DALAM kehidupan ini setiap detik yang berlalu akan meninggalkan kesan dalam ingatan, setiap masa yang berlalu akan meninggalkan kenangan dan setiap zaman yang berlalu akan meninggalkan sejarah.

Dalam sejarah, kehidupan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) bukanlah suatu yang baharu. Hubungan sejenis sesama lelaki ataupun perempuan, orang yang mempunyai sifat kedua-dua jantina dan tertarik secara seksual kepada lelaki dan perempuan serta orang yang mengubah ciptaan Tuhan daripada lelaki kepada perempuan ataupun daripada perempuan kepada lelaki sudah pun wujud sejak zaman dahulu lagi.

Agama sentiasa menitikberatkan kesejahteraan umat. Justeru, tidak ada agama yang menghalalkan budaya hidup songsang dipraktikkan di dalam masyarakat. Dalam al-Quran, telah diceritakan kepada kita bahawa hubungan sejenis yang pertama kali telah berlaku pada zaman Nabi Luth.

ALLAH berfirman,” Dan Kami juga telah mengutus Luth kepada kaumnya. Ingatlah ketika dia berkata kepada mereka, ‘Mengapa kalian mengerjakan perbuatan yang sangat hina itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun sebelum kalian? Sesungguhnya kalian mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu kalian (kepada mereka), bukan kepada wanita, bahkan kalian ini adalah kaum yang melampaui batas” Al-A’raf, ayat 80-81.

Nabi Luth hidup satu zaman dengan Nabi Ibrahim tetapi tinggal di tempat yang berbeza. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran Surah Hud, ayat 69-83. Pada zaman itu, di tempat yang dihuni oleh Nabi Luth, hubungan sejenis telah menjadi halal di sisi undang-undang mereka.

Bagi mereka bukanlah sesuatu yang berdosa jika melakukannya tetapi sesiapa yang menentangnya akan dianggap bersalah. Hubungan sejenis ini sudah berlaku lebih dari 4000 tahun dahulu dan akhirnya ALLAH menurunkan azab kepada kaum Nabi Luth setelah diberi peringatan berulang kali namun tidak diendahkan oleh kaumnya malah mereka mengejek Nabi Luth atas ajakan beliau untuk kembali bertakwa kepada ALLAH SWT.             

Akibatnya, ALLAH telah menterbalikkan negeri yang mereka sedang huni itu dan dihujani dengan batu dari tanah yang terbakar. Dengan ini berakhirlah sejarah hidup kaum Nabi Luth yang mengamalkan cara hidup yang sangat keji ini.

Zaman terus berlalu, budaya hidup juga terus berubah sesuai dengan zaman yang dilalui. Hubungan sejenis telah kembali berbunga di hati umat ini sejak abad ke-20 lagi.

Atas ungkapan kebebasan, terdapat golongan yang memperjuangkan budaya hidup ini supaya ia dapat diterima dan seterusnya diiktiraf di sisi undang-undang di seluruh dunia.

Dalam era ini, sejarah telah mencatat bahawa Belanda adalah negara pertama yang meluluskan undang-undang untuk golongan ini. Pengiktirafan ini diperoleh setelah 15 tahun aktivis hubungan sejenis memperjuangkan isu ini bermula pada tahun 1980.             

Pemerintah Belanda meluluskan perkahwinan sejenis pada tahun 1996 dan pada 1 April 2001, perkahwinan sejenis telah diakui secara rasmi di Belanda. Lantaran itu banyak negara di seluruh dunia telah mengikuti jejak Belanda.

Perkembangannya sangat pesat. Sehingga hari ini, dalam masa 17 tahun sudah lebih dari 20 negara yang telah mengiktiraf perkahwinan sejenis. Isu ini terus diperjuangkan dari semasa ke semasa sepertimana yang telah diungkapkan oleh golongan ini bahawa mereka akan menjelajahi setiap rumah di atas muka bumi ini supaya menerima LGBT sebagai budaya hidup pada masa kini.

Tidak ketinggalan juga di rantau ini, pengaruh LGBT semakin pesat menjelajahi minda dan ruang media. Taiwan telah tercatat dalam sejarah sebagai negara pertama di rantau ini yang membenarkan perkahwinan sejenis dan telah menjadi model di rantau ini.

Parlimen di Taiwan mengambil masa selama dua tahun untuk mempertimbangkan perkara ini dan akhirnya bersetuju untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis diamalkan di negara mereka. Tidak lama kemudian diikuti pula dengan Australia yang membenarkan amalan ini dijalankan di negara mereka.

Kita ditegah sama sekali daripada mengamalkan budaya hidup ini. Ancaman yang dinyatakan dalam al-Quran sangat jelas dan sangat keras. Namun masih terdapat golongan manusia yang telah mengamalkan dan ingin mengamalkan cara hidup ini tanpa ada perasaan bimbang, takut dan bersalah.

Malah golongan ini juga mahukan pengiktirafan terhadap kegiatan mereka. Justeru, banyak tuntutan yang telah dibuat untuk menghalalkan kegiatan ini di sisi undang-undang di negara yang mereka tinggal.

