JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat telah memulakan prosiding sivil ke atas lima orang yang disyaki menggunakan duit curi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka ialah Riza Shahriz Abdul Aziz, Low Taek Jho atau Jho Low, Eric Tan Kim Loong, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohamed Badawy al-Husseiny.

Riza ialah anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Dia ialah anak Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya Abdul Aziz Nong Chik. Dia menetap di Amerika dan bergiat dalam bidang perfileman serta pelaburan.

Jho Low adalah anak kepada jutawan Cina Pulau Pinang, Tan Sri Larry Low Hock Peng. Dia juga menetap di Amerika dan bergiat dalam bidang pelaburan, perfileman dan pendermaan. Dia sering disebut sebagai ‘the brain’ – pemikir bagi 1MDB sejak diasaskan pada tahun 2008 sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) dan amat rapat dengan keluarga Perdana Menteri.

Tan pula sering disebut dalam laporan media sebagai rakyat Malaysia dan pembantu kanan Jho Low.

Al-Qubaishi dan Al-Husseiny adalah bekas eksekutif kanan agensi pelaburan kerajaan Abu Dhabi yang terbabit dalam usaha sama dengan 1MDB. Mereka telah dipecat dan ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi kerana disyaki terlibat dengan penipuan berbilion ringgit berkaitan usaha sama dengan 1MDB.

Rabu lalu kelima-lima mereka dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika sebagai plaintif dalam tuntutan sivil di mana agensi kerajaan pusat Amerika itu meminta mahkamah merampas harta bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) di Amerika dan tempat-tempat lain.

Mereka didakwa bersubahat dengan seorang yang disebut sebagai ‘Pegawai Nombor 1 Malaysia’ membeli harta-harta tersebut menggunakan wang yang dialihkan secara haram daripada 1MDB.

Serentak itu, pihak berkuasa Singapura telah merampas simpanan bank dan hartanah berjumlah S$240 juta (RM720 juta) bersabit siasatannya ke atas 1MDB. Daripada jumlah itu, S$120 juta (RM360 juta) adalah kepunyaan Jho Low dan ahli keluarganya.

Pihak-pihak yang mewakili 1MDB dan Kerajaan Malaysia telah menafikan penglibatan dalam tindakan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman Amerika itu dan berjanji akan memberi kerjasama.

Saya yakin ramai pembaca khasnya dan rakyat jelata Malaysia umumnya sudah mengetahui sedikit sebanyak mengenai 1MDB kerana sudah dibincangkan secara meluas sejak tahun 2013 lagi.

Tetapi saya rasa ramai daripada kita belum mengetahui secara mendalam hal-hal yang disebutkan dalam kes sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika itu. Jadi izinkan saya bercerita sikit mengenainya.

Pertama kes itu adalah kes sivil. Ia bukan atau belum lagi berubah menjadi kes jenayah. Tetapi bergantung pada apa yang berlaku dalam proses perbicaraan sivil, ia boleh menyebabkan tindakan jenayah diambil.

Kedua, kes itu dikemukakan kerana siasatan juri agung oleh Jabatan Kehakiman Amerika dengan bantuan Biro Penyiasatan Pusat (FBI) mendapati ada bukti berlakunya kegiatan pengubahan wang haram oleh plaintif.

Ketiga, Jabatan Kehakiman Amerika menggunakan peruntukan undang-undang yang unik dipanggil ‘Kleptocracy Asset Recovery Initiative’ (inisiatif mendapatkan semula harta yang dicuri oleh pihak berkuasa).

Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka memadankan ‘kleptocracy’ kepada kleptokrasi tanpa memberi huraian. Demikianlah asingnya istilah itu bukan sahaja dalam bahasa Melayu malah istilah bahasa Inggeris pun terpaksa disadur daripada bahasa Yunani (Greek).

Kleptokrasi adalah gabungan perkataan ‘kleptes’ (pencuri) dan ‘kratos’ (kuasa). Maka jadilah ia pemerintahan pencuri atau pemerintahan oleh pencuri.

Dan keempat, dengan menggunakan peruntukan tersebut Jabatan Kehakiman Amerika berharap dapat merampas semua harta yang dibeli dengan duit haram itu dan memulangkannya kepada ‘rakyat jelata Malaysia’.

Laporan media dari Amerika mengatakan bahawa sejak tahun 2010, inisiatif kleptokrasi telah mendapat suntikan kuasa dengan penyertaan semakin ramai peguam kerajaan dan penyiasat daripada FBI serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Namun ia mengaku bahawa memperoleh kemenangan di mahkamah, merampas dan mengembalikan harta yang dicuri atau yang dibeli dengan duit curi bukanlah mudah.

Tertuduh akan cuba melarikan diri atau menggunakan khidmat guaman terbaik kerana mereka ada duit. Mereka juga menggunakan berbagai tipu helah dan alasan untuk mengelak daripada disabitkan kesalahan.

Jadi kita pun kenalah bersabar dan berpatutan dalam harapan kita dengan memohon yang terbaik daripada Yang Maha Esa. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEMUA pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali.
  • BERIKUT dirumuskan 10 persoalan lazim yang perlu difahami dengan tuntas sebagaimana telah dijawab oleh ramai Pakar Perlembagaan dan Perundangan Islam berkenaan dengan pindaan terhadap Akta 164 yang hangat ditularkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.