KEPUTUSAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan rancangan pembinaan perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR) merupakan satu keputusan yang tepat dan menunjukkan iltizam kerajaan untuk mengurangkan beban defisit negara.

Mengikut perancangan, HSR ini merupakan jaringan pantas yang menghubungkan Singapura, Iskandar Johor dan Bandar Malaysia Kuala Lumpur. Ia juga akan menghubungkan beberapa bandar kecil seperti Batu Pahat, Muar, Air Keroh dan Seremban.

Kos perancangan HSR dianggarkan sekitar RM100 bilion walaupun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mendakwa hanya sekitar RM72 bilion.

Sama ada RM100 bilion atau RM72 bilion ia masih merupakan satu angka yang terlalu besar untuk sebuah projek jaringan pengangkutan sejauh 350KM yang telah pun mempunyai pengangkutan darat, keretapi dan kapal terbang.

Dengan kata lain, projek yang memakan kos hampir RM100 bilion ini bukan satu projek kepentingan nasional, apatah lagi kepentingan rakyat keseluruhan. Ia adalah agenda dan kepentingan kumpulan elit dan ekspatriat Singapura.

HSR lebih menguntungkan Singapura berbanding Malaysia. Dengan wujudnya HSR, kumpulan pekerja profesional dan ahli perniagaan Singapura akan menikmati kualiti hidup yang baik di Malaysia tetapi terus memajukan ekonomi republik tersebut.

Dengan kepantasan perjalanan sekitar 90 minit sahaja dari Kuala Lumpur ke Singapura, mereka akan tinggal di negara ini tetapi bekerja dan membayar cukai di Singapura. Siapakah yang untung? Sudah tentu Singapura akan mendapat lebih keuntungan. Singapura tidak akan kehilangan perniagaan dan golongan profesional.

Jika dulu kumpulan ini hanya tinggal di sekitar Johor Bharu dan Iskandar Puteri, dengan adanya HSR kelak mereka akan memilih untuk tinggal di beberapa bandar kecil dan juga Kuala Lumpur.  

Mereka juga akan membeli hartanah di negara ini yang akan menyebabkan nilai kediaman akan meningkat berkali-kali ganda.

Jadi, apa keuntungan kepada Malaysia? Ya, peniaga Malaysia mungkin mendapat limpahan perbelanjaan Dolar Singapura di negara ini. Namun, nilai kediaman akan meningkat yang hanya akan menguntungkan pemaju hartanah bukannya rakyat Malaysia.

Malahan ada kemungkinan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kehilangan sebahagian pengguna antarabangsa. Dengan jarak perjalanan Kuala Lumpur – Singapura hanya mengambil masa 90 minit, tidak mustahil ramai pelancong memilih untuk terbang melalui Lapangan Terbang Changi, Singapura berbanding KLIA. Ini sekali gus akan mengurangkan lagi hasil negara.

Tambahan pula seperti kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, pembatalan HSR sangat bertepatan dengan agenda kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban hutang kerajaan dan kerajaan akan menumpukan kepada usaha memakmurkan rakyat kebanyakan.

Rakyat Johor sendiri tidak akan terjejas dengan pembatalan ini kerana ia lebih merupakan projek untuk kepentingan kumpulan elit berpendapatan tinggi dan pemaju hartanah sahaja.

Kerajaan yang baharu ini tidak boleh memperjudikan puluhan dan ratusan bilion ringgit untuk satu projek pengangkutan mewah, sedangkan rakyat biasa belum mempunyai pendapatan seperti negara maju.

Kita tidak menolak kemajuan, namun pembangunan yang sofistikated seperti HSR harus mengambil kira kemampuan rakyat dan negara. Jelas buat masa ini rakyat dan negara tidak mampu menampung pembangunan seperti ini.

Tidak ada guna kita menang sorak dengan mempunyai infrastruktur canggih, namun akhirnya kampung halaman kita tergadai. Biarlah kita ukur baju di badan sendiri.

* Penulis merupakan bekas Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Perdana Menteri