Apa yang diinginkan oleh golongan LGBT adalah pengiktirafan dari segi undang-undang terhadap aktiviti mereka. Pengiktirafan ini sangat perlu supaya aktiviti mereka dapat berlangsung dengan baik di khalayak ramai tanpa ada perasaan negatif daripada masyarakat. Mereka juga menuntut agar hak yang sama diberikan kepada mereka.

Contohnya golongan LGBT di Israel telah menuntut hak yang sama supaya membenarkan ibu tumpang untuk mereka menghasilkan zuriat. Kebebasan dalam memilih jalan hidup menjadi tonggak dalam pegangan hidup mereka. Pendek kata apa yang diinginkan adalah seperti alah bisa tegal biasa.

Walaupun buruk di mata masyarakat, tetapi jika sering dilakukan di hadapan mata, akhirnya masyarakat akan terima juga. Namun sejauh manakah golongan LGBT boleh memberi sumbangan terhadap negara yang dihuninya?

Sebuah negara yang baik mempunyai generasi yang baik untuk meneruskan perjuangan kehidupan. Generasi yang baik terbentuk daripada organisasi keluarga yang baik. Organisasi keluarga yang baik akan wujud sekiranya ahli keluarga saling melengkapi antara satu sama lain.

Dijadikan lelaki dan wanita adalah supaya kita saling melengkapi antara satu sama lain, supaya kita hidup saling bekerjasama dalam meneruskan perjuangan kehidupan ini. Ada perkara yang tidak dipunyai oleh lelaki tetapi dimiliki oleh wanita dan begitulah sebaliknya.

ALLAH juga telah menceritakan tentang perkara ini dalam al-Quran Surah Ad-Dhariyat, ayat 47-49. ALLAH berfirman, “Dan langit itu Kami dirikan atas kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami mempunyai kekuasaan yang luas dan tidak terhingga. Dan bumi pula Kami hamparkan untuk kemudahan kamu mendiaminya, maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya. Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)”.

Bagaimanakah golongan LGBT boleh memastikan kewujudan generasi selepasnya dan seterusnya dapat memberi sumbangan terhadap negaranya? Bagaimanakah golongan LGBT boleh menghasilkan zuriat? Untuk golongan yang mengamalkan hubungan sejenis sesama lelaki, ibu tumpang merupakan satu pilihan untuk mendapatkan anak. Adakah sebuah institusi keluarga yang baik dapat dibentuk? Tidak hairanlah jika kaedah ibu tumpang untuk golongan gay masih tidak dibenarkan di Israel hingga hari ini.

Untuk golongan transgender, walaupun fizikalnya adalah lelaki, namun hakikatnya dia adalah wanita. Di dalam dirinya tetap mempunyai rahim yang sepatutnya digunakan sebagai ruang untuk janin membesar. Apa guna wajah yang lembut ditukar kepada wajah yang keras dengan tubuh dan fizikalnya nampak kuat, tetapi hakikatnya dia sangat lemah terutamanya saat mengandungkan zuriatnya selama 9 bulan 10 hari ditambah pula saat hendak melahirkan anak. Sungguh tidak ada nilai atas segala usaha yang dilakukan namun untuk apakah semua itu terus diperjuangkan?

Sejauh manakah golongan ini boleh membantu mempertahankan negaranya sekiranya negara tersebut benar-benar memerlukan keringatnya? Sekiranya wajah yang keras dan badan yang kuat ingin ditukar kepada wajah dan badan yang lembut, sudah tentu banyak hormon yang perlu diambil untuk menukar keadaan fizikal tersebut. Kekuatan yang dianugerahkan oleh Penciptanya telah dimusnahkan oleh dirinya sendiri.  

Bagaimanakah golongan ini hendak mempertahankan negaranya kerana dalaman dirinya sudah runtuh? Daripada seorang yang kuat telah ditukar menjadi seorang yang lemah. Justeru, tidak hairanlah Presiden Amerika Syarikat pada hari ini telah melarang golongan ini daripada menyertai pasukan tenteranya. Mana mungkin seorang lelaki yang fizikalnya nampak kuat tetapi kudratnya tetap kudrat seorang wanita berbanding dengan seorang lelaki yang berfizikal lelaki dan kudratnya tetap kudrat seorang lelaki.

Tidak perlu menukar jantina untuk membolehkan kita berkhidmat kepada negara kita. Contohnya tidak perlu kita menukar jantina untuk membolehkan kita berkhidmat sebagai doktor perubatan, sebagai jurutera, sebagai guru dan sebagainya. Tidak perlu kita lalui proses ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat. Tidak perlu kita menghabiskan duit yang banyak untuk menukar keadaan asal kita.

Namun atas alasan kebebasan, kita sering tersasar daripada landasan hidup ini. Sejauh manakah kebebasan yang kita idamkan sedangkan apakah yang akan berlaku kepada kita pada esok hari pun kita tidak mampu jawab. Kebebasan apakah yang sedang kita ungkapkan sedangkan kunci pintu kematian diri kita pun bukan kita yang pegang.

* Prof Madya Dr Zaini Abdul Halim Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik Universiti Sains Malaysia