ADALAH amat dirisaukan Kerajaan PH di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad akan mengulangi tradisi tidak sihat Umno dan BN. Pada zaman Umno, segala perkara yang begitu sukar untuk dilaksanakan, menjadi terlalu mudah apabila menjelang musim Pilihan Raya Umum.

Andai ada pemimpin PH yang beranggapan kerajaan baharu ini masih memiliki lima tahun untuk menunaikan janji, maka saya khuatir itu menjadi petanda tradisi gula-gula pilihan raya masih akan berulang.

Belum pernah dalam sejarah politik Malaysia, setiap rakyat begitu ghairah menelaah janji dan manifesto. Walaupun ada pihak yang mengatakan meletakkan janji 100 hari itu merupakan satu kesilapan, namun janji itulah yang telah merintis bukan sahaja perubahan fizikal, tetapi juga perubahan paradigma.

Janji 100 hari itu seolah-olah menjadi azimat yang bakal membuktikan segala yang mustahil pada era BN, akan dapat dilaksanakan oleh Kerajaan PH. 100 hari yang dianggap penting bagi menyediakan solusi terhadap isu beban kos sara hidup rakyat yang selama ini gagal ditangani BN.

Realitinya, isu kos sara hidup merupakan premis utama yang mendorong tekad rakyat untuk memilih PH dalam PRU14 lalu. Teras Pertama dalam manifesto PH dirangka bagi menjawab keresahan rakyat ini. Penangguhan bayaran balik PTPTN, peningkatan gaji minimum dan penghapusan tol semestinya menjadi janji yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Namun, banyak janji yang ditunggu rakyat ini masih belum berkunjung tiba biarpun tempoh 100 hari sudah pun tamat. Rakyat sesungguhnya sedang menanti sesuatu yang meletakkan PH jauh berbeza dengan rejim terdahulu. Rakyat mengharapkan perubahan yang berani, seberani rakyat yang telah menolak Umno dan BN.

Akibat janji-janji yang tertangguh ini, sudah ada rakyat yang mula membunyikan nada kesal. Malah para pendukung Umno dan BN pantas menyambar peluang dengan mengatakan telahan mereka terhadap PH selama ini telah terbukti benar. Mereka mengambil peluang ini untuk menjustifikasi tindakan mereka yang selama ini membisu dalam isu PTPTN, pasif dalam isu gaji minimum dan lembab dalam menangani isu harga tol yang mahal.   

Tujuan para pendukung Umno dan BN ini hanya satu, iaitu supaya rakyat berfikir bahawa benarlah apa yang dikatakan BN sebelum ini iaitu tidak mudah untuk menangani isu beban kos hidup rakyat.

Hakikatnya PH mungkin sudah terlepas keghairahan rakyat yang mahu melihat perubahan yang benar-benar bermakna untuk mereka. Perlu diakui pemansuhan GST walaupun satu permulaan yang hebat, namun kesannya tidak begitu dirasakan ekoran perubahan harga barangan runcit yang tidak begitu ketara.

Mujurlah di penghujung 100 hari, Timbalan Perdana Menteri mengubat sedikit kehampaan rakyat dengan perlaksanaan janji caruman KWSP untuk suri rumah.

Perdana Menteri boleh bercakap soal keinginan membangunkan Kereta Nasional Kedua, mahupun hasrat menganjurkan kembali perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Sepang, tetapi beliau perlu terlebih dahulu melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

Program-program bagi mengisi saku rakyat termiskin perlu diberi keutamaan berbanding melayan kehendak kelompok kelas atasan. Inilah yang selalu ditekankan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saranan ini sangat tepat apabila baru-baru ini Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman meluahkan kekecewaannya dengan Pengurusan Felda yang masih gagal menangani isu kelewatan pembayaran wang sara hidup warga Felda.  

Penundaan janji 100 hari ini juga membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan peranan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin. Malah, Tun M pada 16 Ogos lalu membayangkan hasrat beliau yang mahu mengekalkan Majlis ini biarpun tujuan awal penubuhan Majlis ini adalah untuk membantu kerajaan melaksanakan janji-janji 100 hari.

Melihat kepada kondisi janji 100 hari dan keupayaan para menteri hari ini, saya bersetuju dengan gesaan yang dibuat oleh saudara Thomas Fann daripada NGO Engage pada 17 Ogos lalu yang menggesa agar Majlis Penasihat ini dibubarkan. Perdana Menteri seharusnya memberdaya peranan Kabinet dan memberi kepercayaan kepada barisan menteri untuk melaksanakan janji-janji.

Berapa hari lagi diperlukan? Setelah berlalunya 100 hari dengan sebilangan janji yang tertangguh, maka saya kira Perdana Menteri perlu menyatakan berapa lama lagi tempoh yang diperlukan bagi melunaskan janji-janji yang tertangguh ini. Sekadar menyatakan kekesalan adalah tidak memadai kerana atas janji-janji tersebut rakyat telah memberi kepercayaan kepada PH untuk mentadbir negara.

Jika ada pihak yang mengatakan Kerajaan PH mempunyai masa empat hingga lima tahun untuk melunaskan janji-janji ini, maka apa rasionalnya janji 100 hari yang dibuat sebelum ini. Malah Pemimpin Kerajaan perlu berhenti daripada menjadikan kerosakan akibat pentadbiran terdahulu sebagai alasan janji-janji ini sukar dilaksanakan. Rakyat sudah cukup tahu betapa negara ini telah dirosakkan oleh Umno-BN dan atas sebab itulah mereka memilih PH.

* Penulis ialah Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia, merangkap Pengarah Strategi Pemuda Harapan Malaysia