PERBAHASAN di Parlimen berkenaan pemansuhan GST dan pelaksanaan SST adalah sangat menarik.

Setiap ahli Parlimen yang bangun berbahas, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, memberikan pelbagai hujah mengikut dimensi yang berbeza.

Ada yang memilih untuk berbahas dengan naratif ekonomi, dan tidak kurang juga yang memilih untuk berbahas dengan naratif politik.

Keseimbangan ini adalah perlu kerana dasar percukaian sangat berkait rapat dengan daya saing ekonomi negara, dan sesebuah rejim cukai boleh mencorak kestabilan politik dalam negara.

Dalam aspek ekonomi, SST mempunyai merit percukaian yang amat rendah. Ini kerana SST merupakan rejim cukai yang tidak efisien, tidak transparen, di samping terdedah kepada manipulasi cukai dan harga dalam kalangan peniaga, serta memerlukan penguatkuasaan yang tinggi di pihak kerajaan.

Dalam aspek politik, SST dilihat lebih populis berbanding GST kerana kesannya terhadap kenaikan harga, tidak disedari dan dirasai oleh pengguna. Ini disebabkan oleh kecenderungan peniaga untuk memindahkan beban cukai dan margin keuntungan secara terselindung  dalam harga yang dibayar oleh pengguna.

Sebagai perbandingan, GST adalah rejim cukai yang menguntungkan kerajaan, manakala SST adalah rejim cukai yang lebih menguntungkan peniaga. Rakyat kekal sebagai pihak yang menanggung bebannya.

Pelaksanaan GST dalam tempoh tiga tahun telah menyumbang kepada kutipan yang lebih tinggi dan menutup ruang manipulasi harga oleh peniaga, manakala SST terdedah kepada manipulasi peniaga dan ketidakcekapan pungutan di pihak kerajaan.

Walau apa pun rejim cukai yang dilaksanakan, natijah akhir yang ditanggung rakyat tidak jauh berbeza.

GST jelas akan menaikkan kadar inflasi dan membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi, manakala SST pula tidak dijamin dapat menurunkan harga dan kos sara hidup rakyat, kerana mempunyai kesan peningkatan (cascading effect) dalam rantaian pengeluaran, di samping kos-kos lain yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan.

Ternyata GST sangat wajar untuk dimansuhkan, namun SST bukanlah alternatif terbaik, manakala rakyat perlu menilai merit ekonomi dan politik di antara dua rejim cukai ini.

Di sinilah pentingnya semua pihak untuk menilai dan mengkaji alternatif kepada GST dan SST, dengan penglibatan wakil pengguna, peniaga, ahli akademik dan badan profesional, di samping mendapat pandangan wakil kerajaan negeri, agar dapat dirangka sebuah sistem percukaian yang mesra-rakyat dan mesra-peniaga di peringkat Persekutuan.

Sekiranya perbahasan SST hanya berkisar tentang naratif politik dan tuntutan pelaksanaan manifesto secara tergesa-gesa, dikhuatiri kesannya akan menjejaskan daya saing ekonomi dan kestabilan politik negara dalam jangka masa panjang.

Parlimen perlu menjadi wadah untuk menilai merit setiap dasar yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan, secara rasional dan profesional.

*Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM