SAYA sudah melihat banyak lukisan, termasuk yang dihasilkan pelukis-pelukis terkenal dunia, tetapi wajah dalam lukisan yang saya lihat di dinding sebuah pejabat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, baru-baru ini menimbulkan persoalan yang mendalam.

Lukisan minyak itu melakarkan wajah seorang perempuan tua Vietnam menguntum senyuman.

Siapa perempuan itu dan siapa pelukisnya tidaklah diketahui, tetapi ia adalah imbas wajah yang tidak asing bagi saya.

“Saya beli lukisan ini di Hanoi pada 2016,” ujar Dr Muhammed Abdul Khalid, seorang pakar ekonomi muda, ketika menjawab kemusykilan saya.

Muhammed, 42, adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pakar Ekonomi DM Analytics Sdn Bhd, sebuah institusi penyelidikan yang diasaskannya bersama seorang pegawai Bank Negara Malaysia.

Katanya, beliau tertarik dengan lukisan tidak berjudul itu kerana dua sebab. Pertama, ia menggambarkan wajah orang tua, hiasan yang turut ditonjolkan di kulit sebuah bukunya berjudul 'Antara Dua Darjat'.

Kedua, rupa perempuan itu, terutama pada senyumannya, bagaikan seiras wajah seseorang yang terkenal di negara ini.

Bagi Muhammed, ada sesuatu yang istimewa pada penampilan wajah dalam lukisan yang tergantung rapi di sudut pejabatnya itu, berbanding dengan gambar lelaki yang menghiasi kulit bukunya.

“Hiasan kulit buku saya menggambarkan seorang pakcik yang nampak risau. Ia konsisten dengan tema buku saya, tetapi wajah perempuan dalam lukisan itu berbeza. Ia kelihatan riang dan tenang.

“Dia memberi harapan. Itu yang buat saya tertarik dan membelinya,” kata Muhammed.

Saya bagaikan sudah dapat meramalkan jawapan beliau, tetapi sengaja saya lontarkan soalan, iaitu berapa ribu ringgitkah harga yang agaknya beliau mahu letakkan kalau ada yang berhajat membelinya.

Muhammed mendekati lukisan itu dan merenung tajam pada wajah dalam lukisan itu.

“Tidak...saya tidak akan menjualnya kerana ia tidak ternilai,” jawabnya spontan.

Di hujung perbualan kami, beliau, sambil tersenyum, menjelaskan bahawa tindakannya menghiaskan lukisan wajah yang seiras seorang negarawan itu tidak semestinya mencerminkan kecenderungan politiknya.

“Yang menarik adalah riak wajah perempuan tua dalam lukisan itu menggambarkan keriangan dan ketenangan. Ia, pada saya, adalah wajah yang memberikan harapan,” katanya.