ADALAH lumrah, kita akan menerima ujian setiap hari sama ada ujian tersebut adalah kecil atau besar. Namun apa yang penting setiap ujian akan memberikan pengajaran kepada kita.

Kadangkala pengajaran tersebut membolehkan kita ingat sampai bila-bila dan ada ketikanya boleh mengubah pandangan kita tentang diri, orang lain serta kehidupan seharian.

Kalau susun semula semua ujian kita mengikut peringkat umur, barulah kita sedar bahawa hikmah daripada ujian dilalui sebelum ini membolehkan kita berdiri seperti hari ini.

Pada Disember lalu, saya juga menerima satu ujian kecil apabila isteri hilang telefon di Masjidil Haram.

Beliau cukup susah hati kerana bukan mudah untuk mengumpul semula nombor telefon kenalannya yang telah berpuluh tahun disimpan dalam telefon itu.

Pada pagi itu juga, saya terus menemaninya ke Hijir Ismail untuk berdoa agar dipermudahkan segala urusan berkaitan.

Keesokan paginya saya terima WhatsApp daripada anak perempuan saya dari Malaysia yang memaklumkan ada seorang lelaki Indonesia telah menghantar WhatsApp bahawa ibunya yang bertugas sebagai jurucuci di Masjidil Haram telah menjumpai telefon isteri saya. Berita tersebut sangat mengejutkan.

Saya terus menghubungi lelaki Indonesia berkenaan bagi mendapatkan maklumat lengkap.

Usai solat Subuh berjemaah, saya dan anak lelaki  mula mencari wanita berkenaan di lokasi dinyatakan oleh anaknya sebelum ini.

Namun bukan senang untuk menjumpai wanita berkenaan, dengan masjid yang begitu luas serta ratusan ribu jemaah di dalamnya.

Akhirnya saya menjumpai beliau. Masya-ALLAH, dengan penuh kegembiraan beliau menyambut kehadiran saya kerana baginya amanah menjaga telefon yang ‘hilang’ itu adalah amat besar. Sebagai tanda terima kasih saya hulur sedikit wang kepadanya dengan niat bersedekah.

Namun dengan tenang beliau membalas, “Terima kasih Pak atas pemberian sedekah ini, namun saya terpaksa menolaknya kerana saya laksanakan amanah ini dengan ikhlas”.

Balasnya lagi, “Jika, Bapak benar-benar mahu bantu saya, tolong doakan agar negara saya Indonesia sentiasa selamat dan dimakmurkan oleh ALLAH SWT”.

Saya terkedu sekejap kerana beliau sedikit pun tidak meminta saya berdoa untuk diri serta ahli keluarganya. Saya terus tunaikan hajat beliau selepas itu.

Apa yang jelas kata-katanya telah menyentap diri saya. Rupa-rupanya ujian kecil kehilangan telefon dibalas dengan pengajaran yang cukup bermakna. Alhamdulillah besar sungguh rahmat-Mu ya ALLAH.

Sebetulnya, cuba tanya diri kita sendiri. Berapa kali kita telah mendoakan kebaikan untuk negara kita Malaysia dalam masa sehari, seminggu, sebulan atau setahun?

Kemungkinan ada dalam kalangan kita tidak pernah berdoa secara peribadi sebaliknya hanya berdoa dalam waktu majlis rasmi sahaja.

Saya pernah mengajukan soalan yang sama kepada para peserta dalam beberapa siri kursus yang dihadiri oleh saya. Tidak sampai lima peratus hadirin yang menjawab pernah berdoa untuk keselamatan Malaysia secara peribadi.

Apabila ditanya kenapa? Kebanyakan mereka menjawab “Tidak tahu” atau “Tiada komen”. Keadaan ini sebetulnya menakutkan saya.

Apa tidaknya, tidak berdoa bermakna tidak kasih. Setiap hari kita mendoakan ahli keluarga kita kerana kita kasihkan mereka. Habis, bagaimana dengan negara kita?.

Saya berpandangan sudah ada yang tidak kena pada masyarakat kita hari ini.

Apa gunanya ada sistem pendidikan dan agama yang cukup ampuh andainya tidak boleh diterjemahkan oleh diri sendiri. Sukar sangatkah untuk menyebut “Ya ALLAH, Engkau selamatkan Malaysia, rahmatilah Malaysia, makmurkan dan berkatilah Malaysia serta kurniakan keredaan pada negaraku Malaysia”.

Saya percaya kita ada masa untuk menyebutnya. Namun kita tidak sebut kerana hati kita tidak dekat dengan Malaysia.

Ramai yang mengaitkan jika kita berdoa selamatkan Malaysia maka kita akan kekalkan kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang. Adakah kita lupa kuasa ALLAH SWT itu Maha Besar. Jika dimakbulkan doa kita, sudah tentu akan dikurniakan kerajaan yang benar-benar menjaga keselamatan rakyat dan negara, tidak kira siapa dan apa wadahnya.

Soal kekal atau ubah itu terserahlah pada ALLAH SWT. Apa yang penting kita istiqamah berusaha dan berdoa.

Saya juga pernah bertanya kepada para peserta kursus yang telah melalui beberapa peringkat kepimpinan negara sebelum ini iaitu; “Adakah anda kerap berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan Malaysia sewaktu kita berada pada zaman makmur”?

Peratusan yang hampir sama menjawab TIDAK.

Sebetulnya isu pokok di sini ialah kita sudah terlalu selesa. Kita sudah lupa untuk mendongak ke atas, dengan kurniaan rezeki ALLAH. Berdoalah untuk Malaysia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HEBAT sungguh bidalan Melayu. Ringkas tuturnya, namun mendalam maksudnya. Mulut masin sering dikaitkan dengan kata-kata yang sentiasa menjadi kenyataan oleh orang alim atau seseorang yang dianggap baik dan suci. Benarkah begitu?. Adakah kita orang kebiasaan tidak boleh ada sifat mulut masin?
  • BARU-baru ini, saya terima mesej daripada seorang kenalan berkaitan permasalahan dalam keluarganya. Menurut beliau, sudah lapan tahun anak saudara perempuannya tidak bertegur-sapa dengan suaminya akibat satu krisis sebelum ini.
  • SECARA fitrahnya walaupun sedikit, kita memerlukan pujian untuk menambahkan keceriaan dalam kehidupan. Bagaimana kita menerima pujian, sebanyak mana kita menerima pujian dan sejauh mana kita memproses pujian tersebut adalah bergantung kepada diri masing-masing.
  • LEBIH kurang dua minggu lagi umat Islam akan menyambut hari lebaran yang penuh bermakna. Setiap tahun, hari lebaran disambut kita semua dengan cara dan maksud tersendiri.
  • KITA mungkin pernah melalui peristiwa beratur panjang di ATM dan bila sampai ke giliran kita, mesin tersebut offline. Kita juga mungkin pernah menunggu teksi sehingga berjam-jam dan hampir rasa kecewa dan marah bila mana melihat orang lain di seberang jalan mudah pula mendapat teksi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.