu dia berdepan dengan sedikit sebanyak persepsi negatif terhadap dirinya, termasuk dakwaan dan tuduhan tentang beberapa salahlaku semasa menjadi MB; tidak menghormati Wan Azizah dan pemimpin-pemimpin tinggi PKR yang lain; tidak cenderung kepada pendirian konsensus parti; mempunyai cita-cita peribadi yang amat tinggi sehingga sanggup membelakangi pemikiran dan pendirian parti dan sebagainya. Namun semua itu tidak pula menjadi halangan untuk beliau terus mara dan maju ke depan dalam karier politiknya.

Untuk jawatan Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, perebutan dikira agak terbuka. Untuk jawatan Naib Presiden, inkumben seperti Nurul Izzah, Shamsul Iskandar dikira mempunyai kelebihan tersendiri. Datuk Johari dan Zuraidah juga dikatakan mempunyai peluang yang baik untuk mengisi 2 lagi tempat. Yang tidak menang kiranya boleh dilantik oleh Presiden untuk 2 lagi jawatan Naib Presiden.

Akhirnya ahli-ahli parti yang berjumlah hampir sejuta yang akan membuat penentuan pada bulan September dan Ogos ini. Pemilhan dijadual bermula dengan pengundian secara online pada 14 September ini di negeri Kelantan, seterusnya ke negeri-negeri lain dan berakhir pada 13 Oktober ini di negeri Sabah. Keputusan pemilihan pucuk kepimpinan pusat dijangka akan diumum sehari dua selepas itu.

 Suasana semasa tempoh berkempen

Suasana dalaman PKR dari sekarang sehingga pemilihan nanti dijangka akan menjadi hangat. Setiap pihak yang terlibat sudah tentu akan berkempen habis2an untuk mencari dan meraih kemenangan masing-masing.

Harapan rakyat, ahli dan penyokong parti ialah agar semua pihak yang terlibat sedar dan akur bahawa ini adalah proses pemilihan dalaman untuk memilih pemimpin dalam keluarga, bukan menentang musuh diluar. Maka mereka perlu menggunakan budaya dan budibicara yang tinggi, mengambil pendekatan yang penuh berhemah dan menjauhi cara dan kaedah yang kotor dan keji untuk mencapai tujuan dan matlamat. Tindak tanduk setiap calon yang bertanding akan mempamir dan memperlihatkan tahap kebijaksanaan serta kematangan masing-masing.

Selepas pemilihan PKR nanti

Dengan tertabalnya Anwar sebagai Presiden PKR dan bila selesainya pemilihan lain-lain jawatan nanti, maka Anwar akan berpeluang untuk memperkasakan PKR sebagai sebuah parti yang kuat dan mantap.

Menyusun semula struktur organisasi dan membentuknya sebagai sebuah parti yang berdisiplin tinggi. Yang jujur dan peka dengan prinsip perjuangan parti. Dan barisan kepimpinan yang akur dengan keputusan parti. Menghormati Presiden. Serta mengatur gerak kerja secara konsensus dengan perpaduan dalaman yang cukup kukuh dan kental. Jika Anwar berjaya melakukan semua ini, maka bertambah yakinlah rakyat tentang kemampuannya untuk memimpin negara sebagai PM yang ke-8 nanti.

Ahli dan penyokong PKR juga menaruh harapan agar pucuk kepimpinan yang baru tidak lupa kepada segala pengorbanan dan sumbangan Wan Azizah sebagai pemimpin utama PKR semasa ketiadaan Anwar. Maka berilah sepenuh-penuh penghormatan dan penghargaan kepada beliau di atas segala jasa-jasanya itu. Jadikan dia sebagai lambang dan ikon julangan PKR.

Mengenali Wan Azizah sebagai insan yang rendah diri dan berjiwa besar, rasanya dia tidak mengharapkan pujian dan pengiktirafan ini. Tetapi kita sebagai manusia yang prihatin tentu rasa berkewajipan untuk menghargai segala sumbangan dan pengorbanannya selama ini.

Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk PKR dan seterusnya untuk Malaysia yang kita cintai ini. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-61.

* Wan Haron Wan Hassan merupakan Penulis Kanan Sinar Harian