KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) melahirkan tekad untuk memberi pembelaan menyeluruh kepada kaum pekerja Malaysia, majoritinya Bumiputera, yang berdekad lamanya dipercayai ditindas oleh segolongan majikan sektor swasta.

Ini diumumkan menerusi Ucapan Belanjawan 2019 yang menyatakan kerajaan “akan mengkaji semula undang-undang buruh bagi memperkasakan kebajikan pekeja dan melarang sama sekali amalan diskriminasi oleh majikan”.

Ucapan tersebut turut mengandungi cita-cita Kerajaan PH untuk “mempercepatkan penyelasaian terhadap pertikian di antara majikan dan pekerja dengan munubahkan Mahkamah Rayuan Perusahaan”.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) menerima baik perancangan ini kerana reformasi kepada undang-undang dan amalan perburuhan Malaysia diharap merapatkan jurang ketidaksamaan dalam pembahagian kekayaan negara; dan boleh menghapuskan penindasan ke atas pekerja, khususnya Bumiputera, yang berleluasa di syarikat swasta milik bukan Bumiputera.

Namun MPM mendesak Kerajaan PH untuk melaksanakan rancangan ini dengan segera, menyeluruh, secara telus dan bebas daripada tindakan sabotaj.

Desakan ini adalah berdasarkan data dan fakta bahawa penindasan terhadap pekerja Bumiputera yang bermula di era penjajah Inggeris, dan diteruskan oleh sektor sasta Malaysia pada masa ini, adalah agenda pejuangan yang sangat penting.  

Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia Kedua, mempelopori perjuangan ini menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1970.

Keprihatinan beliau mengenainya terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) selaku asas DEB untuk memperbetulkan ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan, peluang pekerjaan dan penguasaan kekayaan negara.

Ini menunjukkan bahawa soal diskriminasi dalam pasaran tenaga kerja tempatan, khususnya ke atas Bumiputera, sudah dikategorikan sebagai agenda strategik dalam rancangan pembangunan Malaysia.

Penindasan ke atas pekerja Bumiputera oleh syarikat milik bukan Bumiputera, wujud kerana 85 peratus pekerjaan di Malaysia dikuasai oleh sektor swasta, hanya 5 peratus disediakan oleh syarikat milik Kerajaan (GLC), dan sekadar 1/10 daripada seluruh sumber manusia di negara ini berkhidmat dengan sektor awam.

Pelbagai pengkaji telah merungkai fenomena di atas. Tetapi, tiada pembelaan menyeluruh dan berkesan dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Contohnya, Dr Mohammed Abdul Khalid, Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, menghuraikan dalam buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia (2014) seperti berikut:

Amalan dan layanan berat sebelah yang memihak kepada tenaga kerja bukan Melayu, wujud secara jelas dalam sektor swasta bukan milik Bumiputera.  Ini dicerminkan oleh gaji rendah pekerja Bumiputera, kenaikan gajinya yang dilambat-lambatkan, dan peluang latihan yang terhad.

Katanya, hakikat ini mungkin menjadi punca kewujudan jurang kekayaan antara keturunan Cina dan bukan keturunan Cina, terutama sekali Bumiputera, yang sukar dikenalpasti oleh pemerintah.

Namun kebanyakan sektor swasta berkenaan memberikan macam-macam alasan kenapa mereka enggan membuka peluang pekerjaan kepada Bumiputera. Antaranya, masalah graduan Bumiputera yang tidak mahir berbahasa Inggeris dan kurang keyakinan diri; mempunyai kecekapan, produktiviti dan daya saing yang rendah; serta tidak boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Mandarin.

Syarikat swasta ini juga mendakwa kononya Bumiputera adalah pemalas.  Alasan ini, sama seperti alasan digunakan oleh penjajah Inggeris, dilaksanakan untuk memenafikan Bumiputera daripada pekerjaan dalam sektor ekonomi berdaya maju, supaya mereka terus miskin, lemah ekonominya, dan sekaligus rapoh politiknya.

Amalan diskriminasi ini turut memburukkan tahap tidak saksama (inequality) dalam penyediaan peluang pekerjaan, pembahagian pendapatan, dan pengagihan kekayaan nasional yang melibatkan Bumiputera.

Just Faaland, selaku akitek DEB, pula menegaskan bahawa diskriminasi dalam syarikat dikuasai oleh bukan Bumiputera di Malaysia dijelmakan dalam pelbagai bentuk.

Antaranya, bank milik British dan keturunan Cina enggan memberi peluang pekerjaan kepada Bumiputera kerana mereka dianggap tidak mempunyai pengalaman yang sesuai, tidak diterima oleh dewan perniagaan bukan Bumiputera, dan disebabkan masalah bahasa dan budaya.  Lantas, Bumiputera hanya diberikan jawatan seperti pemandu dan jaga.  

Kajian Christian Michalson Institute di Norway bagi pihak Unit Perancang Ekonomi (UPEN) pula mendapati, gaji pekerja Bumiputera adalah 32 peratus lebih rendah, berbanding keturunan Cina, kerana pekerja Bumiputera didiskriminasikan menerusi perbezaan pendidikan dan pengalaman dalam industri tertentu.

Selain di atas, Kajian Khazanah Mengenai Ketidaksaksamaan; Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11); dan penemuan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB); mengesahkan hakikat pelebaran jurang ketidaksaksamaan dialami Bumiputera mutakhir ini.  

Kerajaan PH, oleh yang demikian, perlu memastikan rancangan memperbetulkan diskriminasi keatas pekerja, khususnya Bumiputera, mesti dilaksanakan secara telus, tegas dan saksama.

Dr Rais Saniman, Datuk Dr Ruhanie Ahmad, Panel Pemikir MPM.