SAYA terpanggil untuk berkongsi tentang ilmu yang saya pelajari. Semoga ilmu yang dikongsi mampu membantu kepada rakan-rakan pembaca sekalian. Saya memohon maaf jika ilmu yang dikongsi ini mempunyai cacat cela di mana-mana. Topik yang ingin saya bincangkan ialah isu pemecatan kerja.

Saya yakin lagi percaya bahawa setiap hari pasti ada di antara kita yang dipecat kerja. Ada yang dipecat kerana kelakuan mereka. Ada juga dipecat kerana masalah-masalah peribadi. Tahukah anda jika anda merasakan pemecatan anda merupakan sesuatu yang salah, anda boleh membawa kes ke mahkamah kerana tiada elemen keadilan asasi ataupun ‘natural justice’?

Hakim Lord Hewart dalam kes R lwn Sussex Justices ex parte Mc Carthyl menyebut ‘adalah menjadi keperluan asas bahawa keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi perlu juga dipastikan ia terlaksana’. Bagaimana untuk pastikan? Di sinilah pentingnya elemen keadilan asasi.

Untuk pengetahuan rakan pembaca, pelbagai elemen dalam keadilan asasi tetapi saya akan fokuskan kepada dua prinsip sahaja iaitu prinsip hak untuk didengar ataupun audi alteram partem dan prinsip tidak berat sebelah.

Terdapat tujuh ciri di bawah prinsip pertama ini iaitu keperluan notis pemberitahuan kesalahan yang dihadapi oleh pekerja sebelum perbicaraan, masa munasabah untuk pekerja membuat hujahan atas kesnya, hak untuk mengetahui semua maklumat atau keterangan yang akan digunakan untuk membuat keputusan, hak menyoal saksi, hak diwakili peguam, hak diberitahu keputusan dan akhirnya sekali hak untuk merayu dan dengar semula.

Jikalau ketujuh-tujuh ciri ini tidak dipenuhi, mungkin rakan-rakan pembaca boleh menggunakan hak anda semua. Pastinya setiap ciri ini mempunyai kes yang diputuskan oleh mahkamah untuk menyokong.

Selain itu, prinsip tidak berat sebelah. Prinsip ini bermakna setiap orang yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu kes tidak boleh menghakimi kes tersebut. Hal ini boleh dilihat dalam kes Rohana & Anors lwn USM, di mana mahkamah memutuskan bahawa kehadiran pendaftar universiti tersebut boleh membuat keputusan pemecatan menjadi berat sebelah. Prinsip hak untuk didengar telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 135(2).

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan juga melindungi rakan-rakan daripada dipecat sebenarnya. Peruntukan ini hendaklah dibaca dengan lebih teliti sebenarnya. Hal ini boleh dibuktikan dalam kes Utra Badi di mana mahkamah memutuskan bahawa apabila digabungkan maksud Perkara 5(1) dan perkara 8(1), apabila seseorang itu dilucutkan daripada kerjanya, ia dikira seperti merampas ‘kehidupan’ seseorang. Tetapi ia juga berbalik kepada prinsip keadilan asasi juga.

Di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) 1967 telah menerangkan tindakan yang boleh diambil sekiranya dipecat oleh majikan secara tidak adil.

Langkah pertama, laporkan kepada ketua pengarah perhubungan perusahaan yang berdekatan dengan tempat kerja anda dalam tempoh 60 hari selepas dibuang kerja.

Kemudian jabatan tersebut akan mengadakan rundingan damai antara pekerja dan majikan. Tiada peguam dibenarkan pada peringkat ini.

Langkah ketiga, sekiranya masih tiada penyelesaian, ia akan dibawa kepada Kementerian Sumber Manusia (untuk dikemukakan kepada Mahkamah Perusahaan).

Langkah 4, Mahkamah Perusahaan akan mendengar dan memutuskan kes yang dirujuk. Pada peringkat ini, rakan-rakan boleh diwakili peguam, diri sendiri sahaja atau diwakili seorang pegawai kesatuan. Jikalau mahkamah mendapati anda dipecat secara tidak adil, anda akan diberi kerja semula atau dibayar pampasan.

Begitulah caranya. Tetapi rakan-rakan pembaca haruslah berjumpa orang yang lebih arif tentang perkara ini. Jadikan ilmu yang dikongsi sebagai peluang untuk rakan-rakan membuka mata dan menuntut hak masing-masing.

* Penulis penuntut Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia