MENYOROT kenyataan Angela Merkel, Canselor Jerman ketika berucap di Persidangan Keselamatan Munich beberapa minggu lalu, menyatakan Islam bukan punca keganasan.

Cendekiawan Islam perlu bersuara kepada masyarakat dunia di samping menggariskan kerjasama rapat menghapuskan militan Daesh, Boko Haram dan pengganas antarabangsa.

Pihak berkuasa Islam perlu bangkit menyatakan Islam agama keamanan dan berbeza dengan keganasan yang dilakukan atas nama Islam. 

Islam bererti damai, selamat, sejahtera, penyerahan diri, taat dan patuh. Islam agama yang membawa perdamaian, keselamatan dan kesejahteraan kepada kehidupan manusia khususnya, dan semua makhluk umumnya. 

Islam agama diredai. ALLAH SWT memilih Islam sebagai agama yang diredai di sisi-Nya. ALLAH SWT menamakan agama ini sebagai Islam yang diwahyukan kepada Baginda SAW melalui perantaraan Jibrail As. 

Perang adalah alternatif terakhir setelah usaha perdamaian atau perjanjian tidak dapat disepakati. Keizinan untuk berperang muncul pada saat umat Islam mesti membela diri dan agama mereka.

ALLAH SWT berfirman bermaksud: "Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan ALLAH (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)." - Surah al-Nisa’: 75

Rasulullah SAW melakar wajah baharu kota Madinah. Baginda membina negara Madinah tanpa sebarang peperangan, mengatur kehidupan sosial yang komprehensif menerima penganut agama lain (ahli kitab dan golongan musyrikin) sebagai rakyat melalui piagam Madinah.

Rakyat bukan Islam dijamin keselamatan mengamalkan agama mereka. Namun mengapakah dunia barat hari ini mengatakan Muslim adalah pengganas. Inilah tanggapan negatif yang diapi-apikan sejak peristiwa September 11 seterusnya menimbulkan Islamofobia.

Namun begitu, terdapat beberapa ahli akademik Barat yang mempertahankan Islam dan menyatakan Islam bukan punca keganasan dan bukan agama pengganas, antaranya Graham E. Fuller dan John L. Esposito. Paling menarik pandangan Graham E. Fuller dalam bukunya A World Without Islam yang di luar kotak. Antaranya:

1. Persaingan agama telah wujud di Timur Tengah sebelum Islam lahir. Agama Yahudi, Kristian dan Zoroaster saling bersaing mengembangkan agama masing-masing. 

2. Konflik yang terjadi bukan kerana agama sebaliknya kerana faktor identiti, komuniti, negara, politik, kekuasaan dan nasionalisme.

3. Andai dunia tanpa Islam, barat tetap akan menyerang Timur Tengah walaupun tidak berlaku Perang Salib kerana faktor imperialisme dan komoditi minyak di Timur Tengah hari ini. 

4. India tidak mungkin memiliki tamadun jika tidak mewarisi budaya Islam Moghol. 

5. Perpecahan tetap terjadi antara gereja Ortodoks dengan Katolik.

6. Pada 15 Julai 1099, ketika pasukan Perang Salib Pertama memasuki Kota Jerusalem tidak hanya penduduk Muslim dan Yahudi yang dibunuh tetapi juga penduduk Kristian Ortodoks, termasuk ribuan Yahudi yang berada di Sinagog dan Muslim yang berada di Masjid al-Aqsa. 

Islam tidak berkembang melalui peperangan. Sejarah merakamkan Islam berkembang ke wilayah Asia, Afrika dan Eropah melalui keunggulan akhlak dan moral tentera Muslimin ketika itu.

Sirah merakamkan dalam peperangan Yarmuk, Khalifah al-Rasyidin Umar al-Khattab RA berpesan kepada Panglima Saad bin Abi Waqas RA maksudnya: "Aku berwasiatkan pada mu serta seluruh pasukan mu agar bertakwa kepada ALLAH SWT dalam situasi apa pun, kerana takwa merupakan prinsip utama menghadapi musuh dan aku berpesan pada kalian agar berhati-hati dari segala kemaksiatan... Jumlah dan kekuatan mereka lebih besar dari kita, bila kita juga melakukan kemaksiatan seperti mereka, nescaya mereka lebih kuat dari kita."

Ada ketikanya terdapat kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej negatif. Ia tidaklah membayangkan ajaran Islam menganjurkan mereka berbuat begitu, latar belakang kenapa ia berlaku mesti difahami terlebih dahulu.

Isu tentang pengganas lebih merupakan label politik dan ketenteraan. Apabila rakyat Palestin dijajah dan dihalau sebagai pelarian, sudah tentu wujud penentangan kerana mereka mempunyai maruah perasaan dan hak untuk hidup di negara sendiri. 

Islam tidak menganjurkan ekstremisme. Islam membawa tatacara kehidupan mengiktiraf perbezaan kaum. Islam mengajak manusia kepada makruf, menjauhi kemungkaran dan mendidik menjadi baik.

* Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DALAM situasi negara kita yang masih hangat selepas Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik yang diadakan oleh wanita-wanita yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di samping peduli dengan situasi negara kini, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, negara jiran kita Singapura mengiktiraf keupayaan wanita dalam memimpin. Tahniah Puan Presiden Halimah Yacob! Tahniah Rakyat Singapura.
  • TRAGEDI menyayat hati yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beberapa hari yang lepas telah mencetuskan kemarahan umum terhadap individu-individu yang disyaki melakukan perbuatan khianat menceroboh dan memulakan kebakaran tersebut.
  • BERSEMPENA dengan ketibaan 1 Muharram 1439H ini maka saya dan seluruh warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di seluruh negara ini.
  • ISLAMISASI merujuk kepada usaha untuk menjadikan Islam sebagai asas kepada segala pandangan, pemikiran, nilai dan budaya hidup dalam semua aspek kehidupan.
  • SAYA berasa sedih membaca rencana jawapan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ulasan saya berkenaan parti Pas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.