KETIKA di bangku sekolah dahulu, kita sering diingatkan oleh guru-guru bahawa adalah penting dan perlu untuk sentiasa menjaga tutur kata dan perlakuan ketika berada di khalayak. Guru-guru  sempat berpesan, ke mana sahaja seseorang pergi, kenalah pandai membawa diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mengaibkan diri dan keluarga.

Sesungguhnya, perwatakan yang mulia mencerminkan keperibadian dan sikap kita. Lebih tinggi keperibadian, lebih dihormati dan disanjung seseorang itu di mata masyarakat. Berbicara mengenai isu ini, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran semua adalah telatah dan gelagat wakil-wakil rakyat yang dipilih. Bagi kebanyakan daripada rakyat, beranggapan sudah tentulah mereka ini berpengalaman, bijaksana, berwibawa dan berperwatakan mulia. Malahan, wakil-wakil rakyat ini juga orang yang berkuasa untuk membuat itu dan ini.

Malangnya, beberapa insiden di Dewan Rakyat, baru-baru ini menyaksikan segelintir ahli Parlimen mengeluarkan kata-kata kesat dan mengemukakan cabaran untuk bergaduh. Ini amat mendukacitakan. Hakikatnya, sikap biadap begitu bukanlah perkara asing, ia turut berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia. Dari Taiwan ke India kepada Turki hinggalah ke Afrika Selatan, tindakan ahli-ahli Parlimen bertikam lidah/bergaduh merupakan pemandangan biasa.

Cumanya, di negara-negara lain, keadaan adalah lebih teruk. Disebabkan wujud perbezaan pendapat dan tidak setuju dengan sesuatu dasar, ada yang sanggup bergaduh dengan bertumbuk, menendang malah ada juga yang menarik rambut. Mujurlah standard dan ahli-ahli Parlimen kita tidaklah sampai ke tahap sedemikian.

Dalam membuat perbandingan ahli-ahli Parlimen kita dengan negara-negara lain, ini tidak bererti sikap ahli-ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata kesat itu di negara kita boleh dipandang remeh. Yang pasti, perbuatan berkenaan tidak boleh dikompromi sama sekali kerana ia melibatkan soal integriti Dewan dan imej ahli-ahli Parlimen secara keseluruhan. 

Tidak kiralah sama ada perkataan kesat yang dilontarkan itu adalah besar atau sebaliknya seperti ‘pukimak’, ‘kepala bapak’, ‘f***you’ dan ‘bocor’, ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk menjaga tutur kata mereka di khalayak. Mereka juga perlu bertanya kepada diri sendiri apakah niat sebenar mengeluarkan kata-kata demikian? Adakah sekadar untuk mencetuskan kemarahan ataupun cuba untuk menguji sentimen rakyat?

Sebagai seorang figura awam, segala pergerakan dan tutur kata mereka diperhatikan. Salah cakap mungkin boleh menyebabkan pemimpin-pemimpin berkenaan dipersoalkan oleh orang awam. Bak kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kepada yang mengeluarkan kata-kata tersebut, mereka patut rasa malu. Hanya mereka yang tidak tahu malu sahaja akan berasa bangga dengan tindakan itu. Apakah mereka mahu menjadikan Dewan Rakyat sebagai sarkas? Jika beria-ia untuk bergaduh, bolehlah pergi ke pasar atau kawasan lapang untuk melepaskan geram!

Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, mereka haruslah menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas. Setiap ahli Parlimen perlu juga bersikap terbuka dan mendengar pendapat orang lain, bukannya menolak terus cadangan-cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan sendiri. Mereka bukan sahaja harus indah akhlaknya, lunak bahasa, ikhlas kerja, bahkan juga adil khidmat serta santun budinya. Amalan tatasusila tinggi yang sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia perlu menjadi pegangan semua para Yang Berhormat agar menjadi suri teladan kepada rakyat marhaen. 

Perbahasan Parlimen seharusnya berjalan dengan penuh harmoni, disertai dengan fakta konkrit yang berkisar kepada soal pembangunan negara, kebajikan rakyat dan bukannya platform untuk melabel musuh politik dengan cercaan mahupun makian yang keterlaluan. 

Sehubungan itu, penegasan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof baru-baru ini bahawa beliau tidak akan lagi bertolak ansur dengan sikap biadap ahli-ahli Parlimen sedemikian amatlah dialu-alukan. Malah, beliau memberi amaran beberapa tindakan tegas seperti memotong elaun dan menggantung mereka daripada Parlimen mungkin diambil selepas ini sekiranya mereka mempamerkan sikap yang serupa.

Amaran ini amatlah tepat pada masanya dan hukuman berkenaan bertindak sebagai pengajaran berharga kepada ahli-ahli Parlimen lain agar menjaga kelakuan mereka pada masa-masa akan datang. Jika berani mengeluarkan kata-kata tersebut, maka mereka juga harus berani untuk memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tidak sopan itu. 

Mudah-mudahan dengan pendirian tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat ini, adalah diharapkan sesi perbahasan Parlimen berikutnya yang dijadual bermula pada Oktober depan, akan lebih terkawal dan diisi dengan sesi perbahasan yang konstruktif lagi bermakna.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis