RATA-RATA pemerhati politik melihat Felda sebagai deposit tetap BN sejak sekian lama kerana pengundi memilih parti pemerintah, ada dikaitkan dengan pembangunan tanah rancangan kerajaan Persekutuan itu memberikan sumber ekonomi kepada warganya.

Namun situasi selesa itu tidak boleh lagi boleh dipandang mudah BN kerana ancaman dari pembangkang tidak kurang hebatnya.

Malahan, pelbagai gerak kerja termasuk ceramah pembangkang mula menceroboh ke tanah rancangan itu bagi menarik sokongan pengundi.

Selain itu, Felda juga berhadapan dengan masalah persepsi yang dapat mempengaruhi pengundi, terbaharu krisis kehilangan tanah berhubung pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akhirnya Felda berjaya mengembalikan semula 16 lot tanah menerusi Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad.

Bagaimanapun masih belum mampu tersenyum selesa apabila ada perkara berbangkit yang mesti diselesaikan sebelum PRU14.

Pengurusan ladang peneroka yang mengecewakan, isu lambakan hutang dan penyata hutang serta penetapan kadar buah sawit yang dihantar ke kilang Felda Global Ventures (FGV) adalah masalah utama yang perlu diselesaikan Felda.

”Tiga isu utama ini hendaklah diberikan penekanan Felda, jika mahu sokongan pengundi Felda kepada BN, terutamanya generasi kedua,” kata Penasihat Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda, Datuk Zulkefli Norden.

Katanya, keyakinan Shahrir untuk menambat pengundi Felda dalam wawancara sebuah portal berita itu boleh dicapai, tetapi dengan syarat tiga isu ini hendaklah diselesaikan segera.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu yakin bahawa BN ada sokongan 93 peratus peneroka Felda, iaitu sekitar 105,000 orang, bagaimanapun mereka tidak dapat memuaskan hati semua masyarakat Felda keseluruhannya.

Zulkefli berkata, masalah utama ini juga akan membawa kepada sokongan pengundi generasi kedua Felda kerana generasi pertama telah berusia lebih daripada 70 tahun dan mereka tidak lagi memainkan peranan aktif dalam tanah rancangan berkenaan.

”Mereka sudah tidak mampu untuk bergiat aktif seperti dulu. Memang kita akui ramai generasi pertama adalah totok Umno tetapi kita kena lihat juga pengaruh generasi kedua.

”Ladang-ladang di Felda sekarang banyak yang tidak diusahakan generasi pertama atas faktor usia, jadi generasi kedua yang memainkan peranan dalam segala urusan berkaitan ladang sebagai pentadbir, ini percaturan yang perlu dilihat kepada pengundi generasi kedua,” katanya.

PRU13 menyaksikan 54 kerusi Parlimen di kawasan Felda, dan 92 kerusi Dun dipertandingkan, daripada jumlah itu iaitu empat daripadanya dilantik menteri penuh.

Bera dimenangi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan majoriti 2,143, dilantik Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah; Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Pengangkutan, 379); Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam (Menteri Kesihatan, 1,217) ; dan Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, 4,328).

Sokongan kepada BN daripada kumpulan generasi pertama tiada masalah kerana mereka masih mengenang jasa Felda dalam pembangunan 317 tanah rancangan.

”Tetapi kumpulan seterusnya ini penting, masalah berbangkit yang mula diambil perhatian oleh mereka perlu diambil serius pemimpin.”

Pengundi memilih bukan kerana menyokong parti lain atau tidak menyokong parti sedia ada, tetapi ia kerana memberi pengajaran kepada parti sedia ada yang dilihat angkuh dalam menerima suara generasi Felda.

Malahan generasi kedua bukan lagi seperti kumpulan pertama yang membuka tanah rancangan, ada antara mereka yang dari kategori profesional yang balik menguruskan tanah keluarga.

”Mereka bukan calang-calang orang, mereka ada pelajaran dan juga dari kalangan professional yang hebat hebat yang terdedah kepada maklumat secara terbuka.

”Untuk menyejukkan hati mereka dengan insentif insentif tertentu bukannya mampu untuk mengubah pendirian tegas mereka, generasi kedua juga bukan sahaja tidak boleh berfikir mana yang baik dan mana yang sekadar janji sahaja,” .

Zulkefli yakin sokongan kepada generasi kedua akan dapat sekiranya kerajaan dan Felda benar-benar telus mendengar dan mengambil tindakan segera terhadap tiga perkara asas permasalahan mereka.

”Parti politik ini sama sahaja. Janji akan ditabur sebelum mencapai sesuatu tujuan. Bila dah tercapai maka janji hilang entah ke mana,” katanya.

Bercakap mengenai kawasan mampu membawa kemenangan dan kekalahan, beliau berkata, “hitam atau putih kawasan nanti bergantung kepada sosio ekonomi dan isu setempat”.