RAMAI pihak kini sudah menganggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak memainkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka semenjak ia ditubuhkan pada 1945.

PBB ditubuhkan lebih 70 tahun yang lalu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) yang menyaksikan jutaan kematian manusia di negara–negara terlibat dengan peperangan berkenaan.

Pada asalnya, PBB dianggotai 51 buah negara dunia. Kini ia mempunyai 193 buah negara anggota. Penubuhan PBB berdasarkan matlamat bagi menjalin hubungan kerjasama sesama negara-negara dunia serta mengekalkan suasana aman dan harmoni di antara semua negara dunia. Namun matlamat ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya PBB gagal melaksanakan beberapa perubahan dalaman bagi memastikan pertubuhan berkenaan kekal relevan serta efektif di mata dunia.

Antara faktor utama menyebabkan PBB gagal berfungsi dengan baik ialah kerana ia dilihat masih didominasi oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis dan China. Bukan sahaja didominasi oleh kelima-lima kuasa dunia berkenaan, malah PBB turut memberi mereka kuasa yang boleh menentukan arah tuju perjalanan PBB sendiri.

Antara kuasa yang diberikan kepada kelima-lima negara ini ialah kuasa veto. Lima buah negara ini boleh menggunakan kuasa veto yang telah dimiliki oleh mereka bagi menghalang sebarang cadangan atau draf resolusi yang dikemukakan melalui Majlis Keselamatan pertubuhan berkenaan. Kuasa veto yang dimiliki oleh lima buah negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit telah pun wujud semenjak penubuhan PBB semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua.

Walaupun tiada peruntukan khusus mengenai kuasa veto dinyatakan dengan jelas melalui Piagam PBB 1945, namun jika dianalisis dengan teliti melalui Artikel 27 Piagam PBB 1945 ada menyatakan sebarang keputusan yang ingin diambil oleh pihak Majlis Keselamatan, PBB perlu mendapat persetujuan serta tanpa bangkangan lima negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit.

Penggunaan kuasa veto yang dimiliki oleh negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan terbabit telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati oleh negara–negara anggota PBB sendiri. Kuasa veto berkenaan sering disalah guna mengikut kepentingan politik kelima-lima negara berkenaan. Antara yang teruk menerima impak salah guna kuasa veto terbabit ialah penduduk Palestin yang menghadapi kezaliman daripada rejim Israel semenjak penubuhan negara Isreal pada 1948.

Banyak resolusi dikeluarkan PBB yang menentang Israel telah diveto oleh sekutu kuat Israel iaitu Amerika Syarikat. Akibat daripada ini, rejim Israel tanpa rasa takut serta bersalah masih melakukan siri-siri kekejaman mereka terhadap masyarakat Palestin. Impak buruk kuasa veto ini juga turut terkena kepada Malaysia di mana pada 2015 pihak Rusia telah menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan, PBB menghalang cadangan lima negara, yang dipelopori oleh Malaysia bagi menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi menyiasat dan membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Wilayah Timur Ukraine pada 2014 yang lalu yang telah mengorbankan seramai 298 nyawa termasuk 43 warga Malaysia.

Pada 2014 yang lalu juga, Rusia dan China telah menggunakan kuasa veto mereka menghalang resolusi yang telah dipersetujui oleh banyak negara bagi membawa isu peperangan di Syria ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Penggunaan kuasa veto yang dimiliki oleh kelima-lima negara terbabit telah banyak mengundang perasaan tidak puas hati oleh negara-negara anggota PBB sendiri. Malah ia turut menyebabkan PBB menjadi sebuah agensi yang tidak membawa apa-apa makna di mata dunia bagi melindungi serta mempertahankan hak asasi manusia.

Oleh itu, sudah sampai masanya PBB mengambil langkah berani dengan melakukan perubahan bagi memastikan ia kekal relevan dan bebas menjalankan aktivitinya tanpa gangguan serta pengaruh daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan. Kuasa veto yang diberikan kepada kelima-lima negara berkenaan perlu ditarik balik. PBB juga perlu melihat kembali kepada piagamnya supaya tiada lagi peruntukan khas diberikan pada mana-mana negara anggota tertentu hingga wujudnya ketidakadilan terhadap negara anggota yang lain dalam PBB itu sendiri. Sudah sampai masanya juga, semua negara anggota PBB dilayan sama adil.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang , Universiti Sains Islam Malaysia

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DALAM situasi negara kita yang masih hangat selepas Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik yang diadakan oleh wanita-wanita yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di samping peduli dengan situasi negara kini, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, negara jiran kita Singapura mengiktiraf keupayaan wanita dalam memimpin. Tahniah Puan Presiden Halimah Yacob! Tahniah Rakyat Singapura.
  • TRAGEDI menyayat hati yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beberapa hari yang lepas telah mencetuskan kemarahan umum terhadap individu-individu yang disyaki melakukan perbuatan khianat menceroboh dan memulakan kebakaran tersebut.
  • BERSEMPENA dengan ketibaan 1 Muharram 1439H ini maka saya dan seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di seluruh negara ini.
  • ISLAMISASI merujuk kepada usaha untuk menjadikan Islam sebagai asas kepada segala pandangan, pemikiran, nilai dan budaya hidup dalam semua aspek kehidupan.
  • SAYA berasa sedih membaca rencana jawapan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ulasan saya berkenaan parti Pas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.