GUSAR, runsing…baru minggu lepas Ujang bercerita keseronokan bekerja di Bukit Gambang Safari Park (BGSP) tetapi minggu ini agak menggemparkan apabila rakannya, N 'hilang' tidak kelihatan di tempat kerja mahupun di asrama.

Insiden berlaku apabila N tidak bekerja selama dua hari dan tidak dapat dihubungi lalu kami menghubungi ayahnya dan berjaya dikesan dan ditemukan dengan ayah dan ibunya.

Perkara tidak diduga berlaku, ayahnya menegur N dengan sedikit keras kerana tidak bekerja dan N merajuk lalu menghilangkan diri.

Kini sudah dua hari kelibatnya tidak kelihatan, kami risau begitu juga ibu dan ayahnya. Kami percaya N masih lagi di resort mengelak untuk bertemu dengan ayahnya.

Harapnya N akan kembali kerana sudah dua hari beliau menghilangkan diri.

Minggu lepas kami diundang untuk membuat presentasi penyambungan kontrak pembelajaran pelajar pendidikan khas di Kolej Imperia. Pembentangan dilakukan di Bahagian Pedidikan Khas (BPKhas) Kementerian Pedidikan.

Dalam majlis itu, kami berkesempatan bertemu dua rakan pegawai BP Khas,  Encik Mohd Zaini dan Encik Dev yang sebelum ini sudah diceritakan sedikit sebanyak mengenai mereka.

Kali ini kami asyik bercerita cara  untuk menerapkan Persijilan Kemahiran Malaysia kepada anak-anak pendidikan khas di sekolah-sekolah menengah awam.

Menurut kedua-dua pegawai itu, mulai tahun hadapan Persijilan Kemahiran Malaysia akan diajar kepada pelajar khas ini secara modular dan garis panduan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Bagi kami pula, Kolej Imperia telah mula berbincang dengan beberapa sekolah menengah awam untuk kami hadir ke sekolah pada masa yang ditentukan untuk mengajar pelajar-pelajar khas ini di dalam Persijilan Kemahiran Malaysia.

Pada waktu cuti sekolah pelajar akan dibawa ke Bukit Gambang Resort City (BGRC) untuk mengikuti kuliah amali di dalam bidang mereka ambil.

Dengan cara ini kami berharap pelajar tersebut  sekurang-kurangnya mendapat satu tahap Sijil Kemahiran Malaysia di dalam bidang yang diikuti mereka apabila tamat pembelajaran di sekolah tersebut.

Di dalam pembentangan kami kepada panel BPKhas, kami juga menawarkan pelajar pendidikan khas untuk menduduki peperiksaan City & Guilds  di mana akan memberi pelajar kelebihan di dalam persijilan yang mereka akan dapat.

Berbelah bahagi pihak panel membahasa apabila kami tawarkan bidang baharu untuk pendidikan khas iaitu Persijilan Kemahiran Malaysia Penjagaan Kuda, Konservasi Burung dan Elephant Husbandry.

Beberapa panel tidak begitu pasti pelajar-pelajar ini boleh mengikuti kursus yang pertamanya ditawarkan di Malaysia dan sebahagian panel pula teruja dan mengatakan satu bidang yang baik dan sesuai kepada pendidikan khas kerana mereka jika diberi perhatian dan kemahiran yang diperlukan akan mengikutinya dengan penuh fokus.

Bagi pendapat saya pula, saya sangat optimistik pelajar ini boleh lakukan, yang penting adalah kepercayaan diberi kepada mereka dengan tunjuk ajar mengikut garis panduan diberi dan penyampaian yang sesuai untuk mereka.

Walau apa pun keputusan dibuat oleh pihak panel, kami berharap kepercayaan diberi kepada anak-anak ini untuk mengikuti beberapa bidang yang baharu dan penyesuaian akan dilakukan dengan sokongan moral dari ibu bapa dan guru mereka. Seperti biasa, jangan menidakkan kebolehan dan kemampuan mereka.

Dari Kaca Mata - Zahar Ali

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.