KONSEP Bangsa Idaman Malaysia yang telah Merdeka semenjak 1957 mula disingkap pada tahun 1991, di mana telah menggariskan aspirasi untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara berbangsa 'Malaysia' menjelang fajar 2020. 

Malaysia tidak boleh dibangunkan hanya dalam aspek ekonomi semata-mata tetapi mestilah menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya dalam semua dimensi dari sudut ekonomi, politik, kerohanian, psikologi dan budaya. 

Kita mesti juga membangun sepenuhnya dari sudut perpaduan dan solidariti nasional, kesinambungan warisan pengalaman sosial, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem dan kerajaan, kualiti hidup, nilai kemanusiaan dan kerohanian, pemupukan rasa bangga, jati diri, patriotisme dan yakin untuk berkehidupan di negara tercinta ini. 

Konsep Bangsa Malaysia yang terkandung dalam Wawasan 2020 boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menyatukan kumpulan etnik yang pelbagai dan persepsi yang berbeza-beza akan bangsa idaman menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu-padu. Dengan kata lain, ini juga bermakna simbol-simbol identiti Melayu dan hegemoni yang disematkan dalam Perlembagaan akan kekal tidak berubah, walaupun Bangsa Malaysia akan diwujudkan. 

Simbol identiti Melayu dan hegemoni dalam Perlembagaan dicerminkan dalam peruntukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), Hak-Hak Istimewa Melayu (Perkara 153), Raja sebagai Ketua Negara (Perkara 32), dan Islam sebagai Agama Rasmi (Perkara 3). 

Kenyataannya, inilah tiga rukun keMelayuan yang membentuk landasan nasionalisme (bahasa, agama Islam dan teras anak watan) dan yang telah dipersetujui. Agak keterlaluan untuk membayangkan ketiga-tiga peruntukan penting itu terpaksa disorot semula, apatah lagi dikeluarkan dari Perlembagaan Malaysia pada masa hadapan. 

Peruntukan-peruntukan ini menandakan kontrak sosial yang tidak bertulis tetapi begitu murni, sebagai pertukaran dengan hak-hak kerakyatan untuk golongan bukan Melayu sebelum kemerdekaan tercapai. 

Sesungguhnya kita tidak pasti sama ada kecenderungan ini boleh memperteguh nasionalisme Melayu dan kepelbagaian budaya dan dengan itu menjadi asas pembinaan bangsa Malaysia yang kita sama-sama idamkan. Namun, apa yang turut jelas kepada kaca mata rakyat ialah walaupun kecenderungan itu dilihat sebagai mempromosikan projek pembinaan bangsa dalam negara, ia juga akan memenuhi objektif merungkai ideologi-ideologi bersaing bangsa idaman dan pada waktu yang sama serta seerti turut mewakili kepentingan-kepentingan pelbagai komuniti etnik yang pelbagai. 

Jika ilham projek nasional bangsa idaman ini berupaya direalisasikan, apatah lagi boleh memenangi hati rakyat dengan usaha diteruskan oleh kepimpinan akan datang melalui apa-apa gagasan, tetapi menggunakan resipi asal, apa yang mungkin dan ramalan akan wujud adalah konsep baharu bangsa-idaman, yang boleh menambah dan bersaing dengan konsep ideologi etnik yang telah sedia ada yang dipegang oleh orang Melayu dan bukan Melayu. 

Oleh itu, cabaran berat yang terbentang di hadapan untuk visi Bangsa Malaysia berjaya direalisasikan ialah dengan menjadi perantara identiti untuk membina ciri-ciri untuk identiti politik yang penting ini. Ini sudah tentu akan menuntut satu tindakan yang baik, memandangkan kerumitan perdebatan ideologi tentang pembentukan bangsa dan identiti nasional di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang masih berlaku dan panas sejuknya yang bermusim. 

Persoalannya, bagaimanakah kompromi tersebut dilaksanakan? Adakah satu jalan tengah sudah sedia wujud, atau masih belum ditemui atau kita masih lagi dalam situasi pecah dan perintah di mana masih tidur di atas bantal yang sama dan memiliki mimpi yang berbeza? 

Soalnya sampai bila dan apakah sudah tiba waktunya isu ini harus ditamatkan untuk selama-lamanya. Sesungguhnya kita sudah lama merdeka dan usaha mewujudkan Bangsa Malaysia yang hakiki perlu dijadikan realiti dan bukanlah lagi dalam kaca mata bicara retorik dan mimpi yang masih belum berkesudahan lagi. Kita akan sama-sama menjadi penyaksi kepada perubahan ini. Bangsa kita, negara kita.

 

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI antara kita tidak sedar meskipun tahun ini genap 60 kita merdeka, namun laut milik kita masih ‘dijajah’ nama Laut China Selatan.
  • PELBAGAI kejadian melibatkan kemanusiaan sedang terjadi di Malaysia. Isu gengsterisme dan buli seolah-olah merajai masyarakat dewasa ini. Kita sedang diperlihatkan satu persatu isu yang menakutkan. Tentang bagaimana gengsterisme dalam masyarakat kita boleh menggugat perpaduan kaum, hinggalah isu buli dan dera yang boleh membawa kematian.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.