TAHNIAH diucapkan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) kerana berjaya menghimpunkan sejumlah karyawan belakang tabir media seperti editor, wartawan dan penerbit TV dalam satu program cukup bermakna.

Bengkel Diskusi Isu Islam Semasa yang berlangsung dua hari satu malam di Hotel Midah, Jalan Kampung Attap pada 20-21 November lepas turut menghimpunkan agamawan dan ilmuwan daripada panel pemikir isu Islam semasa PMWP sendiri.

Pengisian hari pertama antaranya oleh Ustaz Muhammad Ariffin Ismail dengan tajuk Peranan Wartawan Dalam Menghadapi Isu Semasa, Mafis Mohd Samuri dengan tajuk Perkembangan Dakyah dan Musuh-musuh Islam.

Pada sebelah petang peserta ditayangkan filem My Name Is Khan dan pada belah malamnya sesi analisis dan bedah filem dijalankan dengan perkongsian daripada semua peserta.

Asasnya adalah untuk melihat bagaimana pemikiran pluralisme agama yang jelas dipromosikan dalam filem tersebut dan menilainya daripada perspektif Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dengan kritis.

Pada hari kedua, sesi dimulakan dengan penyampaian oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin dengan tajuk Fahaman-fahaman Menyeleweng Daripada Ahli Sunnah wal Jamaah diikuti dengan penyampaian oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar, pensyarah kanan di Pusat Kajian Tinggi Islam dan Sains (CASIS), UTM dengan tajuk Konsep Pluralisme Agama Daripada Perspektif Islam dan Barat.

Program pada hari kedua ditutup dengan ucapan penangguhan daripada Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan selepas sesi soal-jawab dan dialog antara pembentang dan peserta.

Secara umumnya tujuan program ini adalah bagi menjelaskan kepada pihak media agar berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu berita atau bahan selain perlu merujuk kepada autoriti yang sahih serta selari dengan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab akidah Asy`ari/Maturidi, mazhab fikah Syafi`i dan ilmu tasawuf aliran Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rh.

Ini adalah untuk memastikan tidak berlaku kekeliruan dan pertembungan berterusan dalam masyarakat akibat daripada pandangan-pandangan yang tidak biasa terpakai dalam negara ini.

Selain itu, keutamaan kita adalah fokus kepada isu-isu yang lebih besar seperti ancaman golongan pro liberalisme, pluralisme agama, feminisme, LGBT, ajaran-ajaran sesat dan seumpamanya.

Dalam masa sama, menurut Ustaz Muhammad Ariffin sewajarnya kesesatan-kesesatan isme-isme yang pelbagai ini dilawan dengan hujah-hujah ilmiah daripada disiplin pengajian ilmu Islam dan kajian-kajian saintifik serta sains sosial semasa.

Tindakan undang-undang bagi terus mengharamkan hanya akan mempopularkan lagi mereka, malah kadang-kadang itulah yang mereka mahukan.

Jika golongan tersebut sengaja mencabar kesucian akidah dan syariat Islam lalu menyerangnya melalui buku, justeru perlu dilawan dan dihujah kembali dengan buku.

Begitu juga jika mereka menggunakan media baru, justeru tulisan-tulisan bersifat memurnikan dan menjelaskan mengenai ajaran Islam yang hakiki perlu juga disebarkan dan diperbanyakkan dalam media baru.

Mengehadkan masyarakat awam kepada satu sumber dan aliran juga sudah tidak lagi relevan mengenangkan fenomena langit terbuka mutakhir ini.

Apa yang lebih tepat adalah membuka ruang hujah dan perbincangan secara bertingkat sesama ahli ilmu sebelum disebarkan kepada masyarakat secara terbuka.


Khilaf adalah rahmat jika kena cara menguruskannya, namun jika masfadahnya lebih besar dan menyebabkan masyarakat semakin berpecah lebih baik ia hanya dibincangkan dalam kelompok tertentu sahaja seperti komuniti di universiti yang tugas mereka sememangnya berfikir dan mengkaji bagi mengemukakan solusi yang terbaik buat umat.

Walau bagaimanapun, umat perlu didedahkan kepada disiplin pengajian dua sumber utama dalam Islam iaitu al-Quran dan ilmu-ilmunya serta al-Hadith yang sahih.
*Penulis ialah Editor Kanan Karya Bestari, zahiruddin@karangkraf.com

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERDASARKAN hasil kajian kelolaan Kapersky Lab dan B2B International, pengguna Internet wanita kurang prihatin dalam melindungi diri daripada ancaman siber berbanding dengan lelaki.
  • PENGANJURAN Seminar Kebangsaan Media Dakwah (SMED) 2014 kali ini bertemakan Dakwah Media Baharu: Cabaran dan Masa Hadapan mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk menjadi platform untuk membincangkan isu dan paradigma baharu yang saling berkaitan dengan bidang komunikasi, media dan dakwah.
  • MEDIA massa mempunyai perbezaan yang ketara dalam dalam konteks menggalakkan proses demokrasi yang sebenar-benarnya. Dalam kepincangan tersebutlah, munculnya media baru...
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.