SUKAN Asia ke-18 sedang berlangsung kini, yang mana acara penyerahan Jalur Gemilang untuk kontinjen Malaysia telah dilakukan Perdana Menteri pada 10 Ogos lalu. Ketika berucap, beliau mengingatkan agar para atlet melakukan yang terbaik dan menjulang nama negara dalam temasya tersebut.

Setiap ahli sukan yang mewakili negara bukan sahaja bertanding untuk dirinya, bahkan membawa reputasi tinggi untuk membanggakan negara. Seorang patriot bererti dia sangat kasih, sanggup berjuang mempertahankan kedaulatan negaranya.

Termasuklah berasa bangga Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Rasa kepunyaan, kebersamaan, miliki nurani yang megah dan ekspresi patriotisme yang mendalam.

Semangat cintakan negara membuatkan seseorang sanggup berkorban apa sahaja demi negara. Patriotisme turut dirasai sebagai maruah diri, masyarakat, bangsa dan negara perlu tertanam di jiwa para atlet yang mewakili negara.

Pencapaian ahli sukan yang mewakili negara di peringkat tertinggi seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik ataupun kejohanan dunia dalam acara tertentu turut mampu menjulang martabat dan maruah sesebuah negara.

Sukan Asia ke-18 berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September depan di Indonesia (Palembang dan Jakarta). Malaysia menghantar kontinjen seramai 423 bersama 207 pegawai. Taraf Sukan Asia dikira tinggi dan membanggakan kerana turut disertai kuasa besar sukan dunia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Kibaran Jalur Gemilang dan berkumandangnya NegaraKu pada upacara penyampaian pingat akan memberikan suatu perasaan yang tersendiri. Penulis pernah merasai perasaan sedemikian pada peringkat sukan Sea dan Sukan Asia, namun masih kempunan untuk merasainya pada peringkat Olimpik sewaktu berada di tepi gelanggang.

Kita tentunya teruja dan berbangga sewaktu melihat pemain badminton Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizul Hasni Awang, Cheong Jun Hong dan pemain boling kita yang menang di pentas dunia.

Dalam tulisan Profesor Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim pernah kita terbaca bagaimana ramai rakyat Malaysia (ketika itu Malaya) membeli radio untuk mengikuti ulasan selari badminton Piala Thomas pada tahun 1949, 1952 dan 1955.

Pencapaian Malaysia memang baik dalam area badminton kerana turut memenangi piala tersebut pada 1967 dan terakhir 1992. Malaysia turut cemerlang dalam arena hoki dan bola sepak sekitar tahun 70-an dan awal 80-an. Penyokong dan peminat memberikan sokongan padu kepada pasukan yang dibarisi pemain-pemain anak jati Malaysia yang berbilang bangsa.

Pasukan hoki yang pernah menduduki tempat keempat pada kejohanan Piala Dunia 1975 dibarisi antaranya Sri Shanmuganathan, A. Francis, Khairuddin Zainal, Poon Fook Loke, Len Olivero dan Brain Sta Maria.

Bola sepak pula yang layak pada Sukan Olimpik Munich 1972 membariskan antaranya Ali Bakar, Syed Ahmad, Lim Fung Kee, Soh Chi Aun, Bahwandi Hiraral dan V Krishnasamy.

Termasuk yang boleh dibanggakan pencapaian Datuk Dr M Jegathesan mara ke separuh akhir acara 100 meter pada Sukan Olimpik di Mexico 1968. Isthiaq Mubarak melakukan pencapaian sama dalam acara 110 meter berpagar di Sukan Olimpik Montreal 1976.

Pencapaian sedemikian tetap menjadi penanda aras kepada atlet zaman ini. Pencapaian gemilang seumpama itu tetap menjadi ingatan, sanjungan dan kebanggaan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Diharapkan para atlet kita yang masih bertanding pada Sukan Asia kali ini akan berjuang dengan semangat kesukanan yang tinggi serta menjulang maruah negara. Mereka perlu menjaga disiplin dan nama baik negara.

Pemergian mereka sebagai peserta yang bertanding bukan sahaja disokong oleh jutaan rakyat yang inginkan mereka mencapai kejayaan yang cemerlang. Turut menyertai ke Jakarta ialah sebilangan penyokong dari kelab Famemas Malaysia (kira-kira 20 orang) yang telah memberikan sokongan vokal dan moral di venue pertandingan.

Begitu besar harapan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan etnik ini, kerana telah menunjukkan semangat jati diri dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Tertarik dengan pengorbanan dan semangat mereka ini. Dalam senarai barang-barang yang dibawa bersama mereka ialah Jalur Gemilang, kostum beridentiti Malaysia, drum, hon, wisel, kompang, kain rentang. Dan agak menarik plastik hitam untuk mengutip sampah di stadium.

Sayangi Malaysiaku. Malaysia Kita Punya.

* Penulis mempunyai latar belakang  dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Kini Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd. Ahli Famemas Malaysia