ASEAN harus dilihat sebagai suatu proses berbanding sebagai sebuah produk.” Mendahului makalah ini adalah potongan ungkapan optimis tatkala rasa pesimis menebal rentetan krisis kemanusiaan yang tidak putus-putus melanda etnik minoriti di Myanmar.

Rohingya - bukanlah yang pertama seumpamanya. Rantau ini telah menyaksikan krisis kemanusiaan yang melibatkan warga Kemboja pada dekad 80-an dahulu dan seterusnya, krisis kemanusiaan di Timor-Timor (kini Timor Leste) pada akhir dekad 90-an dulu.

Pertamanya, Asean dipandang dunia kerana berjaya mengurus krisis pelarian Kemboja dengan jayanya. Keduanya, Asean dikecam hebat kerana berdiam lalu menyaksikan penembusan kuasa asing menyelamatkan mereka di Timor Timor. Dua krisis yang menaik-menjatuhkan pertubuhan serantau yang bakal menginjak usia separuh abad pada tahun hadapan.

Tidak dinafikan, Asean boleh dikatakan berjaya kerana bebas daripada sebarang peperangan fizikal dalam kalangan anggotanya. Namun, harus juga diakui bahawa rantau ini berdepan dengan pelbagai ancaman keselamatan kontemporari (bukan tradisional) yang telah menjadi lumrah pada zaman edan ini.

Sebagaimana krisis jerebu, krisis etnik Rohingya yang dipadam daripada Perlembagaan Myanmar oleh junta tentera pada dekad 80-an lalu seperti telah menjadi perayaan tahunan di rantau ini. Krisis ini sekejap timbul, sekejap hilang. Lebih mengharukan apabila krisis sebegini tidak diangkat malah dibincang dalam konteks serantau - melibatkan 10 negara anggota pertubuhan.

Asean buntu, negara anggotanya membisu – prinsip asas pertubuhan untuk tidak campur tangan dalam hal domestik negara anggota telah menjadi jawapan klise, malahan memandang sepi pembantaian etnik Rohingya sehingga saat ini.

Umum perlu diperjelas bahawa prinsip tidak campur tangan bukanlah dipegang oleh Asean sahaja, pokoknya, prinsip ini adalah asas penting dalam mengemudi hubungan antarabangsa dan diplomatik sejak 400 tahun dahulu melalui Sistem Westphalia.

Bersandarkan kepada sistem ini juga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengguna pakai prinsip ini yang menjadi keutamaan dalam piagamnya seperti yang jelas tertera dalam Artikel 7(2).

Makanya, bukanlah suatu kejanggalan bagi Asean mendukung prinsip tidak campur tangan kerana ia sudah menjadi norma dalam konteks hubungan antarabangsa dan diplomatik.

Pun begitu, pasca modenisasi dan globalisasi ini telah memunculkan realiti baharu yang mencabar tradisi Asean. Kesedaran sosial dan perkembangan media menekan Asean untuk memulakan usaha pemaknaan semula pegangan prinsip tidak campur tangan.

Meletakkan Rohingya sebagai contoh, penafian hak kewarganegaraan mereka telah menjadi punca lambakan pelarian yang bukan sekadar menjejaskan imej Asean dan negara anggotanya, malahan, turut memberi kesan kepada keselamatan rentas sempadan dan peningkatan kos mengurus bagi negara anggota yang menerima dan membantu kedatangan mereka.

Pemaknaan semula ini juga membolehkan Asean membentuk pasukan pengaman sendiri bagi memasuki zon krisis kemanusiaan, seterusnya meredakan keadaan tersebut. Langkah ini diperlukan bagi mengelakkan penembusan kuasa besar yang mengambil kesempatan ke atas rantau ini atas nama kemanusiaan.

Asean telah menyaksikan sendiri natijah daripada prinsip ini yang menyebabkan campur tangan antarabangsa yang diketuai oleh Australia dalam krisis kemanusiaan melibatkan warga Timor-Timor dulu.

Rentetan daripada prinsip tidak campur tangan jugalah yang menyebabkan Asean gagal mendepani krisis serantau dalam semangat keserantauan.

Mengambil krisis Rohingya sebagai contoh, hanya negara yang punyai perkaitan dan jarak yang dekat sahaja bersuara dan menekan kerajaan Myanmar seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Begitu juga apabila rantau ini diselaputi dengan asap jerebu- hanya negara anggota yang terjejas sahaja menemukan penyelesaian, manakala yang lain pula tidak terlibat langsung dalam usaha tersebut.

Walhal, kesannya merebak ke seluruh rantau ini dan pastinya mengundang campur tangan asing sekiranya Asean dan negara anggotanya tidak mampu menguruskan secara keserantauan.

Kesimpulannya, krisis Rohingya yang timbul saban tahun dan yang mutakhir ini bukanlah satu-satunya krisis kemanusiaan yang berpusing di rantau ini. Asean dan negara anggotanya perlu berjiwa besar bagi mengangkat soal kemanusiaan dan hak-hak mereka - tanpa mengira soal etnik dan agama.

* Penulis ialah graduan Kajian Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak