KEMERDEKAAN dari perspektif sirah sangat signifikan dengan peristiwa pembukaan kota Makkah. Islam sering menggunakan istilah pembukaan yang merujuk kepada maksud kemerdekaan.

Salah satu surah dalam al-Quran dinamakan al Fath iaitu pembukaan. Surah al Fath menjelaskan sebahagian daripada perjalanan Rasulullah SAW untuk memerdekakan bumi Makkah bermula dari kisah Perjanjian Hudaibaih sehinggalah pembukaan kota Makkah. Peristiwa pembukaan kota Makkah sarat dengan pengajaran yang boleh menjadi panduan kepada kita dalam menyambut kemerdekaan negara ke-61.

Ketika memasuki kota Makkah pada hari kemerdekaannya, Rasulullah SAW sentiasa menundukkan kepala baginda kerana menzahirkan kesyukuran dan ketundukan kepada ALLAH SWT yang telah menganugerahkan nikmat sangat bermakna ini.

Rasulullah SAW tunduk hingga janggutnya mencecah belakang unta tunggangannya. Baginda terus menerus membaca Surah al Fath pada hari kemerdekaan kota Makkah. Semoga kita juga banyak membaca Surah al Fath sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini.

Antara agenda utama yang direalisasikan oleh Rasulullah SAW pada hari berkenaan adalah membersihkan baitullah daripada sebarang kesyirikan kepada ALLAH SWT ini mengisyaratkan kepada kita bahawa nilai-nilai aqidah adalah perkara asas dalam mengisi kemerdekaan.

Agama seharusnya dipasak kemas untuk menjadi sandaran dan panduan dalam apa jua program sambutan kemerdekaan. Bukankah kemerdekaan negara ini dinikmati atas darah para pejuang kita terdahulu, bukankah agama yang menunjangi kekuatan para pejuang terdahulu. Bukankah surau, sekolah agama, madrasah menjadi titik mula ke arah pencarian sebuah kemerdekaan, amat malang jika agama dikesampingkan ketika kita mengisi dan menyambut kemerdekaan.

Seharusnya dalam menyambut kemerdekaan jauhilah perkara kemaksiatan dan kemungkaran. Semarakkan dengan acara-acara patriotik yang menginsafkan khususnya kepada golongan muda-mudi. Almarhum Ramadan al Butiy menegaskan dalam Fiqh Sirah:

“Muslimin seluruhnya wajib berada dalam keadaan memperhambakan diri kepada ALLAH SWT, sama Ada dalam keadaan senang mahupun susah, lapang atau sempit, gagah atau lemah. Sebaliknya bukan sifat Muslim kiranya melahirkan hina dan lemah diri kepada ALLAH SWT hanya pada waktu sesak dan sempit. Bila sesak dan sempit sudah hilang, di saat itu mabuklah kembali dengan riang dan ria, seolah-olah dia itu bukanlah orangnya yang sebelum ini menadah tangan berdoa memohon supaya segala kesempitan dihapuskan.”

Perpaduan, persamaan sesama manusia, kesanggupan “melupakan sengketa lama” adalah petunjuk wahyu Baginda Nabi SAW dalam peristiwa pembukaan kota Makkah.

Rasulullah SAW dalam khutbah Baginda menyatakan “Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH, tiada sekutu bagiNya, Dia telah membuktikan kebenaran janjiNya, Dia menolong hambaNya. Dan dibinasakan bersendirian musuh-musuhNya yang bersatu, segala perbalahan dan dendam kesumat atau menuntut bela tamatlah hari ini. Wahai orang-orang Quraisy sesungguhnya ALLAH telah menghapuskan sikap membangga-banggakan keturunan atau membesar-besarkan nenek moyang kerana semua manusia adalah anak cucu Adam sedang Adam dijadikan daripada tanah.”

Rasulullah SAW telah membaca ayat 13 Surah al Hujurat yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya.  

Sebelum merdeka dan selepas merdeka sentimen perkauman telah memberi kesan buruk kepada kestabilan negara. Mengapikan-apikan kemarahan atas sengketa lama seharusnya dielakkan. Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara kita amat mudah mengheret kita ke kancah permusuhan kaum.

Justeru, semua kaum seharusnya bersedia melupakan sengketa lama demi meneruskan kelangsungan pengisian kemerdekaan negara ini. Bapa Pembangunan Negara Tun Abdul Razak dengan kepimpinannya yang dinamik telah meletakkan negara ini di landasan yang lurus menuju kecemerlangan, gemilang dan terbilang. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-61.

* Penulis seorang pendidik berkelulusan PhD Universiti Malaya