SAYA amat gembira mendengar kenyataan YB Dr. Maszlee minggu ini yang menyatakan bahawa pengiktirafan UEC akan hanya dibuat dalam jangka masa lima tahun.  Itu pun setelah kajian yang terperinci dan holistik dilakukan.

Beliau berkata bahawa Kementeriannya akan menjalankan kajian komprehensif mengenai UEC, yang melibatkan juga pandangan daripada pihak-pihak yang berminat melalui konsensus, di samping menjamin kepentingan Bahasa Melayu dan harmoni antara kaum.

Beliau juga menekankan walaupun pengiktirafan mungkin diberi kepada UEC, Kementerian tidak akan membenarkan kesan buruk berlaku terhadap status dan kedudukan Bahasa Melayu.

Walaupun beliau mengaku bahawa pengiktirafan UEC adalah sebahagian daripada manifesto pilihanraya Parti Harapan, tetapi manifesto itu tidak menyebut bahawa pengiktirafan hendaklah dilakukan dalam masa 100 hari pemerintahan.

Walaupun sesuatu janji memang terdapat di dalam manifesto mana-mana parti sekali pun, rakyat hendaklah peka bahawa sesetengah janji tidak akan terlaksana sekiranya keadaan tidak membenarkannya untuk dilaksanakan.

Kerajaan boleh membatalkan janji dalam manifesto sekiranya setelah dikaji dengan teliti, janji itu boleh membawa kepada musibah dan kemusnahan kepada integriti, keamanan dan kesejahteraan rakyat dalam negara. Semua pihak hendaklah menerima hakikat ini.

Apabila ditanya samaada sekolah Cina swasta akan diberi peruntukan kewangan kerajaan, YB Dr. Maszlee menjawab bahawa sekolah itu tidak tergolong dalam sistem pendidikan nasional. Sebarang peruntukan perkembangan hendaklah dipohon daripada Agensi Kerajaan Persekutuan.

Saya sarankan supaya sebarang Jawatankuasa untuk meneliti kesesuaian UEC bagi negara ini hendaklah terdiri daripada bijakpandai dalam negara, terutama yang arif tentang Undang-Undang dan Perlembagaan Malaysia, dan mempunyai integriti untuk mempertahankannya.

Penting sekali kita mengetahui apakah UEC itu serta kandungan silibusnya. Satu keterangan yang terperinci yang diwartakan hendaklah dibuat oleh pihak berwajib iaitu Kerajaan Malaysia supaya dapat dinilai oleh rakyat berpandukan fakta. Saya diberitahu (sila betulkan sekiranya silap) bahawa UEC itu ialah :

UEC merupakan satu Sijil Peperiksaan Bersama yang diwujudkan oleh Dong Jiao Zong (Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina) sejak tahun 1975 dan digunakan di Sekolah Persendirian Cina di Malaysia.

UEC telah diwujudkan apabila bantuan kerajaan dihentikan kerana lembaga sekolah tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti di sekolah-sekolah awam. Silibus UEC berasal dari Taiwan secara sepenuhnya dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina di Malaysia.

Namun, silibus yang digunapakai di sekolah-sekolah persendirian Cina adalah tidak mengikuti Dasar Pendidikan Negara. Kata Ridhuan Tee, UEC mengetepikan sejarah dan Bahasa Melayu. UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Kata Ridhuan Tee lagi, UEC bukan sahaja membolehkan pihak tertentu bebas mempunyai kuasa untuk menentukan kurikulum sendiri menggunakan perantaraan bahasa Cina, malah boleh mengadakan peperiksaan sendiri yang dikendalikan guru-guru mereka tanpa merujuk kepada Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Sama ada UEC diiktiraf oleh universiti di luar negara, tidaklah penting. Kalau UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, maka ianya tidak perlu diiktirafkan. Perlembagaan hanya membenarkan hak untuk belajar bahasa ibunda, bukan hak belajar dalam bahasa ibunda.

Jika UEC diiktiraf, ianya sangat tidak adil kepada pelajar yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Pengiktirafan UEC akan mewujudkan contoh terdahulu seperti peperiksaan lain G.C.E A-Level yang telah menerima desakan serupa.

Maka akan timbul kemungkinan desakan lain demi kepentingan sekolah vernakular mereka. Mengiktirafi sesuatu yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan boleh diibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’. (Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong). UEC telah pun mencipta sistem pendidikan yang berbeza daripada sistem kerajaan. Saya fikir ini telah menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Berilah Menteri peluang untuk mengkaji hal UEC ini dengan lebih teliti, supaya apapun keputusan yang bakal diambil, tidak dikesali nanti. Saya lihat orang-orang yang mendesak Menteri kebanyakannya terdiri daripada penyokong-penyokong Parti Harapan sendiri.

Mereka yang telah memberi kepercayaan kepadanya, maka eloklah mereka terus memberi kepercayaan kepadanya untuk menyelesaikan perkara ini. Tidak perlu terburu-buru, nanti untungnya hanya secupak, tapi ruginya berguni-guni.

***Profesor Datuk Dr. Hashim Yaacob merupakan mantan Naib Canselor UM