• Menjelang PRU 13 Menjelang PRU 13
1 /

[PENDAPAT] Merujuk kepada cadangan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar daftar pemilih disediakan setiap tiga tahun sekali apabila pilihan raya umum baru menjelang tiba, jika benar dapat dilaksanakan, Pas juga ingin mencadangkan agar pecahan pengundi sesuatu kawasan tidak lagi mengikut komposisi kaum semata-mata.

Pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad telah mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada perpaduan kaum kerana seluruh rakyat Malaysia, kerajaan dan terutamanya ahli-ahli politik akan berbicara segala permasalahan negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku pada waktu kini.

Pecahan pengundi mengikut kaum dibuat SPR selama ini juga dipercayai dibuat mengikut selera dan pecahan parti komponen BN, yang semuanya terdiri daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen untuk menjaga undi kaum masing-masing.

Sudah tiba masanya, perkara ini dirombak dengan SPR mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia mahupun jantina sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat. Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan.

Jika pecahan pengundi dilakukan mengikut usia sebagai contoh:

21-34 tahun: 35 peratus

35-50 tahun: 40 peratus

50-60 tahun: 15 peratus

60 tahun ke atas: 10 peratus

Berdasarkan data-data sedemikian, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, dan secara automatik isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum.

Ini boleh mengurangkan risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih undi dan melaga-lagakan kaum demi mendapat modal politik murahan. Pecahan undi mengikut perspektif jantina juga boleh mengurangkan risiko ahli politik menggunakan isu perkauman dan agama untuk merai undi.

Sambil SPR membersihkan daftar pengundi, pecahan pengundi baru mengikut usia boleh dilaksanakan kerana ia tidak susah kerana segala maklumat sudah ada pada kad pengenalan pengundi.

Cukuplah rakyat dan negara ini 'dipakaikan' cermin mata berdasarkan pecahan kaum – Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita memakai kacamata yang lebih menjurus ke arah perpaduan.

Pada skala yang lebih besar, Pas juga mencadangkan agar sistem pilihan raya dirombak untuk memastikan pembangkang sentiasa wujud dan efektif untuk manfaat rakyat.

Kerajaan harus menyediakan satu dana bagi parti-parti politik yang bertanding. Kaedah ini diguna dibeberapa buah negara bagi mengelak parti tersebut mendapat dana dari pelbagai pihak dalaman dan luaran, sehingga menyebabkan parti akan 'terhutang budi' dengan penyumbang tersebut.  Peruntukan kewangan boleh ditentu berdasarkan undi popular yang diterima semasa pilihan raya umum. Harus diingat persaingan politik menyebabkan rakyat akan lebih mendapat perhatian daripada parti pemerintah, dan komentar lebih baik dari parti  pembangkang. 

Selain itu, Pas juga mencadangkan agar sistem pilihan raya dirombak mengikut peratusan undi yang diperolehi oleh setiap parti. Jumlah peratusan undi akan mewakili parti tersebut di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (Dun). Kaedah ini ternyata lebih adil bagi parti yang bertanding, di mana jumlah kerusi Parlimen dan Dun adalah berdasarkan peratus undi popular yang diterima keseluruhannya. Ini mengelakkan manipulasi persempadanan semula yang memboleh parti pemerintah terus memerintah walaupun tewas undi popular di seluruh negara kerana kerusi-kerusi strategik dengan jumlah pengundi yang rendah dimenangi dengan banyak.

Diharap cadangan-cadangan di atas diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak SPR demi lebih memakmurkan demokrasi negara.

 
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat