SAYA menghadiri Malam Anugerah Wartawan Malaysia 2018 anjuran Malaysia Press Institute (MPI) yang berlangsung pada 13 Julai lepas. Tahniah kepada pemenang dan penganjur iaitu MPI serta penaja utama Petronas.

Selain Anugerah Kajai dan lain-lain, tiada anugerah tokoh wartawan sejak 2016 dan 2017. Apakah kita sudah kehabisan tokoh wartawan dua tahun kebelakangan ini?

Ada kedengaran pernah dicalonkan Datuk Ahmad Talib dan seorang ketua pengarang akhbar Cina kalau tidak silap tetapi tidak dipastikan apa sudah jadi dengan pencalonan tersebut.

Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) ini pertama kali diperkenalkan pada 1988 untuk mengiktiraf sumbangan, peranan dan jasa besar seorang wartawan yang diakui mencapai tahap terbilang dalam kerjaya kewartawanan. Dalam tempoh 27 tahun penganjurannya, hanya sembilan wartawan telah diberi penghormatan untuk menerima gelaran tertinggi itu.

Ada empat faktor dinilai dalam penganugerahan ini. Pertama, kecemerlangan hasil kerja kewartawanan dan pelbagai bentuk tulisan lain yang dihasilkan secara berterusan selama menjadi wartawan.

Kedua, keberkesanan atau impak sumbangan buah fikiran yang disalurkan menerusi karya-karya, baik secara langsung atau tidak langsung terhadap komuniti pembaca atau khalayak produk medianya

Ketiga, keberkesanan jasa, kegiatan dan kerjayanya dalam organisasi media di mana dia bekerja dan juga dalam pertubuhan bukan kerajaan di mana dia terbabit.

Keempat, ketokohan kepimpinan, penonjolan serta keterampilannya wartawan dan juga rakan-rakan wartawan seangkatannya.

Adalah difahami Malam Anugerah Wartawan  pertimbangannya sekitar media arus perdana (yang sekarang tidak perdana lagi?) di bawah kerajaan BN.

Datuk Dr Chamil Wariya mungkin adalah ahli nujum kerana dalam majlis anjuran MPI, saya menanyakan soalan-soalan kritikal yang kurang enak didengar dan sering saya lihat Chamil cuba untuk mengelak memilih saya menanyakan soalan kecuali jika ada panel menanyakan soalan terakhir sesiapa, maka saya akan diberikan peluang.

Dalam satu majlis yang saya hadiri, semasa bertemu dengan beliau, Chamil ada beritahu saya (yang maksudnya lebih kurang begini) bahawa satu hari nanti media pembangkang (pada waktu itu) akan bersuara, saya tersenyum pada masa itu. Sekarang apa yang Chamil katakan sudah menjadi kenyataan, tabik untuk beliau!

Tetapi untuk menyandarkan pencarian tokoh wartawan hanya kepada media pro BN pada tahun 2017 dan sebelum ini juga sudah menunjukkan MPI yang kita fahami menerima dana daripada kerajaan BN dan harus akur kepada pemerintahan Umno khususnya.

Itulah sebab pencarian tokoh wartawan sekitar media pro BN, pengecualian dalam pemilihan Datuk Abdul Jalil Ali (Sinar Harian liputannya agak seimbang dalam isu politik mewakili kedua pihak kerajaan dan pembangkang) bersama dengan Allahyarham Zainon Ahmad pada 2015.

Oleh itu pada 2018 ini dalam senarai Anugerah Tokoh Wartawan dan sekiranya MPI masih dipilih untuk mencalonkan tokoh wartawan (sebab saya melihat video pada pembukaannya menunjukkan perkataan bebas dan Malaysia baharu), calon wartawan harus lebih terbuka kepada media yang memperjuangkan kemenangan rakyat pada pilihan raya ini dan bukannya media yang membodek kerajaan BN sahaja (sebelum ini).

Akhbar dan media online bebas dan pro kepada PH maksudnya di sini perjuangan rakyat yang juga tidak kering daripada tokoh wartawan yang memenuhi kriteria di atas malah lebih daripada kayu pengukur tersebut.

Adalah dirasakan panel pemilihan juga harus ditambah daripada ahli akademik kritikal dan bekas wartawan akhbar rakyat dan PH, boleh dicadangkan memasukkan Prof Madya Dr Mustafa Kamal Anuar contohnya dan memasukkan kembali Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican sebagai ahli panel.

Prof Zaharom Nain pun boleh dicadangkan ke dalam anggota panel. Selain tokoh wartawan yang telah diumum pada tahun-tahun kebelakangan, media pro rakyat dan PH pun tidak kering daripada tokoh wartawan malah lebih hebat lagi.

Kebanyakan panel sekarang terdiri ahli akademik yang majoriti dari USM dan Usim yang latar belakang mereka tidak terlalu menjurus bidang kewartawanan, penulisan.

Tulisan calon tokoh wartawan yang dicalonkan bukan membodek dan mempertahankan kerajaan tetapi demi rakyat dan sanggup menggadai nyawa apabila menerima ancaman dan ugutan dipenjarakan dari dakwaaan melanggar undang-undang media cetak umpamanya.

Seorang tokoh yang wajar disenaraikan sebagai calon ialah Subki Latif, seorang tokoh wartawan veteran yang disegani. Beliau adalah wartawan pilihan Perdana Menteri ke-2 Tun Abdul Razak dan setiausaha akhbar Tun Razak yang kemudiannya menyertai Pas.

Beliau merupakan kolumnis tetap ruangan Mens Sana in Corpore Sano dalam akhbar Harakah terbitan Pas. Di peringkat parti, beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan.

Mungkin pemilihan ini bersifat tidak bias, maka bagi saya Bapak Subky adalah calon paling sesuai malah memenuhi kriteria di atas. Beliau juga banyak menerbitkan buku antaranya Anak Apak: Memoir Politik Kewartawanan; Propagandis Za-man; Fadzil Noor: Dia Guru Dia Kawan.

Calon lain yang sesuai ialah  Ahmad Lutfi Osman, yang kini uzur mengidap diabetic retinopati dan kadang-kadang mata kabur dan hampir-hampir tidak nampak langsung.  Peneraju Harakah Daily dan online memperjuangkan diri melalui penulisan, bersikap sederhana dan beliau penulis buku yang prolifik.

Beliau ialah Ketua Pengarang Harakah dan kini kolumnis di beberapa media online. Beliau juga memimpin beberapa majalah, mengasaskan NGO media, Kumpulan Aktivis Media Independen.

Beliau juga penulis buku prolifik antaranya Mengapa Mahathir?, Sejarah Parti Amanah, Malaysia tanpa Anwar, Ku Li dijerat lagi, Puteri reformasi, Bagaimana Mahathir boleh ditumbangkan dan Suara rakyat kuasa keramat.

Terdapat beberapa calon yang hebat boleh diutarakan malah lebih hebat seperti Steven Gan, Toh Lye Huat, Wan Hamidi (dahulu pengarang Roketkini) malah sehingga kepada Ketua Pengarang The Edge, Azam Aris.

Kalau tidak silap dana MPI daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di bawah Gobind Singh Deo, mungkin harus memikirkan mengenai perkara ini.

* Penulis ialah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel