BEBERAPA tahun yang lalu saya pernah mendengar pengakuan seorang bekas majistret, Mohd Firdaus Ramlan, yang menceritakan pengalaman beliau apabila disabitkan kesalahan kes rasuah dan kemudian menjalani hukuman penjara.

Beliau ditahan atas dua kesalahan meminta dan menerima rasuah. Kedua-duanya melibatkan RM5,000 dan RM3,000. Nilainya kecil tetapi bahananya besar.

Malah dalam bukunya beliau menulis: “Saya dijauhi daripada rahmat ALLAH, aku hilang maruah dan harga diri, aku diuji ALLAH dengan seberat-berat ujian, aku dibongkar segala perbuatan selingkuh walau sebesar zarah, diambil nyawa orang yang tersayang, aku dijadikan muflis.” “Dihina, dicemuh oleh seluruh isi bumi dan langit. “Tiada seinci ruang yang menzahirkan kebaikan kerana sememangnya pelaku rasuah wajar dilanyak sedemikian.”

Berdasarkan pengalaman beliau, apa yang diperkatakan adalah benar dan ada kebenaran. Kesan perbuatan rasuah bukan sahaja dirasai oleh pelaku itu sendiri, malah keluarga dan masyarakat serta negara dalam ruang lingkup yang lebih luas.

Mereka yang mengikuti pengakuan beliau akan faham isi hati dan apa yang diperkatakan oleh Firdaus. Bahana rasuah bukan kecil dan bahana rasuah tidak kenal orang malah bahana rasuah tidak kenal agama dan kaum.

Memori pengalaman beliau itu kembali segar semasa mengikuti syarahan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Dalam syarahan sempena seminar kebangsaan yang membincangkan tema “agama sebagai medium memupuk integriti dan perpaduan nasional” itu, beliau menarik perhatian pada hadirin dengan menekankan kepentingan penghayatan sikap “rasa malu” menjadi ikutan setiap daripada kita.

“Apabila negara ini disebut negara yang korup, yang seharusnya malu bukan hanya orang tertentu, tetapi semua rakyat dari segala kaum dan agama. Semua mereka berkongsi rasa sehina semalu,” kata beliau.

Dalam konteks agama Islam, Dr Siddiq berbicara membina akhlak mulia adalah maqasid al-bi`thah (objektif pengutusan Rasul), sekali gus dapat pula dianggap komponen maqasid al-shariah.

“Demikian yang dapat disimpulkan dari sabda nabawi bahawa Junjungan SAW diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia. Kerana itu semua hukum ibadat, munakahat dan jinayat mempunyai asas pijakan akhlak dan moral,” jelas beliau.

Masalahnya, hujah beliau, pendidikan Islam ketika ini terlalu berorientasi hukum, dengan mengabaikan dimensi moralnya.

Antara nilai akhlak yang sangat dipentingkan dalam Islam ialah nilai malu, katanya lagi sambil membawa para hadirin kepada sabda Nabi SAW iaitu setiap agama mempunyai akhlak sendiri, dan akhlak Islam adalah malu (al-haya’).

Justeru beliau menjelaskan bahawa “sifat tahu malu itulah yang mengawal seseorang daripada melakukan sesuatu yang tidak bermoral. “Itulah yang dimaksudkan apabila Nabi SAW bersabda, jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu!.”

Apakah rasa malu itu ubat kepada masalah pelanggaran integriti dan jenayah rasuah yang menjijikkan?

Kita perlu berfikir sejenak. Tutup mata dan fikirkan apa natijah kerosakan boleh berlaku akibat rasuah. Kita semua boleh gambarkan kemusnahan itu. Kita bayangkan sejarah peradaban ketamadunan manusia. Misalnya Kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan satu empayar besar yang gagah, peradaban dan keilmuan serta perdagangannya - apa jadi? Runtuh sebab korup atau rasuah.

Robohnya sebuah empayar yang sangat besar dan gagah seantero dunia kerana kebobrokan dan rakusnya orang yang dikatakan melakukan korupsi dari dalam. Si Kitul dan Raja Mendeliar, ini disebut dalam sejarah Melayu. Betapa buruknya apabila sistem pentadbiran negara atau sistem kepimpinan masyarakat yang sepatutnya menjaga negara atau negeri rosak kerana berlakunya rasuah.

Nadi syarahan Dr Siddiq pada seminar kebangsaan anjuran Institut Integriti Malaysia (Integriti) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu adalah “sifat tahu malu”. Sifat asas ini juga yang menjadikan seseorang itu manusia yang berdisiplin. Bermaruah dan menjauhi daripada salah laku moral dan jenayah. Dr Siddiq menegaskan, “mungkin ini antara yang harus kita usahakan bersama iaitu membina bangsa yang bermaruah dengan menghidupkan sifat tahu malu dalam kalangan rakyat.”

Kita tidak memerlukan penguatkuasaan menerusi lunas perundangan. Memadai ada iltizam diri.

Jika kita mengambil kira apa yang berlaku pada diri kita dan sekeliling kita, “apabila setiap orang berasa malu menjadi koruptor, malu menjadi penipu, malu diperbodoh dan seterusnya”, akan banyak masalah dapat diselesaikan. Ini yang negara perlukan.” Hujah beliau dalam menarik perhatian peserta seminar.

Katanya, setiap daripada kita perlu ada sikap malu bagi mengelak daripada sebarang bentuk gejala negatif termasuk melanggar nilai integriti. Jika ini menjadi kenyataan, seperti dirumuskan oleh beliau, “tidak akan ada lagi organisasi atau institusi yang korup apabila orang malu menganggotainya.”

Suatu ketika orang Melayu memiliki kesedaran yang tinggi tentang sifat malu seperti yang mereka ekspresikan dalam ungkapan tradisional “sehina semalu”, tambah beliau. Ungkapan tersebut mengisyaratkan makna bahawa malu tidak hanya menjadi sifat individu, tetapi telah menjadi sifat kolektif suatu bangsa. Sehina semalu bererti sama-sama hina dan sama-sama malu, kata beliau yang juga Tokoh Maal Hijrah Perak.

Malu Senantiasa Seiring Dengan Iman, Bila Salah Satunya Tercabut Hilanglah Yang Lainnya. Rasulullah SAW bersabda, “malu dan iman senantiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.”

Sudah pasti, sebagaimana ditegaskan beliau, membina integriti tidak terlepas dari agenda besar membina watak atau karakter bangsa. Justeru, pendidikan dan pembudayaan nilai-nilai murni, khususnya nilai-nilai agama merupakan satu keperluan.

Dalam konteks umat Islam, menurut beliau, sumber nilai utamanya ialah Sifat-Sifat dan Nama-Nama Indah ALLAH SWT (al-Asma’ al-Husna).

Karakter yang terbentuk hasil penghayatan akhlak Tuhan seperti yang diisyaratkan dalam petikan di atas memiliki dua ciri utama iaitu keseimbangan dan hikmah kebijaksanaan.

“Dengan karakter yang dibangun di atas nilai-nilai akhlak ketuhanan yang seimbang dan bijaksana kita akan dapat membina integriti dan sekali gus perpaduan nasional.”

Sebagaimana menjadi harapan Integriti, Dr Siddiq juga melontarkan harapan agar dalam masyarakat yang sedang mengalami masalah defisit moral, tema integriti memang wajar diangkat menjadi wacana nasional.

Malah lebih daripada itu, menyaksikan kenyataan mewabaknya pelbagai jenayah seperti rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk kebejatan moral lainnya, beliau juga berharap akan ada “satu gerakan moral oleh rakyat pelbagai kaum dan agama” bagi melahirkan negara dan masyarakat berintegriti tinggi.

Benar, integriti bukan suatu pilihan, tetapi suatu kemestian jika negara ini hendak diselamatkan.

Maka, ia harus dijadikan perkara penting dalam tindak-tanduk setiap insan. Penglibatan bersama rakyat segenap lapisan dalam perjuangan integriti sangat penting.

Integriti sentiasa bertindak menggerakkan rakyat segenap lapisan masyarakat negara ini.

Sebagaimana disebutkan Prof Siddiq, masyarakat madani dan rakyat keseluruhannya akan lebih merasa terpanggil jika perjuangan menegakkan integriti dipersepsikan sebagai perjuangan keagamaan.

* Penulis ialah Pengarah dan Ketua Penyelaras Program Koordinasi dan Pemantauan Institut Integriti Malaysia