TANGGAL 13 Mei 1969 merupakan tarikh peristiwa gelap bagi seluruh rakyat Malaysia. Salah satu faktor yang kita tidak mampu ketepikan akan berlakunya peristiwa tersebut ialah faktor ekonomi, lebih spesifik iaitu isu ketidaksamaan ekonomi antara kaum.

Pasca tragedi tersebut jugalah lahirnya polisi Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh kerajaan pada tahun 1970 yang kita boleh untuk berpuas hati akan implikasi positifnya dalam mengurangkan jurang ekonomi antara kaum ini.

Data menunjukkan pada tahun 1970, purata pendapatan bulanan kaum Melayu, Cina dan India adalah masing-masing sebanyak RM172, RM394, dan RM304. Sehingga tahun 2014, purata pendapatan bulanan bagi kaum Melayu adalah sebanyak RM5,548, kaum Cina sebanyak RM7,666, dan kaum India berjumlah RM6,246.

Bagi statistik agihan pendapatan kumpulan isi rumah 20 peratus tertinggi, 40 peratus pertengahan, dan 40 peratus terendah juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan semenjak tahun 1970. Pun begitu, kita perlu sedar berkenaan perbezaan pendapatan 1 peratus tertinggi atau 10 peratus tertinggi dengan 10 peratus terendah yang mana data ini kurang ditekankan  oleh kerajaan.

Jika kita tidak mampu menguruskannya dengan baik, akan wujud fenomena kelompok kaya terus kaya dan kelompok miskin yang terus melarat. Lalu jurang pendapatan akan terus melebar.

Terdapat beberapa instrumen pengagihan semula yang wajar dikemukakan oleh kerajaan. Malah, sejak DEB pada tahun 1970 itu sendiri adalah langkah kerajaan dalam polisi pengagihan semula pendapatan ini.

Penganalisis ekonomi yang turut menulis The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid, ada menggariskan beberapa faktor penyebab jurang pendapatan ini.

Di antaranya ialah pendidikan dan harga aset. Hipostesis mudahnya ialah kelompok yang berpendidikan tinggi akan menatijahkan pendapatan yang tinggi dan sebaliknya kelompok tiada pendidikan atau hanya setakat berpendidikan menengah akan tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah.

Di Malaysia misalnya, peratusan yang mempunyai pendidikan tinggi hanyalah sebanyak 24 peratus. Ia termasuk dalam kategori rendah jika dibandingkan dengan peratusan di negara rantau Asia seperti Thailand (41 peratus), Singapura (48 peratus) dan Korea Selatan (89 peratus).

Sebanyak 24 peratus daripada jumlah yang mempunyai pendidikan tinggi itu pula, hanya 10 peratus daripadanya ialah pemegang ijazah sarjana muda. Jika kita perhatikan bilangan mahasiswa Melayu, Cina dan India, di universiti awam mahupun swasta, jumlah kemasukan bukan Melayu adalah lebih ramai daripada Melayu saban tahun.

Juga melihat akan jumlah universiti dan kolej swasta yang lebih banyak daripada sektor awam. Realiti ini akan memberi kesan kepada perbezaan pendapatan antara kaum.

Bagi perihal harga aset juga merupakan faktor penyumbang ketidaksamaan ini. Comtohnya, harga purata rumah teres yang dijual pada tahun 1988 adalah RM75,000, dan pada tahun 2009 sudah pun berjumlah sekitar RM191,000. Ia merupakan kenaikan sebanyak 155 peratus sepanjang dua dekad. Naiknya harga rumah ini tidak selari dengan kenaikan pendapatan.

Misalnya, kenaikan kelompok pendapatan 40 peratus terendah sejak dari tahun 1980 hingga 2008 hanyalah 69 peratus. Terkini, harga purata rumah teres tahun 2016 ialah berjumlah RM326,445. Ini semua digit-digit yang merisaukan generasi akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 ada menyebut dana pendidikan yang diperuntukkan. Bagi biasiswa sahaja sebanyak RM2.2 bilion. Geran penyelidikan dan pembangunan institusi pengajian tinggi awam sebanyak RM400 juta, serta pengenalan semula Baucar buku dan myBrain.

Usaha ini dilihat mampu menaiktarafkan pendidikan pada masa hadapan sekali gus menyediakan modal insan yang berdaya saing. Dalam RMK11 (2016-2020), perbincangan modal insan ini juga  menjadi enam pemacu perubahan utama oleh kerajaan misalnya memperkukuh peluang Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC) untuk meningkatkan pemilikan kekayaan dengan memperkasa modal insan Bumiputera dan lain-lain usaha yang akan  giat dijalankan.

Lagi dalam Bajet 2018, kerajaan menjanjikan Projek Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat, PR1MA, PPA1M, MyBnNHome, MyDeposit & MyHomes yang semuanya berjumlah RM2.2 bilion.

Usaha kerajaan ini mampu  membantu kelompok terendah 40 peratus beralih ke menengah 40 peratus yang kebanyakan etnik Bumiputera daripada kelompok ini meneruskan kehidupan di samping keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

* Penulis ialah mahasiswa tahun akhir Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAJUK Taksonomi Bloom cip-taan Yahudi oleh Abdul Na-ser Tun Rahman - Cetusan Sinar Harian 9 Januari lalu adalah dirujuk.
  • POLITIK bukanlah perkara yang asing di Malaysia. Politik di Malaysia bermula sewaktu orang Melayu mula bangun menentang Malayan Union pada tahun 1946. Sejak dari hari tersebut, parti politik di Malaysia mula ber-kembang dan bertambah sehingga ke hari ini.
  • SAYA membaca dan menilai artikel yang ditulis oleh Norizan Sharif dari kaca mata saya sebagai seorang Islam, sebagai insan yang memperakui akan keesaan ILLAHI, berpegang teguh kepada aqidah agama dan berusaha sebaik mungkin untuk patuh kepada segala suruhanNYA dan menjauhi segala laranganNYA.
  • MALAYSIA ada banyak kelebihan berbanding Amerika Syarikat. Infrastruktur Malaysia bertaraf dunia. Sekiranya dibandingkan jalanraya Malaysia dengan di sesetengah tempat di Amerika Syarikat termasuklah New York City, Malaysia menang awal-awal lagi.
  • TANGGAL 10 Januari 2018 menjadi satu lagi cerita kejayaan buat negeri Terengganu apabila logo Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dan paparan ‘Beautiful Terengganu’ buat sekian kalinya bersama Penerbangan Air Asia Pesawat AK 6226 mengorak langkah ke hadapan dengan merealisasikan harapan seluruh rakyat Terengganu yang ingin melihat “nama negeri Terengganu” berada gagah di seantero dunia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.