GELORA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Malaysia semakin bertiup kencang dengan pembubaran Parlimen dijangka berlaku sebelum mandat sebenar berakhir pada Ogos 2018.

Di Turki pula, rakyat mereka sudah pun memulakan persiapan menjelang pilihan raya umum 2019 yang bakal menyaksikan sejarah baharu di mana sistem demokrasi berpresiden buat pertama kalinya bakal dilaksanakan susulan Refe-rendum 2017 yang lalu.  

Dalam kebanyakan polemik yang timbul menjelang PRU14 ini, terdapat satu sisi yang menjadi tumpuan ramai dan wajar dikupas lanjut iaitu persoalan mengenai strategi Pas.

Menarik sebenarnya untuk diperhatikan perkembangan Pas di Malaysia ini dengan memban-dingkannya dengan pengalaman parti Islam di Turki.

Pas telah memilih untuk mengetuai blok ketiga Gagasan Sejahtera yang tersendiri bersama-sama parti seperti Berjasa, Parti Ikatan Bangsa Malaysia, dan juga Parti Cinta Malaysia (PCM).  

Pas telah pun mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 130 kerusi parlimen dalam misi menjadi ‘kingmaker’ atau terjemahannya menurut Kamus Dewan Bahasa ‘dalang politik’ dalam mempengaruhi pembentukan Kerajaan Persekutuan nanti.  

Sasaran Pas untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen sebenarnya getir kerana pertembungan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan seribu satu kemungkinan keputusan.

Matlamat Pas untuk menjadi ‘kingmaker’ ini boleh dikaitkan dengan strategi politik serupa yang pernah diatur gerak oleh parti Islam di Turki dahulu.  

Secara khususnya, tokoh gerakan Islam terkenal Turki iaitu Almar-hum Necmettin Erbakan telah membuktikan matlamat untuk menjadi ‘kingmaker’ ini tidaklah mustahil untuk dicapai, bahkan dalam sistem politik negara yang cukup sekular seperti di Turki sekalipun.  

Untuk rekod, Erbakan berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri Turki pada tahun 1974, 1975-1977, dan 1977-1978 sebelum akhirnya menaiki tampuk kepimpinan sebagai Perdana Menteri Turki ke-23 pada 1996.

Perlu diketahui bahawa jalan yang ditempuhi Erbakan pada waktu itu adalah jauh lebih berliku berbanding Pas pada hari ini.

Berulang kali parti Islam yang beliau asaskan diharamkan oleh mahkamah atas sebab melanggar aturan Turki sebagai sebuah negara sekular.  

Tentera Turki sebagai penjaga ideologi sekular negara turut bertindak merampas kuasa setiap kali parti Islam mula mengorak langkah selepas memenangi pilihan raya umum.

Antara parti yang pernah beliau tubuhkan ialah National Order Party (Milli Nizam), National Salvation Party (Milli Selamet), Welfare Party (Refah Partisi), dan Virtue Party (Fazilet Partisi) yang akhirnya berpecah menjadi Felicity Party (Saadet Partisi) dan Justice and Development Party (AKP) yang diketuai Presiden Recep Tayyip Erdogan pada hari ini.

Bagaimana Erbakan berjaya memimpin parti-parti Islam yang diasaskannya ke tampuk kuasa? Terdapat satu strategi ampuh yang menjadi perhitungan beliau.  

Strategi tersebut ialah kesediaan membentuk kerajaan campuran dengan parti politik yang kuat – sekalipun parti politik tersebut berpegang pada ideologi sekular.  

Contohnya pada tahun 1974 dalam kerjasama dengan Parti CHP yang kuat berpegang pada ideologi Mustafa Kemal Ataturk, Erbakan dilantik menjadi timbalan perdana menteri.  

Malah, sewaktu Refah Partisi pimpinan beliau berjaya memperoleh undi tertinggi yang melayakkan beliau untuk menjadi perdana menteri pada tahun 1996, Erbakan bekerjasama dengan parti DYP pim-pinan Tansu Ciller, seorang wanita yang kemudiannya dilantik menjadi timbalan perdana menteri beliau.

Strategi menjadi ‘kingmaker’ seperti ini tidaklah menghairankan kerana sarjana sains politik terkenal Prof William Riker pernah mengupasnya dalam adikarya beliau, The Theory of Political Coalitions terbitan Yale University.  

Namun, sistem pilihan raya perwakilan berkadar (PR) yang diamalkan di Turki memudahkan strategi tersebut untuk menjadi.

Di sana, setiap parti politik memperoleh kerusi Parlimen berdasarkan peratus undi keseluruhan yang ia menangi.

Sebaliknya, sistem pilihan raya di Malaysia ialah first past the post di mana setiap parti politik perlu menang di setiap kerusi tanpa mengira jumlah undi yang mereka peroleh.  

Ringkasnya, Pas perlu mempertimbangkan secara serius pilihan kerusi dan kerajaan campuran yang ingin dibentuknya kelak – tidak perlu menolak PH atau BN seratus-peratus, tidak juga perlu terikat dengan Gagasan Sejahtera seratus-peratus.