SESEORANG yang dilantik mahupun dipilih untuk memegang sesuatu jawatan atau kedudukan di dalam sesebuah organisasi tentunya akan berasa gembira dan bangga dengan berita tersebut.

Sama ada lantikan atau pemilihan yang dibuat itu benar atau tidak beretika tidak menjadi isu kepada orang yang telah dipilih.

Dengan lantikan dan pemilihan yang dibuat individu tersebut kini mempunyai gelaran seperti pengarah, ketua jabatan, ketua bahagian, ketua unit atau sebarang gelaran yang menunjukkan mereka kini memegang sesuatu jawatan atau kedudukan yang akan mengetuai sesuatu jabatan, unit dan sekumpulan kakitangan lain.

Pada awal kebiasaan, yang dilantik atau dipilih akan menyatakan mereka akan sedaya upaya menjalankan amanah dan tanggungjawab serta akan meminta agar kerjasama daripada semua kakitangan rakan setugas demi menjayakan program atau projek sepanjang kepimpinan beliau.

Sering kedengaran ayat "bekerjalah bersama saya", "berdampinglah dengan saya" dan "pintu saya sentiasa terbuka".

Kenyataan retorik ini biasanya hanya mampu bertahan dua atau tiga minggu, yang kemudiannya pemegang jawatan sering dan sentiasa berubah dari segi sikap serta tingkah laku mereka. Mereka sebenarnya diuji ALLAH tanpa disedari. Dan ini juga diterangkan dalam hadis yang bermaksud:

 “Ingatlah! Masing-masing kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Muslim)

Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata, Nabi SAW berkata kepadaku: “Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah.

Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kita tidak boleh melobi untuk diangkat menjadi ketua atau dengan perkataan lain menjadi orang yang gila kuasa kerana menjadi seorang ketua bukanlah perkara mudah.

Orang yang mabuk kuasa dan ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat menjalankan dan melaksanakan tugas dengan baik. Dalam keghairahan mendapatkan kedudukan akan timbullah bantahan dan tentangan kerana kebanyakannya hanya mementingkan diri sendiri.

Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan berdasarkan dialah orang yang paling layak, insya-Allah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada ALLAH dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara dan dipersetujui.

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. (Hadis riwayat Muslim)

Setiap ketua jabatan hendaklah menjalinkan hubungan baik dengan rakan sekerja supaya tidak berlaku keadaan benci-membenci di antara satu sama lain. Islam melarang umatnya menentang ketua sekalipun ketua itu melakukan kesilapan atau kesalahan selagi mana ia mendirikan sembahyang sebagai bukti ia masih lagi Islam.

Salah satu daripada tanda keadilan seorang yang bergelar ketua ialah wujudnya ikatan kasih sayang dan kemesraan di antara seorang ketua dengan rakan sekerja.

Jangan kita jadikan gelaran di dunia untuk keangkuhan. Jawatan, gelaran dan kedudukan itu melalaikan dan membuat kita berasa kita adalah orang yang terbaik sekali dalam semua bidang.

Pangkat dan jawatan biasanya membuatkan kita lupa diri tanpa kita sedari. Hasil kerja yang berkat lebih penting daripada gelaran, jawatan dan anugerah.

* Penulis dari Jabatan Ilmu Pendidikan, Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.