MELEWATI pertengahan tahun 2018, keluh-kesah penduduk luar bandar yang menjadikan menoreh getah sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara hidup dan keluarga masih belum surut. Harganya masih rendah dan tidak menunjukkan kenaikan yang ketara untuk tempoh masa yang agak lama sedangkan kos sara hidup dan harga barang makanan harian pula meningkat tanpa dapat dikawal.

Penulis ada bertanya pada kenalan yang tinggal di kampung yang merupakan seorang penoreh getah tentang harga semasa jualan diambil peraih, katanya sekitar RM1.80 sekilogram.

Penulis terus terfikir, isi minyak seliter untuk motosikal belum mampu lagi dengan harga serendah ini. Apabila ada anggapan menyatakan orang kampung tidak terkesan jika harga petrol tinggi di pasaran, itu salah! Pergi ke kebun, hantar dan ambil anak di sekolah, keluar ke pekan atau kedai membeli keperluan rumah serta lain-lain urusan pastinya menggunakan motosikal. Apabila harga getah masih di takuk ini atau lebih murah lagi, pastinya kehidupan mereka akan lebih rasa terhimpit dan perit.

Pada masa kini, keluasan tanaman getah di negara kita adalah sekitar 1.07 hektar termasuk di Sabah dan Sarawak dengan anggaran pengeluaran getah asli sebanyak 650,000 tan setahun. Terdapat lebih dari 450,000 keluarga pekebun kecil getah dengan lebih kurang dua juta orang bergantung pada pendapatan hasil jualan getah.

Justeru, atas sebab itu ia dikenali Industri Strategik Negara kerana ia merupakan sumber pendapatan kepada kelompok besar masyarakat yang berada di luar negara. Sebagai anak kecil yang membesar dahulu di kampung hasil daripada jualan getah beku oleh kedua orang tua, pastinya penulis dapat menyelami kesusahan para penoreh getah kini dengan harga jualan semasa.

Penulis tiada halangan apabila kerajaan ingin mengkaji atau menamatkan beberapa projek mega yang dirancang oleh kerajaan terdahulu seperti projek ECRL, HSR dan MRT atas pertimbangan untuk mengurangkan kadar hutang negara. Tetapi hakikatnya, ia tidak sangat menarik minat penduduk yang berada di luar bandar, apa yang mereka ingin lihat dan rasai ialah sumber ekonomi mereka dapat didayakan, pendapatan mereka ditingkatkan dan kemudahan infrastruktur awam dilengkapkan.

Seingat penulis, 2011 adalah tahun bonus dan rahmat buat pekebun kecil getah apabila harga getah beku yang dijual ketika itu amat tinggi sekitar RM7 dan RM8 sekilogram. Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut melaporkan, pendapatan eksport getah negara tertinggi dicatatkan pada tahun 2011 iaitu sebanyak RM40.1 bilion apabila harga getah asli ketika itu mencatatkan purata tahunan tertinggi iaitu RM13.48 sekilogram.

Penulis masih ingat ketika itu, ramai juga yang bekerja makan gaji ambil kesempatan menjadi penoreh getah sambilan selepas pulang dari pejabat atau pada hujung minggu. Malahan ada yang tinggal di bandar sanggup ambil cuti agak lama pulang ke kampung seketika untuk menoreh getah, ini semua dek penangan hasil jualan getah beku yang tinggi.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari, sejak tahun 2012 harga komoditi getah mula mengalami ketidaktentuan, terus merudum di pasaran dan melalui zaman gelapnya sehingga ke saat ini. Kesan langsung dapat dilihat ramai pemborong getah beku telah gulung tikar, manakala para penoreh getah terpaksa mencari pekerjaan sampingan lain untuk meneruskan survival hidup di kampung.

Rata-rata pekebun kecil merasakan bahawa kerajaan dan agensi berkaitan perlu mengambil tanggungjawab dan peranan lebih serius untuk menstabilkan harga ini agar pendapatan mereka tidak terus terjejas serta menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada mereka secara bermusim atau berkala.

Selain perlu mendepani cabaran harga getah beku semasa yang rendah, penoreh getah juga perlu bersedia dengan hasil torehan yang tak menentu akibat faktor cuaca dan musim yang memberi kesan pada kuantiti hasil jualan yang diterima. Mengikut pengalaman penulis, hasil getah akan berkurangan pada musim tengkujuh sekitar Oktober sehingga Januari setiap tahun.

Penoreh tidak dapat ke kebun kerana hujan yang kerap akan mencairkan (menghilangkan) getah di dalam bekas takungan. “Tiada hasil menoreh musim hujan, nanti yang dikumpul bukan getah, tapi air sahaja” itulah yang diungkapkan ibu dahulu. Berlalu tengkujuh datang pula musim panas sehingga Mei. Ketika ini daun-daun pokok getah mula bertukar kekuningan lalu luruh sehingga togel pokok getah tidak berdaun. Jika menoreh waktu ini, kuantiti getah yang keluar pun tidak banyak seperti biasa.

Harus diakui bahawa terdapat faktor yang di luar kawalan kita untuk menstabilkan harga getah di pasaran pada masa kini seperti kekurangan permintaan/perlahan oleh negara besar seperti China, kesuraman ekonomi di Eropah dan Asia, naik turun harga minyak mentah dunia, peningkatan simpanan stok getah akibat kelemahan pasaran ekuiti serta ketidakstabilan nilai Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat juga turut sama mempengaruhi.

Fakta yang harus kita banggakan yang datangnya daripada hasil titik peluh para pekebun kecil getah kita ialah Malaysia merupakan pengeluar getah kelima terbesar di dunia selepas Indonesia, Thailand, India dan China.

Menurut mantan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kong ketika menjawab soalan dalam sesi Dewan Rakyat pada Mac lalu, eksport getah Malaysia ke China meningkat 80 peratus kepada RM6.6 bilion atau 875,000 tan pada 2017. Selain China, beberapa pasaran strategik baharu menunjukkan pulangan eksport yang baik antaranya Iran yang kini menjadi destinasi eksport getah Malaysia ketiga terbesar dengan nilai RM250 juta pada tahun lalu.

Justeru, di sebalik kesuraman harga komoditi getah, peningkatan jumlah eksport ini memberi gambaran yang melegakan sebenarnya kepada kita khususnya para pekebun kecil bahawa getah Malaysia masih mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran. Jika tiada permintaan seperti ini, penulis boleh membayangkan harga getah yang lebih rendah dan ia tidak lagi menjadi komoditi yang berdaya saing menjana ekonomi penduduk luar bandar.

Kerajaan perlu segera memikirkan solusi yang bersifat menang-menang kepada para pekebun kecil, agar mereka merasakan keluhan didengari dan nasib dibela kerana mereka juga turut ‘menyumbang’ kepada transisi era Malaysia baharu!

* Penulis ialah pegawai tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM