KETELUSAN dan kebolehpercayaan perjalanan pilihan raya merupakan jantung kepada legitimasi sesuatu pemerintah. Dalam konteks Asean, biarpun hampir sebahagian besar anggotanya mengadakan pilihan raya, isu ketelusan perjalanan pilihan raya tetap menjadi perhatian dan polemik berterusan.

Memandangkan kebanyakan negara anggotanya mempunyai bentuk pemerintahan yang jatuh di bawah kelompok rejim hibrid dan demokrasi dengan adjektif, pemerintah dengan itu boleh menggunakan menu manipulasi untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya. Salah satu mekanisme bagi memperbaiki keadaan ini ialah pelaksanaan pemantauan pilihan raya.

Pemantauan pilihan raya dapat dikelompokkan di dalam dua kategori, iaitu pemantau dan pemerhati. International Institute for Democracy and Electoral Assistance (International Idea) mendefinisikan pemantau pilihan raya sebagai sekumpulan individu yang mempunyai autoriti untuk memerhati dan membuat intervensi terhadap sesuatu proses pilihan raya, sekiranya undang-undang dan prosedur terlibat tidak dihiraukan atau dicabuli.

Sarjana Eric C. Bjornlund melalui bukunya, Beyond Free and Fair: Monitoring Elections and Building Democracy pula telah menerangkan fungsi utama pemantau pilihan raya iaitu mengumpul maklumat dan melakukan penilaian umum terhadap proses yang melanggar piawaian umum pilihan raya demokratik, bagi tujuan membina kepercayaan awam dan antarabangsa terhadap integriti pilihan raya yang dilaksanakan.

Antara pemantau pilihan raya antarabangsa utama yang bergiat aktif adalah seperti Organization for Security and Co-operation in Europe (OSCE), National Democratic Institute (NDI) dan Carter Center. Manakala Citizens Organized to Monitor Elections (GONG) (Croatia), National Citizen’s Movement for Free Elections (NAMFREL) (Filipina) dan Transparencia (Peru) merupakan pemantau pilihan raya domestik yang bergiat aktif di negara masing-masing.

Pemerhati pilihan raya pula ditakrifkan oleh OSCE dan International IDEA sebagai suatu kumpulan pemerhatian awam yang mengumpul maklumat pelaksanaan proses pilihan raya secara berhati-hati, melakukan penilaian yang jelas tentang pelaksanaan tersebut, dan tidak melampaui had batasan pemerhatian terhadap proses tersebut.

Antara pemerhati pilihan raya domestik yang dilantik rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah seperti Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) (2013), Majlis Belia Malaysia (MBM) (2013, 2018), Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) (2013, 2018) dan Pusat Pengajian Sejarah, Politik & Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (PPSPS UKM) (2018). Selain itu, negara-negara seperti Myanmar (2013), Indonesia (2013, 2018) dan India (2018) juga dilibatkan sebagai pemerhati pilihan raya antarabangsa rasmi.

Pengaruh rejim pemerintah terhadap aspek pemantauan pilihan raya menyebabkan wujudnya dua kategori pemantauan, iaitu Profesional Observers Group (POG) dan Shadow Observers Group (SOG). Menurut Maria Debre dan Lee Morgenbesser, POG menjalankan pemerhatian secara telus, bebas dan adil, dan laporan hasil pemerhatian sering kali memberi manfaat kepada parti-parti pembangkang.

Manakala SOG pula merupakan organisasi yang pro-pemerintah, berfungsi bagi memberi legitimasi sesuatu pengurusan pilihan raya, dan laporan yang disediakan selalunya memberi manfaat kepada rejim pemerintah. Antara SOG yang dikenal pasti adalah seperti Commonwealth of Independent States (CIS) dan African Union (AU).

Terdapat pelbagai manipulasi strategik pilihan raya dilaksanakan pemerintah bagi mengekalkan kelangsungan pemerintahan mereka. Pewujudan pemantau pilihan raya zombie yang terdiri daripada badan bukan kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan (Gongo) merupakan salah satu strategi licik memperoleh legitimasi pelaksanaan pilihan raya di sesebuah negara.

Kajian mendapati keterlibatan pemantauan pilihan raya berupaya meningkatkan persepsi awam terhadap pengurusan dan ketelusan pilihan raya. Antara kesan-kesan positif keterlibatan pemantauan pilihan raya adalah seperti berupaya untuk mengesan faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, meningkatkan keyakinan serta mengurangkan ketakutan pengundi untuk mengundi, meredakan ketegangan pilihan raya, mengurangkan risiko berlakunya penipuan pilihan raya serta mencetuskan sokongan undi yang mencerminkan kehendak rakyat.

Sesetengah pemerintah juga memerlukan laporan pemantauan yang disediakan oleh badan pemantauan yang berkredibiliti tinggi bagi mendapatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap ketelusan dalam pemerintahan.

Namun begitu, kehadiran badan pemantauan pilihan raya di sesuatu pelaksanaan pilihan raya juga berupaya mendatangkan kesan negatif. Antaranya adalah seperti kerjasama yang kurang dari rejim pemerintah kerana beranggapan hasil pemantauan tidak bermanfaat kepada mereka, meningkatkan risiko kekacauan dan ketegangan apabila laporan yang disediakan berupaya mencetuskan kemarahan rakyat selepas pilihan raya serta keterlibatan pemantau pilihan raya zombie yang mengurangkan keyakinan awam dan merendahkan legitimasi pilihan raya.

Tindakan SPR membuka peluang seluas-luasnya kepada semua pihak yang berkelayakan dan berminat, untuk menyertai sebagai pemerhati pilihan raya bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N.49 Sungai Kandis, Selangor yang berlangsung pada 4 Ogos 2018, merupakan suatu usaha baik dalam mendukung prinsip-prinsip demokrasi di Malaysia.

Berbanding semasa pelaksanaan PRU14 dahulu, aktiviti pemantauan pilihan raya tidak lagi terikat dengan sebarang sekatan yang tidak bermunasabah, malahan badan-badan bukan kerajaan yang selama ini hanya mampu untuk bergerak secara terhad dalam pemantauan pilihan raya, diberi peluang untuk turut serta sebagai pemerhati pilihan raya rasmi SPR.

* Norazam Mohd Noor & Muhamad Takiyuddin Ismail Program Sains Politik UKM