KITA sedia maklum bahawa hudud merupakan sebahagian penting daripada mekanisme perundangan dalam Islam di samping qisas dan takzir. Sungguhpun hudud berkesan dalam menurunkan kadar jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan penduduk namun, hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persediaan oleh pihak kehakiman dan juga rakyat.

Rakyat perlu dididik dan diajar berkenaan syariah terlebih dahulu sebelum hudud boleh dilaksanakan. Manakala kehakiman pula perlulah fasih dalam syariah dan maqasid syariah supaya keadilan yang sewajarnya dapat diberikan. Ini kerana mahkamah adalah tempat untuk menegakkan keadilan dan bukan tempat meraih simpati, maka keadilan wajar ditegakkan dengan sebaik-baiknya tanpa prejudis.

Hudud hanya sebahagian daripada perundangan Islam, yang mana tidak sampai 1/8, daripada syariah sekalipun. Mekanisme perundangan Islam, yakni syariah lebih menyeluruh dan merangkumi aspek akidah, akhlak, ibadat, pendidikan, ekonomi, sosial, kekeluargaan dan lain-lain aspek yang tidak terdapat dalam hudud.

Adalah lebih baik sekiranya pelaksanaan syariah yang lebih menyeluruh ditekankan berbanding hudud semata-mata. Banyak aspek perundangan seperti undang-undang trafik, undang-undang laut, undang-undang penerbangan, undang-undang pembangunan dan lain-lain lagi tidak terdapat dalam hudud.

Sekiranya hudud dijadikan piawai keislaman sesuatu negara maka ia tidak mungkin dapat memenuhi keperluan perundangan yang wujud di dalam masyarakat.

Terdapat banyak aspek kepada mekanisme perundangan sesebuah negara selain daripada hudud. Sebagai contoh pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar Ibn al-Khattab, hukuman hudud untuk mencuri telah ditangguhkan akibat krisis kebuluran yang melanda bumi Madinah.

Umar al-Khattab pada waktu itu merasakan bahawa pelaksanaan hudud atas kesalahan mencuri akan membawa kepada ketidakadilan di dalam masyarakat.

Kita boleh simpulkan bahawa perlu wujud satu keadaan umum di mana sesebuah negara itu bebas daripada masalah seperti, kebuluran, kemiskinan yang melampau, wabak penyakit dan lain-lain perkara yang boleh menjejaskan keadaan ekonomi, sosial dan pentadbiran sesebuah negara.

Ini tidak bermaksud sama sekali bahawa, sekiranya terdapat beberapa individu yang sedang berlaparan akibat daripada kesesakan hidup, hukum hudud tidak perlu dilaksanakan, sama sekali tidak. Sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh kebuluran dan masalah ekonomi adalah keadaan di mana satu bilangan rakyat yang sangat besar hidup dalam keadaan yang terlampau miskin, contoh negara Haiti, Yemen, Bangladesh dan lain-lain lagi, maka mungkin tidak sesuai hukum hudud dilaksanakan dalam keadaan tersebut.

Namun pada masa sama, usaha untuk melaksanakan hudud perlu diteruskan dengan gigih dengan menjadikan sesebuah negara itu layak melaksanakan hudud. Ini termasuk dari aspek ekonomi, sosial, pendidikan, pentadbiran dan lain-lain faktor yang kritikal demi pelaksanaan hudud.

Tidak syak lagi bahawa hudud adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan di dalam negara Islam, tetapi pada masa sama hudud bukanlah satu-satunya perkara yang membentuk masyarakat. Tidak wajar hudud dijadikan satu-satunya titik perjuangan demi mencapai status negara Islam.

Adalah wajar isu-isu sosial yang membelenggu negara seperti pembuangan bayi, zina, anak luar nikah, mat rempit, ketagihan dadah dan lain-lain perkara diberi perhatian yang serius sebelum hudud dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai keadilan yang dimatlamatkan.

Penekanan yang wajar perlu diberikan kepada perkara yang lebih asasi seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain aspek kehidupan harian yang kritikal. Sekiranya perkara-perkara ini tidak dapat dimantapkan, adalah dikhuatiri bahawa pelaksanaan hudud tidak akan mencapai matlamat sebenarnya, iaitu menegakkan maqasid syariah.

Pendidikan memainkan peranan yang paling penting dalam melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan mempunyai kesedaran untuk menjadi manusia mithali yang mencontohi keperibadian Rasulullah SAW sebagai ikutan yang terbaik sepanjang zaman.

Pada hari ini, hudud bukan sahaja ditentang oleh orang bukan Islam, tetapi sering kali oleh umat Islam sendiri. Kebanyakan dari kalangan yang menolak hudud tidak memahami pelaksanaan undang-undang Islam di dalam sesebuah negara.

Sering kali mereka yang menentang hudud tidak memahami undang-undang seperti takzir dan qisas. Segala usaha ditumpukan untuk menentang pelaksanaan hudud kerana dikatakan tidak boleh membela mangsa rogol sebagai contoh. Sedangkan pensabitan kes rogol itu tidak sama seperti pensabitan dan pembuktian kes zina.

Pelaksanaan hudud pada zaman ini perlu bermula dari bawah, seperti pembaikan dalam sistem pendidikan, taraf ekonomi rakyat, pengagihan makanan ruji dan lain-lain faktor yang menjadi asas kewujudan sesebuah negara.

Hudud itu wajib dilaksanakan, dan pada masa yang sama haruslah kita membolehkan hudud itu dilaksanakan. Rakyat perlu dididik dan dipersiapkan dengan sewajarnya sebelum hudud boleh dilaksanakan. Langkah-langkah pelaksanaan haruslah dimulakan secepat mungkin supaya hudud dapat dilaksanakan dengan jayanya dan menjadikan Malaysia negara contoh dalam pelaksanaan perundangan Islam di dunia ini.

Rakyat yang terdidik, tidak diganggu kelaparan, mempunyai keadaan ekonomi yang kukuh akan mewujudkan keadaan ideal bagi pelaksanaan hudud.

* Penulis ialah Pengerusi Intellectual Wisdom Society