KRITIKAN merupakan sesuatu yang lumrah dan asam garam dalam kehidupan. Ia mungkin datang daripada sahabat baik kita, guru-guru sekolah mahupun ibu bapa kita.

Kritikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang bersifat membina yang mana kritikan itu dibuat dengan tujuan yang murni yakni untuk memperbetulkan lompong-lompong dan kesilapan yang telah berlaku.

Tidak kurang juga, ada kritikan yang dibuat semata-mata untuk memberikan pengajaran ataupun menyedarkan seseorang dengan cara yang keras demi menyelamatkan keadaan.

Dalam kehidupan seharian, manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Apabila tersilap langkah, kritikan-kritikan sebegini amatlah penting dan boleh dijadikan sebagai pedoman untuk mereka bermuhasabah diri, sekali gus mematangkan mereka menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan.

Kepada yang boleh menerima kritikan, mereka akan melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk berubah manakala yang enggan berbuat demikian, mereka lihat kritikan itu sebagai satu halangan kepada kemajuannya.

Pendekatan ini juga boleh diguna pakai oleh kita sebagai pengundi dalam memantau prestasi dan tindak-tanduk kerajaan yang telah dipilih baru-baru ini. Dan sejak akhir-akhir ini, ramai pihak termasuklah NGO, orang-perseorangan mahupun ahli-ahli politik yang mengkritik prestasi dan cara negara ini ditadbir selepas PRU14.

Masing-masing tampil dengan pelbagai hujah yang menarik dan mendesak agar sesuatu yang lebih tuntas diambil untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Antara kritikan-kritikan yang diluahkan termasuklah kerajaan baharu sekarang gagal menunaikan janji-janji manifesto mereka sempena 100 hari pentadbirannya dan persepsi bahawa pemerintah tidak prihatin dengan golongan tertentu. Kritikan-kritikan tadi menghiasi kebanyakan dada akhbar ketika ini.

Tatkala kritikan-kritikan sedemikian adalah dialu-alukan, namun sebagai seorang pengundi, kita juga harus menilai sesuatu isu itu dari perspektif yang lebih menyeluruh berpandukan kepada fakta konkrit serta daripada laporan media yang sahih, bukannya desas-desus yang tidak berasas.

Hakikatnya, tidak menjadi satu kesalahan untuk berbeza pendapat. Mereka mungkin berbeza pendapat kerana mereka percaya ada lagi cara yang lebih baik untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Kebiasaannya juga, pihak satu lagi sebagai reaksi balas akan pula mempertahankan pendirian mereka dan menegaskan pendirian mereka lebih praktikal.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa di sebalik perbezaan pendapat itu, wujud percambahan buah fikiran menarik daripada kedua-dua belah pihak yang masing-masing inginkan yang terbaik buat negara. Jangan terkejut sekiranya kebanyakan idea bernas ini datang daripada kelompok ini yang mungkin kita tidak sedari sama sekali. Seandainya buah fikiran yang dinyatakan itu adalah baik dan sesuai, apa salahnya jika ia digunakan?

Yang pasti, perbezaan dan kepelbagaian pendapat adalah sesuatu yang sihat dan ia mampu menyumbang wacana atau discourse yang lebih bermakna kepada masyarakat dan negara.

Akan tetapi, kebebasan untuk mengkritik yang diberikan itu tidaklah bermakna bahawa sesebuah pihak atau seseorang itu boleh menghentam secara membuta-tuli tanpa disokong oleh hujah-hujah yang konkrit. Dalam konteks pentadbiran kerajaan PH untuk tempoh 100 hari mereka sebagai contoh, dilihat fokus kritikan yang dilemparkan rata-rata berkisar kepada ‘kegagalan’ kerajaan untuk memenuhi manifesto dalam tempoh 100 hari.

Soalnya, mengapakah prestasi kerajaan hanya dinilai dalam tempoh 100 hari sahaja? Sejujurnya, apa yang boleh dicapai secara menyeluruh sepanjang tempoh tersebut? Benarkah tempoh 100 hari itu begitu penting sehinggakan tempoh selepas itu sudah tidak signifikan?

Kepada yang lantang mengkritik, pastikan diri mereka berada dalam keadaan yang lurus dan benar serta bersedia untuk dikritik kembali. Selain itu, usah melatah dan marah apabila dikritik. Yang menegur pula, pastikan kritikan dibuat secara berhemah dan selari dengan norma masyarakat. Pada akhirnya, semua yang dibuat adalah untuk manfaat bersama.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis