PILIHAN Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis telah selesai dilaksanakan pada 4 Ogos lalu. Sebagai pilihan raya pertama di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), tentunya pelaksanaan PRK ini menarik perhatian pelbagai pihak.

Selaras dengan kitaran pilihan raya, elemen pemerhatian pilihan raya merupakan salah satu usaha untuk menilai kelancaran pelaksanaan prosedur pilihan raya, dan memastikan ia mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

Hasrat ini disokong oleh sarjana Pippa Norris melalui bukunya, Election Watchdogs: Transparency, Accountability and Integrity yang mendapati pelaksanaan pilihan raya yang berintegriti melibatkan empat tahap, iaitu ketelusan dan keterbukaan kerajaan, pelaksanaan aktiviti melibatkan pelbagai hala, mekanisme pematuhan melibatkan ganjaran dan hukuman, serta piawaian integriti pilihan raya.  

Penulis telah diberi peluang untuk terlibat sebagai pemerhati pilihan raya pada PRU14 dan PRK Sungai Kandis yang lalu. Pengalaman lapangan yang diperoleh ini amatlah berharga, di mana penulis berpeluang melihat sendiri pelaksanaan proses-proses pilihan raya oleh petugas-petugas di saluran dan pusat mengundi.

PRU14 lalu menyaksikan pelbagai keputusan yang diambil kerajaan terdahulu sebagai tidak popular dalam kalangan rakyat. Antaranya seperti pemilihan hari Rabu sebagai hari mengundi, cubaan kerajaan menjemput Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC) sebagai pemerhati pilihan raya yang dipersoalkan pengalaman dan keupayaannya, sedangkan pada masa sama menidakkan keterlibatan secara rasmi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Sewaktu penamaan calon pula, timbulnya keraguan terhadap beberapa insiden yang menjejaskan kelayakan calon untuk bertanding. Antaranya seperti isu kebankrapan, hukuman denda oleh mahkamah, dan kegagalan mempamerkan pas kebenaran memasuki premis penamaan calon.

Malah, kebanjiran pengundi yang sangat ramai sejak dari awal pagi semasa hari mengundi menyebabkan kesesakan secara luar biasa di kebanyakan saluran dan pusat mengundi, dan pengurusan kertas-kertas undi pos luar negara yang tidak cekap telah mengundang kekesalan dan cemuhan awam terhadap keefisienan pelaksanaan proses pengundian.

Hinggakan kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan pilihan raya juga dipandang serong oleh pelbagai pihak.

Bertitik-tolak daripada pengalaman tersebut, SPR telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mempertingkatkan semula penyampaian perkhidmatan kepada pengundi.

Semasa PRK Sungai Kandis, masa pengundian telah dipanjangkan sehingga jam 5.30 petang, bilangan petak mengundi telah ditambah, saluran kedua bagi setiap pusat mengundi ditetapkan maksimum 350 pengundi (sama seperti penetapan bilangan pengundi saluran pertama), dan bilangan pengundi bagi saluran lain dikurangkan kepada maksimum 600 orang sahaja.

Buat pertama kalinya Bersih dan Suhakam juga dilibatkan sebagai pemerhati pilihan raya, bermula dari urusan penamaan calon hinggalah penjumlahan rasmi undi.

Selain itu, penggunaan khemah terbuka bagi tiga saluran mengundi di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang Jaya juga dilihat sebagai suatu usaha penting SPR, bagi membolehkan orang awam (walaupun daripada luar pusat mengundi) untuk menyaksikan proses pengundian dan pengiraan undi yang dilaksanakan secara telus, mematuhi prosedur ditetapkan, dan melibatkan elemen pengesahan oleh ejen-ejen pengundian serta pengiraan undi yang bertugas.

Reaksi positif ini jelas menunjukkan komitmen SPR untuk memberi kemudahan kepada para pengundinya. Tambahan pula, penglibatan pelbagai badan pemerhati pilihan raya domestik yang berkredibiliti jelas membuktikan keterbukaan dan ketersediaan badan pengendali pilihan raya di Malaysia ini, untuk menggalakkan penyertaan awam dan menambah baik segala proses pilihan raya yang lapuk, bagi sama-sama menegakkan proses demokrasi di negara ini.

SPR juga telah mengumumkan untuk meneruskan pelaksanaan prosedur baharu ini pada PRK Balakong dan Seri Setia, dan penulis amat berkeyakinan usaha ini akan diteruskan lagi bagi pilihan raya lain yang mendatang.

Penggemblengan usaha secara berterusan diyakini mampu untuk meningkatkan kembali tahap keyakinan rakyat terhadap profesionalisme SPR, yang mengalami kemerosotan sewaktu PRU14 lalu.

* Penulis ialah pelajar PhD Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia