SEJARAH dunia kebelakangan ini mencatatkan satu perubahan cuaca yang agak pelik dan drastik di mana berlakunya kejadian perubahan cuaca, bencana alam dan pencemaran yang merupakan satu fenomena alam semula jadi yang semakin nyata dan ketara.

Saban hari, kita sering mendengar berita cuaca yang tidak menentu sehingga mengakibatkan perubahan cuaca yang sangat mengkhuatirkan.

Sama ada sedar atau tidak, ini antara kesan daripada pemanasan global yang mengganggu ekosistem bumi.

Keadaan cuaca tidak menentu yang menyaksikan kawasan tidak pernah dilanda banjir mengalami banjir besar dan masalah kemarau panjang adalah antara kesan utama daripada pemanasan global yang membawa perubahan atau gangguan terhadap kitaran iklim, habitat dan ekosistem.

Fenomena pemanasan global terjadi disebabkan oleh dua faktor penting iaitu, kesan rumah hijau dan penipisan lapisan ozon. Kesan rumah hijau adalah fenomena pemanasan bumi akibat banyak haba terperangkap dalam lapisan atmosfera dan menghalang pembalikan semula bahang dari bumi ke atmosfera.

Haba dipantulkan semula ke bumi, atmosfera menyimpan lebih banyak haba dan bumi menjadi semakin panas. Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera.

Walaupun terdapat punca-punca semula jadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua faktor tersebut. Pembangunan ekonomi dan industri di seluruh dunia telah menghasilkan pelbagai masalah sosial yang baru walaupun ia dapat meningkatkan tahap kehidupan dan kemewahan material penduduk dunia (Martinsons et al. 1996).

Peningkatan pemanasan global ini bermula dari aktiviti yang dilakukan oleh manusia dari era Revolusi Perindustrian dan kian meningkat mengikut peredaran zaman. Sumber alam semula jadi seperti arang batu dan petroleum dijadikan sebagai bahan bakar utama bagi menggerakkan jentera perindustrian. Penggunaan dan pembakaran sumber alam semula jadi secara melampau telah menyebabkan kesan rumah hijau dan penipisan lapisan ozon kian meningkat.

Pelbagai sektor ekonomi seperti pembangunan, perindustrian dan juga pertanian telah menyumbang kepada fenomena pemanasan global, di mana terjadinya peningkatan suhu yang sangat luar biasa. Hal ini menyebabkan keadaan persekitaran terasa panas walaupun pada waktu malam.

Hal ini juga diperkukuhkan lagi dengan pembangunan infrastruktur dan prasarana serta kemajuan teknologi yang telah memberi peningkatan dalam implikasi kepada landskap negara.

Permasalahan ini juga dikeruhkan lagi dengan sikap manusia yang kurang prihatin dan kesedaran dalam memelihara alam sekitar, kerana generasi sekarang dan akan datang bergantung kepada perlindungan dan penjagaan ekosistem, alam sekitar. Pada masa sama, pengguna digalakkan membeli dan menggunakan produk yang dapat membantu melindungi bumi kita (Winchip 2003).

Walaupun aspek penekanan atau garis panduan telah diberikan dalam setiap aktiviti masyarakat namun masih terdapat pihak yang tidak begitu mengendahkan alam sekitar, walhal dunia mempunyai sumber alternatif yang lain tetapi tidak digunakan secara bijak dan menyeluruh oleh manusia.

Lantaran itu, penekanan terhadap pengaplikasian “teknologi hijau” dalam kehidupan adalah suatu alternatif yang tepat dalam menangani masalah pemanasan global. Teknologi hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi, di samping meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Ia juga selaras dengan agenda utama kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Walau bagaimana pun, negara membangun seperti India dan China tidak bersetuju dengan saranan pengurangan penggunaan bahan api fosil ini. Sebanyak dua bilion rakyat negara tersebut menggunakannya secara keterlaluan (Jabatan Penerangan, 2011).

Sudah tiba masanya Malaysia meneliti dan mengambil serius Laporan Perubahan Iklim. Sikap tidak mengambil peduli perlu dibuang kerana ia akan menyebabkan kita menanggung kerugian yang amat besar.

* Penulis penuntut Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu