ISLAMISASI merujuk kepada usaha untuk menjadikan Islam sebagai asas kepada segala pandangan, pemikiran, nilai dan budaya hidup dalam semua aspek kehidupan.

Namun, untuk sesetengah orang Islam dan juga bukan Islam di negara ini, Islamisasi adalah sesuatu yang membimbangkan malah menakutkan.

Sesetengah orang Islam melihat Islamisasi sesuatu yang akan menjadikan orang Melayu mirip bangsa Arab sekarang, terutama yang bersifat Saudi dengan cara kehidupan di mana wanitanya berpakaian hitam dari kepala ke muka ke kaki dan tidak dibenarkan membawa kereta, serta pemahaman Islam yang sekadar menyebut ayat suci al-Quran dan hadis Nabi tanpa diberikan ruang kepada akal untuk mengaitkan makna harfiah mereka kepada suasana dan persekitaran yang ada. Menggelar diri pula bertukar dari ‘saya’ dan ‘anda’ kepada ‘ana’ dan ‘anta’ kerana ‘ana’ dan ‘anta’ dianggap bersifat Islamik.

Perkembangan sebegini terkesan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam. Orang bukan Islam amat bimbang Islamisasi dalam erti sebegini akan menjadikan masyarakat Malaysia terbahagi kepada dua yakni Muslim dan kafir dan sebagai kafir, mereka dianggap sebagai musuh dan seteru yang boleh diperangi.

Tambahan pula, mereka melihat bahawa Islamisasi bererti memihak kepada orang Islam dalam apa jua perkara tanpa mengambil kira, sama ada ia adalah adil dan saksama dan lebih membimbangkan ialah mereka tidak boleh bertanya walaupun perkara itu menyentuh hak dan kepentingan mereka kerana ia dianggap mencabar kedaulatan Islam dan menghina kesucian agama.  

Melayu di Malaysia sangat bertuah kerana masyarakat negara ini berupa sedemikian yang membolehkan orang Melayu memberi pengertian Islamisasi yang bersifat ihsan dan rahmatan lil ‘alamin dan berupaya memupuk rasa muhibah serta kasih sayang antara Islam dan bukan Islam.

Pertama, Malaysia adalah wadah pertemuan tiga tamadun besar dunia iaitu Islam, Cina dan India. Selama ini, pertembungan antara Islam dan bukan Islam dilihat dari kaca mata Islam dan Barat dan lebih tertumpu kepada konflik antara tamadun.

Malaysia boleh memberi pandangan baharu tentang pertembungan antara tamadun yang tidak perlu kepada konflik tetapi kepada kerjasama. 

Ketiga-tiga tamadun besar Asia ini memiliki pandangan serta nilai hidup yang memupuk harmoni antara langit, bumi dan diri yang boleh dijadikan asas kepada erti kemanusiaan dan kemasyarakatan dunia pasca moden ini. Islamisasi tidak perlu melihat tamadun Cina dan India sebagai asing kepada tamadun Islam. Sebaliknya ia boleh melihat bagaimana kedua tamadun ini adalah sebahagian dari tamadun Islam yang bersifat universal dan sejagat.

Kedua, dunia hari ini rata-rata dipengaruhi oleh unsur Barat baik dari segi pemikiran mahupun dari segi nilai dan budaya hidup. Ramai yang berkunjung ke KFC untuk menikmati ayam goreng. Namun janganlah mengunjungi ke KFC membuat seseorang lupa tentang masakan tradisional bangsanya sendiri sehingga dia tidak lagi suka makanan asal-usul nenek moyangnya.

KFC bukan sahaja tempat berjuadah. Ia adalah satu budaya hidup yang disajikan melalui makanan. Islamisasi tidak perlu menolak KFC tetapi ia perlu menjadikan KFC sesuatu yang dapat menghubungkan pemakanan secara moden kepada cara makan tradisional yang diajar oleh agama dan keturunan.  

Ketiga, akal adalah sebahagian dari agama. Tanpa akal agama akan mati. Tuhan mendatangkan teks iaitu ayat-ayat al-Quran tetapi Tuhan juga menciptakan konteks iaitu zaman, suasana tempat, bangsa, budaya dan tamadun yang berbeza.

Fungsi akal adalah untuk menghubungkan teks dan konteks supaya keserasian makna dan keadilan tindak-tanduk dapat diwujudkan untuk kehidupan dijalani dengan saksama. Islamisasi bukan sekadar mengungkap ayat Ilahi dan hadis Nabi tetapi tidak menghuraikan bagaimana ia membawa erti dalam konteks yang ada.

Islamisasi adalah satu usaha manusia. Ia boleh menjelma sebagai sesuatu yang santun, lembut, dan bertolak-ansur. Atau ia boleh menjadi sesuatu yang keras, kasar dan berwajah bengis. Justeru, jadikanlah Islamisasi di negara ini sesuatu yang bersifat Malaysia yang boleh diambil iktibar oleh negara Islam lain dan membenam Islamofobia dalam hati bukan Islam.

Penulis merupakan bekas Pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia