SUDAH hampir dua bulan saya kerap berulang-alik antara Kuala Lumpur dengan Jakarta. Impak Pasca-Malaysia Baharu PRU-14, saya memperoleh peluang untuk bertugas sebagai Associate Researcher di sebuah institut di sini.

Berkunjung ke Jakarta sebagai pelancong tentu ada bezanya dengan penyelidik. Jarang-jarang rakyat Malaysia melepaskan lelah di Jakarta. “Itu kota bisnes dan macet (jalan sesak).” Kebiasaannya rakyat Malaysia lebih gemar berbelanja di Bandung ataupun Medan.

Mengamati Kota Jakarta, banyak perkara yang boleh dikongsi dari segi sosiobudaya dan politiknya. Penjiwaan jati diri “Aku Cinta Indonesia” jelas terserlah semangat patriotisme yang kuat dalam apa-apa jua perkara berkaitan dengan negara. Nilai sebegini merupakan perkara yang perlu kita teladani.

Jakarta dengan demografi penduduk berjumlah hampir 11 juta orang. Pada waktu siang, penduduk di Jakarta semakin bertambah kerana kehadiran penduduk dari bandar satelit seperti Bekasi, Tangerang, Bogor, dan Depok.

*Semangat Nusantara membawa saya ke sini. Jika tidak kerana Perjanjian Inggeris–Belanda 1824, sudah tentu Indonesia–Malaysia menjadi satu. Namun hubungan persaudaraan masih akrab. Sebilangan besar teman di Negeri Sembilan berbudaya Minangkabau dari Sumatera. Apatah lagi yang berbau Jawa dan Banjar di Malaysia.

Di Jakarta, etnik Jawa mewakili 35 peratus diikuti Betawi sebanyak 27 peratus, Sunda (15 peratus) dan bangsa Cina (5 peratus). Bangsa Cina telah berada di Jakarta semenjak abad ke-17 lagi. Mereka tinggal di kawasan yang dikenal sebagai Pecinan.

Pecinan atau Kampung Cina terdapat di Glodok, Pinangsia, dan Jatinegara, selain perumahan-perumahan baharu di wilayah Kelapa Gading, Pluit, dan Sunter. Majoriti mereka adalah ahli perniagaan.

Majoriti penduduk Jakarta menganut agama Islam mewakili 85 peratus, diikuti Kristian Protestan (6.2 peratus) dan Katolik (6 peratus). Terdapat juga yang menganut agama Hindu dan Buddha.

Masjid dan surau sebagai rumah ibadat umat Islam terdapat hampir di semua tempat. Masjid yang popular, iaitu Masjid Nasional Istiqlal terletak di Gambir. Terdapat juga Masjid Agung Al-Azhar di Kebayoran Baru, Masjid At-Tin di Taman Mini, dan Masjid Sunda Kelapa di Menteng.

Antara gereja yang terdapat di Jakarta ialah Gereja Katedral Jakarta, Gereja Santa Theresia di Menteng, dan Gereja Santo Yakobus di Kelapa Gading untuk penganut Katolik.

Bagi penganut agama Hindu, terdapat Pura Adhitya Jaya yang terletak di Rawamangun dan rumah ibadat agama Buddha di Vihara Dhammacakka Jaya di Sunter.

*Jakarta cukup pesat dari segi ekonomi. Aktiviti ekonomi tertumpu pada sektor perkhidmatan, perumahan, industri kreatif dan kewangan. Rakyat Malaysia tentu tidak asing dengan Tanah Abang dan Glodok, pusat perdagangan tekstil yang terkenal.

Pada tahun 2012, pendapatan per kapita penduduk Jakarta berjumlah Rp110,46 juta per tahun (RM31,000). Namun untuk kelas menengah atas berjumlah Rp240,62 juta per tahun (RM67,000) mencapai 20 peratus daripada jumlah penduduk. Di Jakarta juga tempat bermukim golongan berada Indonesia dengan pendapatan minimum RM400,000 setahun.

Pertumbuhan Jakarta dibantu dengan pembangunan hartanah mewah dan bangunan pencakar langit. Dijangka pada tahun 2020, jumlah bangunan pencakar langit di Jakarta akan mencapai 250 unit.

Pada saat itu, Jakarta akan memiliki gedung tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mencapai 638 meter (The Signature Tower).

*Jakarta merupakan kota kepelbagaian manusia yang tidak tidur siang dan malam. Kini Jakarta sedang sibuk untuk Sukan Asia (Pesta Olahraga Asia 2018) dengan Stadium Gelora Bung Karno sebagai venue utama.

Sukan peringkat benua yang diadakan setiap empat tahun akan berlangsung di Jakarta – Palembang bermula dari 18 Ogos hingga 2 September. Ini merupakan kali pertama kali dalam sejarah Sukan Asia mempromosikan dua kota berbeza, iaitu Jakarta dan Palembang, selepas Piala Dunia Korea-Jepun.

Persediaan sukan ini menyebabkan laluan trafik semakin “ketat” di Kota Jakarta dan mengkhususkan nombor pendaftaran kenderaan genap ganjil boleh memasuki Jakarta pada hari-hari tertentu sahaja.

*Ogos merupakan bulan yang diingati oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. Masing-masing merayakan Hari Kemerdekaannya, Indonesia pada 17 Ogos 1945 dan Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Walaupun kaedah kemerdekaan kedua-dua negara ini berbeza, namun ia saling melengkapi dalam apa-apa jua kondisi sama ada ekonomi mahupun sosial. Sungguhpun ada kalanya hubungan antara kedua-dua buah negara agak panas dalam beberapa isu.

*Pemilihan Presiden dan Wakil (Timbalan) Presiden Indonesia akan berlangsung pada April 2019, namun prosedur dan kempen ke arah itu sudah bermula sekarang. Pemilihan ini serentak dengan DPR RI (Parlimen Nasional), DPRD (Provinsi/Negeri), DPRD (Kabupaten/Kota) dan DPD (Daerah).

Seorang calon Ahli Parlimen DPR RI memulakan pendaftaran calon pada bulan Julai 2018 dan mengikut proses-proses tertentu sehinggalah pengumuman pada 21-23 September 2018. Tempoh kempen yang panjang ini akan berterusan sehingga pilihan raya pada April 2019.

Pemilihan Presiden / Wakil Presiden akan menyorot mata pengamat demokrasi dunia. Sebagai negara Muslim terbesar di dunia dan negara yang mempunyai penduduk keempat teramai di dunia, tentunya “Pesta Demokrasi” di Indonesia akan menjadi perhatian dunia.

Persoalannya, mampukah pasangan Jokowi-Ma’aruf Amin melawan Prabowo-Sandiaga melayani kepelbagaian kehendak rakyat Indonesia?

April 2019, Indonesia Memilih.

Budiman Mohd Zohdi
Associate Researcher Jakarta