Fitnah atau kata mengata dalam ceramah politik sudah menjadi perkara biasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Tiada siapa dapat menyangkalnya.

Bagi mengelakkan fitnah dalam ceramah dan perhimpunan seseorang ahli politik mestilah menggunakan akal budi dan mata hati dalam menyampaikan ceramah kepada rakyat terbanyak. Bagi yang mendengar tinggalkan sahaja ceramah tersebut.

Kebanyakan penceramah akan menyentuh soal peribadi calon yang akan bertanding.

Fitnah menjadi senjata terakhirnya. Penawar bagi hati adalah kesabaran bagi yang kena fitnah. Justeru, pandangan tentang fitnah ada yang mengatakan daripada susah payah mempergunakan waktu bagi memfitnah orang lain, jauh lebih baik mempergunakan waktu bagi diri sendiri.

Oleh sebab itu, Nabi SAW pernah mengingatkan, fitnah lebih kejam daripada pembunuhan.

Oleh hal yang demikian elakkan daripada melakukan fitnah, dan tolak calon yang suka memfitnah dalam PRU13. Fitnah itu adalah tuduhan liar, khabar yang tidak benar, kisah yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Dalam hal ini, semua petugas parti, pemimpin politik dan juga calon yang bertanding dalam PRU13 seharusnya mengawal lidah dan percakapan agar tidak terjerumus dalam perbuatan memfitnah.

Justeru, bagi menabur fitnah, orang tidak memerlukan wang, akhlak dan pengetahuan. Ini disebabkan fitnah hanya memerlukan percakapan mengikut perasaan yang juga terdapat di media baru di Facebook, Twitter dan Blog serta pelbagai saluran lain.
Fitnah merosak tiga jenis manusia, iaitu yang mengucapkan, yang mendengarkan dan yang difitnah.

Dikatakan juga, orang yang suka memfitnah mempunyai syaitan di lidahnya dan orang yang suka mendengarkan fitnah mempunyai syaitan di telinganya. Jelaslah dengan fitnah seseorang itu tidak akan berkurang, dengan pujian seseorang itu tidak akan bertambah kebaikannya.

Mengamalkan politik budiman sangat digalakkan. Justeru, semua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang wajar mengamalkannya bagi mengelakkan sebarang unsur fitnah memfitnah yang boleh merosakkan dan memecahbelahkan ummah dan menjadi ikutan rakyat di bawah.

Amanat pemimpin yang baik wajar diikuti dan dipatuhi demi menjaga kedamaian dan kesejahteraan dalam kehidupan ummah. Sebagai pengikut parti dan pekerja parti seruan dan saranan ini patut dipatuhi sebagai etika dalam berkempen dan bekerja menjelang PRU13.

Ingatan imam al-Ghazali perlu dijadikan pedoman. Menurutnya, moral rakyat akan menjadi buruk disebabkan merosotnya peri kehidupan dalam kalangan pemimpin atau penguasa dan lemahnya akhlak para pemimpin agama, sedangkan para ulama menjual hati nuraninya demi harta dan kekuasaan.

Sikap keterbukaan pemimpin dalam  menghadapi PRU13 wajar ditunjukkan kepada rakyat. Banyak lagi isu yang boleh diketengahkan secara kritis seperti isu pendidikan, sejarah, ekonomi, budaya dan sosial patut diketengahkan dalam ceramah politik.
Ceramah yang membina bidang-bidang ini akan dapat diterima oleh semua pengundi. Rakyat bukan mahu semuanya percuma, kadang-kadang rakyat sanggup membayar untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik seperti pendidikan dan kesihatan.

Penceramah yang budiman akan sentiasa mengetengahkan perkara-perkara yang menjadi misi dan visinya dalam politik masa depan. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua pengundi dan rakyat di peringkat akar umbi untuk kehidupan masa depan lebih baik.

Adalah lebih baik menghulur salam dan memberikan senyuman kepada rakyat jelata.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang bahagia adalah yang dijauhkan daripada fitnah-fitnah dan orang yang apabila terkena ujian dan cubaan dia bersabar.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Kebahagiaan seseorang pemimpin terserlah apabila dia tidak memfitnah orang lain dan tidak menyentuh isu-isu berkaitan dengan peribadi seseorang. Gaya bahasanya indah dan lunak didengar, akhlak dan moralnya sentiasa terpuji. Bagaimanapun, seseorang pemimpin yang sabar dan tabah menghadapi ujian dan cubaan fitnah, khususnya dalam PRU13 betul-betul diuji kehebatan dan daya kepimpinannya. Dia bagai permata semakin digilap semakin bercahaya.
 
* Penulis pengamal media dan bekas pendidik